Ahad, 20 November 2022

Muhyiddin dapat sokongan mencukupi jadi PM ke-10


Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin memperoleh jumlah sokongan mencukupi ahli-ahli Dewan Rakyat untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri ke-10.


Muhyiddin berkata, dua pemimpin daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyatakan sokongan serta kepercayaan kepadanya untuk dilantik mengetuai kerajaan Pusat.


Katanya, beberapa Ahli Dewan Rakyat lain juga telah memberikan komitmen sama. Beliau juga memaklumkan sudah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada petang tadi.


"Saya telah melaporkan kepada Majlis Tertinggi PN bahawa saya mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pada pagi tadi berhubung pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15).


"Beliau telah memaklumkan kesediaan Ahli-Ahli Dewan Rakyat GPS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurut Muhyiddin, beliau juga mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor yang juga menyatakan kesediaan Ahli Dewan Rakyat GRS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya sebagai Perdana Menteri Ke-10.


"Sebagai Pengerusi PN, saya berkeyakinan bahawa saya akan memperoleh bilangan sokongan mencukupi daripada Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan saya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-10 seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya. - Sumber Harian Metro.


Muhyiddin Yassin (tengah) menerima kunjungan Abang Johari dan Abdul Hadi bagi membincangkan mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan, hari ini.


EmoticonEmoticon