Sabtu, 27 November 2021

Pentagon Tubuh Pasukan Khas Siasat 144 Penampakan UFO, Berpotensi Cetuskan Bahaya


Pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) membentangkan laporan kepada Kongres yang antara lain mendedahkan penilaian pertama fenomena udara tidak dikenali (UAP) yang tidak dirahsiakan. UAP merupakan istilah digunakan dalam tentera bagi objek tidak dikenal pasti (UFO).


Disusun oleh UAPTF, laporan pada Jun lalu itu gagal menjelaskan mengenai 144 penampakan UFO dengan menyatakan 18 daripada jumlah itu menunjukkan pergerakan atau ciri penerbangan luar biasa menggunakan teknologi canggih.


Laporan itu menyimpulkan masih terdapat banyak penampakan UAP yang berkemungkinan tiada sebarang penjelasan khusus. Kemunculan UAP dikhuatiri memberi ancaman kepada keselamatan negara berkenaan.


Oleh sebab itu, Jabatan Pertahanan AS mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas bagi menyiasat dakwaan penemuan UFO berhampiran kawasan tentera yang sensitif.


Pengumuman itu dibuat selepas sebuah laporan penting kerajaan yang didedahkan pada Jun lalu, mendapati kekurangan maklumat yang mencukupi dalam data untuk menentukan sifat objek terbang misteri selama dua dekad lalu.


Menurut laporan Metro News pada 24 November 2021, pasukan yang dinamakan Airborne Object Identification and Management Synchronization Group akan menyiasat laporan UAP berhampiran kem tentera AS.


Pasukan itu akan diselia oleh Setiausaha Pertahanan untuk Perisikan, Pengarah Staf Bersama dan pegawai dari Pejabatan Pengarah Perisikan Negara.


Sementara itu, Timbalan Setiausaha Pertahanan AS, Kathleen Hicks berkata, kehadiran UAP di kawasan tentera yang sensitif berpotensi mencetuskan risiko bahaya kepada kru pesawat udara dan kebimbangan mengenai keselamatan negara.


"Sebarang pencerobohan objek pada Ruang Udara Kegunaan Khas (SUA) boleh menjejaskan keselamatan operasi penerbangan pesawat dan mungkin memberi cabaran kepada keselamatan negara," jelas Pentagon.


SUA merujuk kepada lingkungan ruang udara tentera terkawal, kawasan operasi ketenteraan, tempat menembak dan kawasan dihadkan untuk keselamatan negara dan kegunaan lain.


Jelas Pentagon, pasukan khas itu akan menggantikan Pasukan Petugas Fenomena Udara Tidak Dikenali (UAPTF) dibawah Tentera Laut AS.


"Pasukan baharu ini akan berusaha untuk mengesan, mengenal pasti dan mengaitkan objek serta menilai dan mengurangkan sebarang ancaman berkaitan," katanya.


EmoticonEmoticon