Ahad, 11 Februari 2024

Penemuan mengejutkan planet bercirikan Bumi bersaiz lebih besar

 

Satelit Tinjauan Eksoplanet Transit (TESS) NASA telah mengesan planet 'super Bumi' yang mengorbit bintang kerdil berwarna merah terletak sejauh 137 tahun cahaya dari Bumi. Sistem yang sama juga mungkin mempunyai planet kedua bersaiz bumi yang dinamakan TOI-715 c.


Planet yang lebih besar, digelar TOI-715 b, adalah kira-kira 1.5 kali ganda lebih besar daripada Bumi, dan mengorbit dalam zon boleh didiami 'konservatif' di sekitar bintang induknya.


Ia berada di kawasan sekitar bintangnya di mana air cecair akan dapat bertahan tanpa mendidih atau beku, dipanggil zon boleh dihuni kerana kepentingan air kepada kehidupan.


Menggunakan TESS, pasukan saintis antarabangsa yang diketuai oleh saintis Universiti Birmingham Georgina Dransfield melihat super Bumi itu ketika ia melintasi bintang kerdil induknya TOI-715.


Planet luar suria atau 'exoplanet' yang telah dinamakan TOI-715 b ini diletakkan sebagai pertaruhan terbaik untuk mencari planet yang boleh dihuni.


Planet-planet ini memiliki orbit yang jauh lebih dekat daripada yang mengelilingi bintang seperti Matahari kita, tetapi kerana kerdil merah adalah lebih kecil dan lebih dingin, planet-planet boleh berkumpul lebih dekat dan masih selamat dalam zon boleh didiami bintang itu.


1 Tahun di sini hanyalah 19 hari sahaja, bermakna ia hanya mengambil masa 19 hari untuk melengkapkan satu pusingan mengelilingi bintangnya berbanding 365 hari yang dilakukan Bumi.


Eksoplanet yang dikesan oleh TESS ini, kini di dalam tinjauan oleh Teleskop James Webb NASA.


Planet yang wujud dalam zon boleh didiami di sekeliling bintangnya tidak bermakna ia boleh didiami. Sebagai contoh, pemerhati jarak yang boleh melihat Matahari dan planetnya akan melihat Zuhrah, Bumi dan Marikh berada dalam zon boleh didiami, tetapi dari sudut pandangan kita di dalam sistem suria, kita tahu hanya satu yang boleh didiami pada masa ini.


Menggunakan JWST, ahli astronomi boleh mendedahkan ciri-ciri tentang TOI-715 b yang penting untuk kebolehdiaman, seperti betapa besarnya planet ini dan jika ia masih mempunyai atmosfera.


Penyelidik kemudiannya boleh mengetahui sama ada planet itu adalah 'dunia air,' yang menawarkan petunjuk lanjut tentang potensi didiami. - Sumber Space.com.


Ilustrasi menunjukkan exoplanet 'super Bumi' mengorbit bintang kerdil merah. - Foto Robert Lea created with Canva.


EmoticonEmoticon