Isnin, 13 Julai 2026

Pempengaruh direman 7 hari bantu siasatan kes rogol remaja 14 tahun

(Foto dijana AI)

Seorang pempengaruh ditahan polis selepas disyaki merogol dan merakam gambar lucah seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah sewa di Taman Kangar, semalam.


Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata suspek berusia 23 tahun itu ditahan selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan, petang semalam.


Katanya, berdasarkan siasatan awal, insiden bermula kira-kira jam 12.01 tengah malam pada 17 Jun lalu apabila suspek menjemput mangsa di rumahnya di Kampung Wang Kelian, Kaki Bukit dengan menaiki kereta Proton Saga.


"Suspek kemudian membawa mangsa makan malam di sebuah restoran di Bintong sebelum membawa remaja itu ke rumah sewanya di Taman Kangar.


"Kira-kira jam 3.10 pagi, suspek mengajak mangsa masuk ke rumah sewa berkenaan sebelum merogolnya dalam bilik tidur, selain turut merakam gambar mangsa ketika insiden terbabit berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Yusharifuddin berkata, suspek kemudian menghantar mangsa pulang ke rumahnya kira-kira jam 4 pagi hari sama.


Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai kasut di Kuala Lumpur kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga Ahad ini bagi membantu siasatan.


"Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Kangar, Ana Rozana Mohd Nor pagi tadi. Mangsa juga sudah dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar bagi menjalani pemeriksaan perubatan," katanya.


Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 5 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon