Seorang lagi lelaki etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan melarikan 13 palet acuan aluminium bernilai kira-kira RM200,000 di sebuah premis di Sungai Udang, dua bulan lalu.
Bagaimanapun, sejurus jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan dalam Bahasa Melayu dalam prosiding di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, tertuduh, Akter Faruk Hafez Ahmad, 18, menyatakan tidak memahaminya dan memerlukan jurubahasa Rohingya.
Mengikut pertuduhan, Akter Faruk bersama enam yang sudah dituduh, didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki dan mengambil 13 palet acuan aluminium.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di TYT Stor, Lot 4055, Sungai Udang, Melaka pada 15 Jun lalu, kira-kira jam 2.20 pagi. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan melakukan pendakwaan dan tidak mencadangkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh hanya memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan tiada dokumen pengenalan diri lain yang sah.
Katanya, pendakwaan bimbang risiko tertuduh melarikan diri dari negara ini jika dilepaskan dengan jaminan, apatah lagi tiada pengakuan direkodkan atas pertuduhan itu. Tertuduh diwakili peguam Nigel Tai.
Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 10 Ogos depan untuk kehadiran jurubahasa Rohingya dan jaminan tidak dibenarkan.
Media sebelum ini melaporkan enam lelaki Rohingya dituduh atas kesalahan sama, menjadikan tujuh ahli kumpulan samun didalangi etnik berkenaan yang ditumpaskan polis menerusi Ops Kargo didakwa di mahkamah setakat ini.
Akter Faruk Hafez Ahmad (kanan) dikawak polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini. - Foto NSTP.

EmoticonEmoticon