Ahad, 9 Jun 2024

10 GRO sanggup berpanas dan berhimpit dalam bilik rahsia mengelak dicekup


Gara-gara ingin mengelak dicekup pihak berkuasa, 10 wanita warga Vietnam disyaki pelayan pelanggan (GRO) sanggup bersesak dalam sebuah bilik rahsia tanpa pengudaraan sempurna.


Bagaimanapun, cubaan mereka itu gagal apabila berjaya dikesan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam serbuan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Pasir Puteh, Ipoh semalam.


Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, kecekapan anggota telah berjaya mengesan dan menggagalkan taktik licik wanita warga asing itu untuk meloloskan diri.


Katanya, bilik rahsia yang digunakan itu didapati menggunakan pintu automatik kawalan jarak jauh selain tiada sistem pengudaraan yang sempurna.



"Kesemua wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ditemui dalam keadaan berpeluh dan lemah setelah hampir satu jam bersembunyi di dalam bilik tersebut.


"Pemeriksaan mendapati, kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya hari ini.


Menurut beliau, operasi sama turun dijalankan di empat premis perniagaan dan dua kediaman di sekitar Ipoh bermula pukul 8.30 malam semalam hingga 12.30 tengah malam tadi.


Katanya, dalam serbuan itu, pemeriksaan dijalankan terhadap 79 orang warga asing dari pelbagai negara.


"Daripada jumlah itu, seramai 42 orang warga asing ditahan. Mereka terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia, 15 wanita warga Vietnam, tujuh wanita warga Thailand dan dua lelaki warga Myanmar.


"Kesemua yang ditahan berusia antara dua hingga 50 tahun," katanya.


Tambah beliau, kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.


Operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Perak berjaya membongkar bilik rahsia di sebuah pusat hiburan di Pasir Puteh pada Sabtu. - Foto Imigresen Perak.


EmoticonEmoticon