Ahad, 24 September 2023

Penduduk terkejut lihat aligator heret mayat manusia


Seorang lelaki di Florida terkejut apabila melihat seekor aligator sepanjang 4.3 meter sedang mengheret mayat manusia dengan menggunakan mulutnya, lapor akhbar Metro UK pada 23 September 2023.


Pasukan kecemasan dikejarkan ke bandar Largo berhampiran Tampa di Florida, Amerika Syarikat, sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan), Jumaat lalu.


Orang awam, JaMarcus Bullard berkata, dia sedang memancing ikan di sebuah tasik di kawasan kejiranan itu apabila dia ternampak kelibat reptilia itu mengheret badan manusia.


"Saya nampak macam ada badan manusia di dalam mulut (aligator itu), jadi saya terus memanggil bomba," katanya kepada WTVT.


Katanya, dia bimbang sekiranya mayat itu adalah kanak-kanak berikutan kawasan itu berhampiran dengan sebuah sekolah.


Susulan itu, kawasan terbabit ditutup sementara bagi memberi laluan polis dan bomba menjalankan tugas mereka. Anggota bomba terpaksa bergelut dengan aligator itu untuk mengumpan ia keluar dari air supaya mayat dapat dikeluarkan.


Seorang penduduk yang tinggal berhampiran, Jennifer Dean berkata, orang ramai keluar dari rumah mereka apabila mereka mendengar bunyi tembakan.


Sementara itu, Pejabat Syerif Daerah Pinellas mengesahkan, haiwan itu dibunuh secara terhormat.


"Mayat itu adalah jasad individu dewasa dan bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat untuk mengenal pasti identitinya," kata polis. - Sumber Metro UK.


Pihak berkuasa menangkap aligator yang menarik mayat manusia yang identitinya masih tidak dikenal pasti. - Foto Spectrum News.


EmoticonEmoticon