Jumaat, 10 Disember 2021

Tayar Pecah, Penumpang Terpaksa Turun Tolak Pesawat Ke Tepi Landasan


Sebuah pesawat berdepan detik cemas apabila satu daripada tayarnya meletup ketika mendarat. Namun, juruterbang mampu mengawal keadaan dan pesawat itu dapat mendarat dengan selamat, lapor New York Post pada 7 Disember 2021.


Kejadian itu menyebabkan kapal terbang Tara Air terkandas di landasan sehingga menyebabkan banyak pesawat lain tidak dapat mendarat mahupun berlepas. Lapangan itu pula tidak mempunyai kemudahan menarik pesawat. 


Pegawai Lapangan Terbang Bajura di Kolti turut 'panik' dengan kejadian itu, namun keadaan terkawal dan trafik pelepasan serta pendaratan pesawat dapat diuruskan dengan lancar, selepas penumpang di dalam pesawat Tara Air yang keluar lalu menolak kapal terbang itu ke tepi landasan.



Video kejadian itu sempat dirakam oleh beberapa penumpang di lapangan terbang tersebut dan menjadi tular dalam media sosial. Salah satu rakaman video berdurasi 20 saat telah dimuat naik seorang pengguna di TikTok, kini ditonton lebih 800,000 kali.


Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial tersebut, dengan kebanyakannya memuji tindakan semua penumpang yang membantu menolak pesawat terbabit.


Seorang daripada pengguna media sosial menulis 'anda hanya boleh saksikan kejadian seperti ini di Nepal'. Seorang lagi pengguna media sosial pula memuji tindakan kesemua penumpang tersebut yang disifatkan bersedia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa.


Menurut lapor Indian Express, penyelamat akhirnya tiba apabila sebuah pesawat lain dari Lapangan Terbang Nepalganj datang membawa tayar ganti dan jurutera. Mereka melengkapkan pesawat tersebut dengan roda baharu, dan kemudian kedua-dua pesawat itu terbang ke Nepalganj.


Penumpang menolak pesawat selepas satu daripada tayarnya pecah ketika mendarat di Lapangan Terbang Bajura.


EmoticonEmoticon