Isnin, 13 Julai 2026

JIM gempur lokasi borong pakaian di Kenanga, seramai 111 warga asing ditahan


Ada yang bertempiaran lari, manakala ada yang sanggup menggadaikan nyawa bersembunyi di atas bumbung serta di celah-celah kotak di dalam premis demi mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.


Bagaimanapun, helah itu gagal apabila lokasi tumpuan pemborong pakaian di sekitar Jalan Kenanga, Kuala Lumpur itu terlebih dahulu dikepung dalam serbuan Op Mega Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, jam 11 pagi tadi.


Dalam operasi itu, seramai 111 warga asing berjaya ditahan selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan ke atas 236 individu di kawasan berkenaan.


Malah ada juga majikan yang panik kerana bimbang dikompaun kerana menggaji pekerja warga asing tidak sah dengan mengarahkan pekerjanya bersembunyi di atas loteng di tingkat empat premis pakaian.


Bagaimanapun helah itu terbongkar selepas pemeriksaan di tingkat empat itu kemudian menemukan lima pekerja warga asing sedang bersembunyi.


Sementara itu di salah satu premis, anggota JIM terpaksa memecahkan pintu besi yang berkunci sebelum menemukan warga asing bersembunyi di dalam timbunan kotak dan seorang lagi di celah-celah patung hiasan.


Manakala seorang lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun yang ditemukan dalam premis itu selepas ditahan mendakwa dirinya pelajar sebuah kolej di ibu negara.


"Saya tidak bekerja di sini hanya tinggal di atas sebagai tempat tidur kerana masih belajar," katanya yang tidak fasih berbahasa Melayu dan Berbahasa Inggeris.


Sementara itu, lagi lelaki warga Bangladesh yang bersembunyi di celah kotak itu turut mengaku sebagai pelajar kolej mendakwa mengambil jurusan perniagaan.


Bagaimanapun ketika diminta menunjukkan bukti pas pelajar, lelaki itu gagal mengemukakannya dan mengaku tidak mempunyai dokumen itu.


Susulan itu, mereka ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh JIM bagi mengenal pasti kesalahan imigresen dilakukan.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon