Marah Anak Disaman, Bapa Kejar Polis Guna Parang Dan Sabit




Tular sebuah rakaman video di media sosial memaparkan seorang lelaki nekad mengejar anggota polis trafik, sambil mengacukan parang dan sabit selepas anaknya disaman kerana melakukan kesalahan lalu lintas.


Memetik laporan Kompas.com pada 26 November 2021, kejadian itu berlaku di persimpangan Tugu Polwan, Desa Betung, Jalan Palembang-Betung di Banyuasin, Sumatera Selatan, pada Khamis 25 November 2021 lalu.


Pada mulanya, anggota polis trafik, Angga Novriadi bertugas mengawal lalu lintas di lokasi kejadian. Kemudian, dia menahan seorang penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar, selain tidak mempunyai cukai jalan serta lesen.


Keadaan itu menyebabkan Angga mengeluarkan saman terhadap pemuda berkenaan. Namun, tidak lama kemudian, datang sebuah kenderaan dengan tiga orang turun darinya dan menghampiri Angga.


Kumpulan itu memaklumkan seorang daripadanya merupakan bapa pemuda yang disaman sebentar tadi. Tidak puas hati dengan penerangan yang diberikan polis, bapa pemuda berkenaan terus mengeluarkan parang dan sabit untuk menyerang Angga.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Banyuasin, AKP Ade Ikang Putra berkata, lelaki berusia 39 tahun itu mengejar anggota terbabit dengan parang dan sabit. Jadi Angga melarikan diri dan bersembunyi di dalam parit sehingga menyebabkan dia mengalami luka ringan.


Pihaknya yang menerima laporan mengenai kejadian itu, segera melakukan pencarian sehingga berjaya menjejaki lelaki tersebut. Katanya, suspek tidak melawan saat ditahan di Desa Talang Duku, Kecamatan Lais, Kabupaten Muba, Sumatera Selatan.


Ketika disoal siasat, suspek mengaku menyerang Angga kerana tidak berpuas hati anaknya disaman. Atas perbuatannya itu, dia didakwa cuba mencederakan anggota keselamatan dan memiliki senjata tajam, jika disabit kesalahan boleh dipenjara lebih daripada lima tahun.


Video menunjukkan seorang lelaki dengan parang dan sabit cuba mengejar polis trafik yang menyaman anaknya di Sumatera Selatan.


EmoticonEmoticon