Isnin, 3 Ogos 2026

Terbabas dikejar anjing liar, pemuda koma lebih seminggu mungkin alami kecederaan otak kekal


Seorang mekanik yang koma lebih seminggu selepas motosikal ditunggangnya terbabas dipercayai akibat dikejar sekumpulan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Klang, kini berdepan kemungkinan mengalami kecederaan otak kekal.


Bagaimanapun, mangsa, Muhamad Shahrul Yuzzi Che Ahmad, 27, sudah dibenarkan keluar hospital selepas menjalani pembedahan, namun masih mengalami gangguan ingatan dan memerlukan pemantauan keluarga sepanjang masa.


Kakaknya, Rozaini Che Ahmad, 43, berkata, doktor memaklumkan, Muhamad Shahrul berkemungkinan mengalami kecederaan kekal pada otak dan tidak akan kembali normal sepenuhnya.


"Alhamdulillah dia kini sudah boleh berjalan, bercakap dan makan sendiri, tetapi ingatannya masih terganggu. Kadang-kadang dia ingat, lupa dan ada masanya bercakap perkara yang merapu," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Rozaini, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam hingga 1 pagi pada 13 Julai lalu, Muhamad Shahrul yang sedang menunggang motosikal pulang dari kedai sebelum dipercayai dikejar sekumpulan anjing liar.


Katanya, Muhamad Shahrul hilang kawalan sebelum terjatuh dan mengalami pendarahan serius di kepala sehingga terpaksa menjalani pembedahan kecemasan.


"Doktor beritahu pendarahan di kepala terlalu banyak dan peluangnya ketika itu hanyalah 50 peratus, namun keluarga kemudian diminta membuat keputusan segera untuk membenarkan pembedahan dilakukan.


"Selepas pembedahan, dia ditidurkan dan hanya sedar kira-kira seminggu kemudian," katanya.


Rozaini berkata, sepanjang adiknya dirawat, ibunya yang sudah berusia tidak dapat menahan sebak melihat keadaan anak bongsu daripada tujuh beradik itu.


"Mak selalu menangis dan termenung di sisi katilnya. Kami adik-beradik bergilir-gilir menjaga dan membantu sepanjang dia dirawat.


"Bila perkara ini berlaku, bukan saja mental keluarga terjejas, malah kewangan dan kesihatan kami turut terkesan," ujarnya.


Rozaini berharap isu lambakan anjing liar di kawasan perumahan itu dapat ditangani segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.


"Saya sendiri pernah dikejar empat ekor anjing ketika menunggang motosikal bersama anak kecil dan anak kawan yang baru berusia lima tahun.


"Jiran kami juga ada yang pernah dikejar. Saya harap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya supaya tiada lagi mangsa lain," jelasnya.


Rozaini memberitahu, keluarganya kini reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur kerana Muhamad Shahrul selamat dan semakin pulih.


"Paling penting ALLAH masih panjangkan usia adik dan kami berdoa agar dia kembali sembuh seperti sedia kala," tambahnya.


Muhamad Shahrul semasa menerima rawatan di hospital selepas motosikal ditunggangnya terbabas dipercayai akibat dikejar sekumpulan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Klang pada 13 Julai lalu.


EmoticonEmoticon