Ahad, 20 November 2022

BN tidak pernah berunding tubuh Kerajaan Persekutuan bersama GPS, PN - Ahmad Zahid


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan Barisan Nasional (BN) melakukan sebarang perbincangan bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dengan Perikatan Nasional (PN).


Beliau yang juga Pengerusi BN, berkata, tiada sebarang perundingan dengan PN setakat ini yang boleh membawa maksud kepada adanya persefahaman membentuk kerajaan dengan gabungan berkenaan.


Ahmad Zahid merujuk kenyataan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan persetujuan untuk GPS bekerjasama dengan PN, BN dan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


"Merujuk kepada kenyataan Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg, saya ingin menegaskan bahawa BN tidak pernah sekali pun berunding dengan GPS untuk memberikan persetujuan membentuk Kerajaan Persekutuan dengan PN.


"Saya juga ingin menambah bahawa sehingga kini, tiada perbincangan dengan PN mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan dengan mereka," katanya dalam satu kenyataan malam ini.


Beliau turut memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada beliau untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.


"Sehubungan ini, mana-mana ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ali Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan," katanya.


Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


EmoticonEmoticon