Sabtu, 27 November 2021

Lelaki Rampas Beg Tangan Seorang Wanita Ketika Kemalangan Ditahan Polis


SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan dipercayai merampas beg tangan wanita yang melanggar keretanya di Kilometer 14.6 Lebuh Raya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur, hari ini (Sabtu).


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan selepas membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, kira-kira jam 6.30 petang tadi.


Insiden yang berlaku pukul 1.33 tengah hari itu tular di media sosial menerusi sebuah video yang memaparkan lelaki berusia 56 tahun itu, meminta wanita tersebut supaya menyerahkan kad pengenalan.


Menerusi video berdurasi satu minit 30 saat itu, lelaki berkenaan kemudian merampas beg tangan dan memasuki keretanya dipercayai untuk membuat laporan polis berhubung kemalangan tersebut.


"Siasatan mendapati kemalangan yang tular di media sosial itu membabitkan tiga kenderaan. Wanita berkenaan yang memandu kereta BMW dikatakan terlanggar belakang sebelah kanan Proton Gen 2 dipandu lelaki terbabit di hadapannya.


"Pelanggaran itu kemudian menyebabkan kereta Proton Gen 2 lelaki berkenaan kemudian melanggar sebuah Honda HRV di hadapannya. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59," katanya.


Jelas beliau, pihaknya turut membuka kertas siasatan berhubung tindakan pemandu lelaki yang dikatakan merampas beg tangan pemandu BMW tersebut, dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 atau 323 Kanun Keseksaan.


Terdahulu, klip video yang tular di media sosial itu, memperlihatkan pemandu lelaki itu meminta kad pengenalan wanita terbabit selepas kemalangan. Suasana bertukar menjadi tegang dengan pertengkaran dan berdasarkan video yang dipercayai dirakam wanita terbabit.


Lelaki itu dilihat merampas beg tangan dalam BMW sebelum diletak dalam keretanya. Wanita berusia 34 tahun itu mendakwa turut dicederakan oleh lelaki terbabit ketika mereka bertengkar.


EmoticonEmoticon