Sabtu, 20 November 2021

54 individu langgar SOP diberkas ketika sedang berhibur

Sebahagian daripada 49 pengunjung yang ditahan.

Kegembiraan sekumpulan 49 pengunjung yang leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dr. Lim Chwee Leong di Georgetown terbantut apabila diserbu polis, kelmarin.


Sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, telah menahan 14 wanita warga asing dan 35 pelanggan tempatan kira-kira pukul 10.30 malam.


Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis berkenaan bersama tiga pekerja iaitu pasangan lelaki dan wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua tangkapan berusia dalam lingkungan 20 hingga 54 tahun. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati penjaga premis berkenaan melakukan kesalahan menggaji serta melindungi warga asing.


"Lelaki tersebut dikenakan kompaun RM30,000 atas tiga kesalahan iaitu gagal menyediakan laluan keluar masuk, menjalankan aktiviti hiburan dan gagal memastikan pelanggan menjaga penjarakan fizikal.


"Selain itu, kesemua warga tempatan yang diperiksa juga dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang atas kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau memberitahu, siasatan ke atas seorang pekerja bersama 14 wanita warga asing akan dilakukan di bawah Akta Imigresen dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).


"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.


"Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," jelasnya.


Katanya, saringan air kencing yang dilakukan terhadap kesemua mereka didapati negatif daripada sebarang pengambilan dadah. Kesemua individu terbabit kini ditahan reman selama tiga hari hingga 22 November ini untuk siasatan lanjut.


EmoticonEmoticon