Khamis, 9 Disember 2021

Harimau Kumbang Serang Kakitangan Perhilitan Terpaksa Ditembak Mati


Kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berdepan detik cemas apabila harimau kumbang yang dijejaki, bertindak menyerang mereka ketika operasi di Kampung Kelatap dekat Pos Perwor, Lasah, Sungai Siput, hari ini.


Harimau kumbang jantan berusia antara sembilan ke sepuluh tahun itu adalah haiwan yang dipercayai menyerang remaja Orang Asli sekitar jam 3 petang, semalam. Mangsa berusia 18 tahun cedera dengan kesan koyakan di kepala dan lengan selepas diserang ketika mencari kayu.


Pengarahnya, Yusof Shariff berkata, haiwan itu ditembak mati pagi tadi sebaik saja haiwan terbabit meluru ke arah anggota Perhilitan yang sedang membawa perangkap bersesuaian untuk dipasang. Kakitangan berkenaan telah terjatuh kerana terkejut namun tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Pada pukul 8.30 pagi tadi, empat kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput telah menemukan Tok Batin Pos Perwor bagi mendapatkan maklumat dan menunjukkan lokasi kejadian.



"Dalam operasi menjejaki haiwan liar yang tidak dikenal pasti spesies itu, mereka membawa bersama perangkap bersesuaian yang digunakan bagi memerangkap beruang dan harimau kumbang," katanya di sini hari ini.


Menurut beliau, setelah ditunjukkan lokasi kejadian, kakitangan mula menjejaki haiwan itu berdasarkan kesan-kesan yang ada dan meminta penduduk tidak ikut sama atas faktor keselamatan.


Katanya, hasil pencarian itu membawa kepada penemuan beberapa kesan tapak dipercayai harimau selain kesan darah yang masih baharu pada rumput dan daun.


"Ketika menghampiri kawasan semak berhampiran kebun getah, kakitangan dikejutkan dengan seekor harimau kumbang yang meluru ke arah seorang daripada mereka.


"Dalam keadaan terdesak dan cemas, seorang daripada kakitangan telah melepaskan tiga das tembakan dan mengenai harimau kumbang tersebut," katanya.


Beliau berkata, hasil penelitian pada bangkai harimau kumbang itu didapati terdapat banyak kesan kecederaan dipercayai tetakan parang pada kepala dan peha ketika bergelut dengan mangsa semalam.


Katanya, turut ditemui pada bangkai haiwan itu ialah jerat dawai kabel pada kaki kanan belakangnya yang cedera dan ia dipercayai penyebab harimau itu menjadi agresif dan menyerang manusia.


"Sehubungan itu Perhilitan Perak menyeru orang ramai agar menghentikan perbuatan memasang jerat hidupan liar kerana ia akhirnya akan mengundang bahaya kepada manusia selain menzalimi hidupan liar berkenaan," katanya.


Tambah beliau, bangkai harimau kumbang berkenaan dibawa ke pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput sebelum akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk menjalani bedah siasat.


Antara kesan kecederaan pada haiwan tersebut dipercayai tetakan parang pada kepala dan peha ketika bergelut dengan mangsa semalam.


EmoticonEmoticon