"Kalau mahkamah bagi (benarkan) ikat jamin, kamu hendak tinggal di mana? Sebab mahkamah tak boleh bagi kamu duduk serumah dengan isteri (sementara waktu)."
Majistret Mustaqim Sukarno berkata demikian kepada seorang pemandu lori yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas tuduhan mencederakan isterinya dengan menumbuk bibir wanita itu disebabkan cemburu.
Tertuduh berusia 32 tahun bagaimanapun memberitahu, dia akan menetap di rumah ibu bapanya buat sementara waktu hingga kes selesai.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak hasil perkahwinan terdahulu didakwa menumbuk, menarik dan menolak isterinya berusia 40 tahun ke dinding dengan perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Parit Raja, 10.30 malam pada 29 Julai lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A yang boleh dipenjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Seksyen 326A pula memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.
Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh dengan mangsa bergaduh selepas cemburu isterinya menerima panggilan daripada kenalan lelaki.
Insiden itu kemudiannya menyebabkan tertuduh mengamuk lalu menyiram air ke muka wanita itu. Tertuduh menarik mangsa ke dalam bilik dan menolaknya hingga terkena dinding.
Kejadian itu disaksikan anak perempuan pengadu yang kemudiannya campur tangan untuk meleraikan pergaduhan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Kamarulariffin Nordin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat supaya melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Selain itu, mahkamah melarang tertuduh mengganggu atau mendekati mangsa sehingga kes selesai. Kes disebut semula pada 28 September ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

EmoticonEmoticon