Sabtu, 11 Disember 2021

Perkhidmatan sewa telefon pintar iPhone dapat sambutan menggalakkan di Indonesia


Sejak beberapa hari kebelakangan ini, perniagaan menyewa telefon pintar iPhone semakin berkembang di Indonesia, berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan menjadi peluang perniagaan baharu, lapor Kompas.com pada 10 Disember 2021.


Sehubungan itu, seorang peniaga yang menjual iPhone menerusi francais cawangan Pontianak yang dinamakan 'Abang Apple', kini turut menawarkan perkhidmatan sewaan telefon pintar tersebut.


Pemilik Abang Apple, Aprin berkata, perkhidmataan sewaan itu dapat memberikan pelanggan pengalaman menggunakan iPhone, terutamanya untuk golongan yang belum mampu membeli telefon mahal itu.


"iPhone memberikan pengalaman berbeza kepada penggunanya berbanding telefon pintar lain. Perkhidmatan sewaan telefon pintar ini juga boleh dijadikan pilihan kepada mereka yang bercadang untuk beli iPhone pada masa akan datang," katanya.


Menurutnya, telefon pintar itu boleh disewa secara harian bermula pada harga 40,000 rupiah (RM11.68) sehari untuk iPhone 6 dan 400,000 rupiah (RM117.25) bagi iPhone 11 Pro Max.


Jelas Aprin, pelanggan hanya perlu membawa salinan kad pengenalan, kad SIM dan mengisi borang butiran diri untuk mendapatkan perkhidmatan sewaan tersebut.


"Pelanggan hanya menyediakan salinan kad pengenalan atau lesen memandu dan mengisi borang data peribadi. Jika lulus pengesahan, pelanggan boleh segera membawa iPhone yang diingini," kata Aprin kepada Kompas.com, semalam (10/12/2021).


EmoticonEmoticon