Sabtu, 20 November 2021

Misi Manusia Ke Marikh Tingkatkan Peluang Makhluk Asing Ceroboh Bumi Memusnahkan Ekosistem


Satu kajian mendapati bahawa misi manusia ke planet Marikh telah meningkatkan potensi serangan makhluk asing ke atas Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 17 November 2021.


Laporan baharu daripada seorang pakar dalam bidang ekologi dan spesies penceroboh, Profesor Anthony Ricciardi menyatakan bahawa makhluk asing dari Marikh boleh memusnahkan ekosistem di Bumi.


"Bahaya yang datang bukan daripada 'lelaki hijau' yang tiba dengan piring terbang, tetapi daripada pencemaran mikrobiologi daripada persekitaran luar Bumi.


"Bakteria dan kulat boleh melekat pada kapal angkasa dan bertahan untuk hidup ketika kenderaan angkasa pulang ke Bumi, sekali gus memberi ancaman kepada ekosistem planet ini," katanya.


Tegasnya, disebabkan kosnya yang besar kepada sektor sumber dan kesihatan manusia, pencerobohan biologi merupakan isu bio-keselamatan global yang memerlukan penyelesaian rentas sempadan yang ketat.


"Era penerokaan angkasa lepas membawa risiko baharu iaitu pencerobohan. Ia juga dikhuatiri organisma serupa dari Bumi boleh bertahan dalam perjalanan ke planet lain dan mempunyai kesan yang sama di sana," katanya.


Sementara itu, Ricciardi turut memberi amaran bahawa interaksi perumah parasit boleh menjadi ancaman, seperti yang ditulisnya dalam jurnal BioScience.


"Penyelidikan dalam sains berkaitan pencerobohan telah menghasilkan pandangan baru untuk epidemiologi, evolusi pesat, hubungan antara biodiversiti dan dinamik interaksi pemangsa dan perumah parasit.


"Protokol untuk pengesanan awal, penilaian bahaya, tindak balas pantas dan prosedur pembendungan, yang kini digunakan untuk spesies invasif di Bumi boleh disesuaikan untuk menangani bahan cemar dari angkasa lepas yang berpotensi," katanya.


Misi manusia ke marikh membuatkan makhluk asing lebih mudah menceroboh Bumi. - Foto Getty Images.


EmoticonEmoticon