Khamis, 9 Disember 2021

Wanita dakwa lihat 15 UFO bersinar cahaya oren, 2 daripada objek itu terbang rendah menghampirinya


Seorang wanita di Britain mendakwa bahawa dia melihat objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dikawal oleh makhluk asing, terbang rendah pada jarak cuma 2.4 meter darinya, lapor akhbar Daily Star pada 7 Disember 2021.


Caron Ara, terlihat cahaya pelik itu di langit dan bergerak ke arahnya ketika berbasikal menyusuri jalan berpagar pada waktu petang di Wiltshire, England pada September lalu.


Kerana terpegun melihat fenomena 'luar biasa' yang berlaku di hadapan matanya, Caron mengeluarkan perantinya kemudian mula merakam kejadian itu, lapor akhbar Bristol Live.


"Saya sudah biasa melihat perkara aneh di langit. Saya tahu ia sesuatu yang pelik. Agak mengecewakan kerana saya merakam dalam keadaan menggigil. Saya melihat mereka berkumpulan, mungkin ada 15 UFO," katanya.


Caron mendakwa bahawa dua objek terbang itu datang ke arahnya. Menurutnya, kapal angkasa itu bergerak di belakang pokok dan berlegar di atas tanah, berjarak hanya kira-kira 2.4 meter dari tempatnya berdiri.


"Ia sangat kecil, mungkin hanya berketinggian 0.9 meter, berbentuk rata dan lebar, serta kelihatan ringan. Tiada bunyi kedengaran, tetapi cahaya oren yang saya rakam adalah sumber tenaga yang menggerakkan kapal angkasa itu," jelasnya.


Menurut Caron, dia terus menutup matanya apabila kapal angkasa itu mengeluarkan sejenis pancaran inframerah ke arahnya. Objek itu tidak kelihatan lagi setelah dia membuka matanya.


"Ada beberapa lagi terbang beberapa meter di atas kepala saya, dan kemudian mereka pergi, tidak pasti sama ada naik ke langit atau hilang begitu sahaja. Ia adalah pengalaman yang menakjubkan melihat teknologi ajaib seperti itu," katanya.


Cahaya oren itu adalah yang serupa dirakam beberapa penduduk di timur Bristol pada awal musim panas lalu. - Sumber Daily Star UK.


Cahaya oren yang berjaya dirakam Caron Ara didakwanya kapal makhluk asing. - Foto Bristol Post.


EmoticonEmoticon