Jumaat, 6 Mei 2022

Wanita mabuk pandu SUV turuni tangga salahkan GPS


Seorang wanita mabuk di Amerika Syarikat (AS) memandu kenderaannya menuruni tangga di sebuah garaj, lapor laman berita Wion News pada 3 Mei 2022.


Wanita berusia 26 tahun itu berkata, insiden itu berpunca daripada kesilapan aplikasi sistem pengesanan global (GPS) kerana membawanya ke tangga.


Dia memandu kenderaan utiliti sukan (SUV ) di atas tangga menuju ke garaj Jabatan Polis Portland. Polis mendakwa bahawa wanita itu memandu dalam keadaan mabuk.


"Seorang wanita berusia 26 tahun memandu melalui Jabatan Polis melintasi plaza pejalan kaki kami dan kemudian cuba menuruni tangga ke Middle Street.


"Wanita itu memberitahu bahawa dia mengikut arahan aplikasi GPS tetapi pegawai yang menyiasat kes tersebut berpendapat kejadian itu berpunca daripada perbuatan memandu di bawah pengaruh alkohol," kata kenyataan polis.


Tambah kenyataan sama, wanita yang masih belum didedahkan identitinya itu setakat ini, telah disaman kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.


"Kami bernasib baik kerana dia tidak melanggar sesiapa dan kejadian itu berakhir dengan hanya kerosakan harta benda. Tolong jangan minum arak dan memandu," jelas kenyataan itu.


Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan, setiap hari, kira-kira 28 orang di AS maut dalam kemalangan memandu dalam keadaan mabuk - iaitu seorang setiap 52 minit.


"Pada 2019, kematian ini mencapai peratusan terendah sejak 1982 apabila NHTSA mula melaporkan data alkohol - tetapi masih 10,142 orang kehilangan nyawa. Kematian ini semuanya boleh dicegah," kata data di laman web itu. - Sumber Wion News.


Gambar menunjukkan keadaan kereta wanita terbabit yang tersekat ketika cuba dipandunya menuruni tangga gajar.


EmoticonEmoticon