Ahad, 9 Jun 2024

Warga emas rugi RM44,500 selepas layan panggilan video wanita bogel


Perkenalan seorang lelaki warga emas dengan seorang wanita warga Indonesia melalui media sosial bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia diugut untuk sebarkan video bogelnya.


Malah mangsa berusia 61 tahun itu turut mengalami kerugian RM44,500 apabila terpaksa membayar suspek bagi mengelakkan videonya disebarkan.


Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata mangsa yang juga pesara kerajaan pada mulanya berkenalan dengan suspek itu menerusi aplikasi Messenger Facebook ketika berada di rumahnya pada 29 Mei lalu.


Katanya, susulan perkenalan itu, pada 3 Jun lalu kira-kira jam 4.30 petang mangsa menerima panggilan video daripada suspek berkenaan ketika sedang memandu kereta.


"Mangsa menjawab panggilan itu dan mendapati suspek dalam keadaan bogel, sebelum meminta mangsa turut menanggalkan pakaian.


"Mangsa kemudian membuka seluar dan menunjukkan kemaluannya kepada suspek dan melayan panggilan video dalam tempoh kira-kira satu minit.


"Tidak lama selepas itu mangsa menerima satu rakaman video berdurasi seminit yang memaparkan muka dan kemaluan mangsa sebelum bertindak memadamkan video itu kerana tidak mahu diketahui orang lain," katanya.


Chang Hook berkata, pada 4 Jun lalu mangsa masih menerima video yang sama sebelum mangsa diugut supaya membayar Rupiah 15 juta (RM45,000) bagi memadamkan video berkenaan.


Katanya, selepas berunding suspek meminta mangsa membayar wang RM2,000 dan sebaik menerima bayaran itu suspek tidak lagi menghubungi mangsa.


Bagaimanapun, katanya dari 5 Jun sehingga 7 Jun lalu, mangsa masih lagi menerima ugutan untuk menyebarkan video bogelnya daripada suspek.


"Mangsa kemudian membuat lima transaksi pada tiga nombor akaun bank berlainan berjumlah RM42,500 melalui kiriman wang di dua buah kaunter kiriman wang di Bahau.


"Semalam, mangsa masih lagi menerima ugutan dan diminta memasukkan wang sebanyak RM58,500 bagi menyelesaikan masalah itu, namun pesara itu tidak berbuat demikian kerana sudah tidak mempunyai wang," katanya.


Chang Hook berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.


EmoticonEmoticon