Tindakan seorang penuntut lelaki sebuah universiti awam menghendap rakan wanita sekampusnya selama tiga bulan akhirnya membawa padah apabila dia diberkas polis di sekitar Seksyen 7, Shah Alam malam tadi.
Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira pukul 8.30 malam, kurang lima jam selepas mangsa membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 22 tahun kira-kira pukul 3.55 petang semalam.
Menurut beliau, mangsa yang juga penuntut universiti awam telah mendakwa telah diganggu dan diekori berkali-kali oleh lelaki sama sejak April lalu sehingga kini.
"Suspek dikatakan mengganggu dan mengekorinya ketika berada di tempat pengajian serta di kawasan rumah.
"Susulan itu, kita telah berjaya menahan suspek yang juga penuntut sebuah universiti awam dan kini direman sehari," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah serta negatif penggunaan dadah.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan perbuatan menghendap (stalking) yang dilakukan secara berulang kali.
"Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda jika didapati bersalah.
"Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai kes ini diminta tampil membantu siasatan," jelasnya.
Terdahulu, tular video di aplikasi Threads memaparkan seorang lelaki mengambil kasut dari dalam rumah lalu menghidunya di sebuah apartment di Seksyen 7, Shah Alam.

EmoticonEmoticon