Ahad, 24 September 2023

Empat maut kerana tersedut udara keranda


Sekurang-kurangnya empat maut di Jepun akibat kes terhidu karbon dioksida daripada ais kering yang digunakan untuk memelihara mayat di dalam keranda, lapor The Straits Times pada 23 September 2023.


Kejadian itu mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran pada Khamis supaya orang ramai jangan berada terlalu dekat dan terlalu lama dengan keranda yang terbuka.


Mangsa yang mati dalam kes itu berumur antara 40 dan 70 tahun dikatakan berdiri terlalu dekat dan terlalu lama di sebelah keranda dengan mayat saudara mereka, lapor Yomiuri Shimbun.


Rekod menunjukkan bahawa kematian seperti itu berlaku di dalam rumah di Aomori pada 2018 dan di Okinawa pada 2020, serta kemudahan pengebumian di Miyagi dan Miyazaki pada 2021.


The Mainichi Shimbun, memetik Agensi Hal Ehwal Pengguna Jepun (CAA), berkata dalam setiap kes, mangsa ditemukan berhampiran keranda yang terbuka.


CAA menasihatkan mereka yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada si mati supaya tidak meletakkan muka mereka dekat keranda untuk jangka masa yang lama dan memastikan bilik mempunyai pengudaraan baik.


Badan pemerhati pengguna Jepun dan All Japan Funeral Directors Co-operation (Zensoren) berpangkalan di Tokyo, pada Khamis lalu, meminta supaya dilaksanakan sistem pengudaraan yang lebih baik semasa majlis pengebumian.


Zensoren berkata, jumlah ais kering yang digunakan untuk mengawet mayat manusia perlu diselaraskan berdasarkan saiz badan dan tempoh pemeliharaan.


Ia meminta ahlinya untuk memeriksa sebarang kematian yang berkaitan dengan ais kering dan menasihati mereka dalam perkhidmatan pengebumian supaya maklum mengenai risikonya.


Ais kering ialah bentuk pepejal karbon dioksida, atau CO2. Dalam keadaan biasa, CO2 ialah gas tidak berwarna dan tidak berbau yang membentuk kira-kira 0.03 peratus daripada udara.


Kepekatan melebihi tiga hingga empat peratus boleh menyebabkan gejala seperti sakit kepala dan pening.


Pada tahap 10 peratus, ia boleh menjejaskan penglihatan, menyebabkan tinitus (bunyi di dalam telinga seperti bunyi berdering, berdengung dan berkerik) dan boleh membawa maut dalam masa seminit.


Menurut kajian oleh CAA dan agensi lain, kepekatan CO2 dalam keranda tertutup boleh mencapai setinggi 90 peratus.


Apabila penutup keranda ditanggalkan, kepekatan mungkin kekal tinggi iaitu kira-kira 30 peratus selama 50 minit.


Profesor Taro Mizutani, yang mengajar di Universiti Tsukuba dan kini pengarah urusan Pusat Perubatan Barat Ibaraki menjelaskan, memandangkan karbon dioksida lebih tumpat daripada udara, ia boleh mendap.


"Walaupun dengan penutup keranda terbuka, dalam ruang terkurung seperti di dalam keranda, terdapat risiko karbon dioksida terkumpul.


Berdekatan dengan keranda, terutamanya jika banyak ais kering digunakan, boleh mendedahkan anda kepada ancaman keracunan karbon dioksida," katanya kepada Yomiuri Shimbun. - Sumber The Straits Times.


Dalam keadaan biasa, CO2 ialah gas tidak berwarna dan tidak berbau yang membentuk kira-kira 0.03 peratus daripada udara. - Foto UNSPLASH.


EmoticonEmoticon