Saintis menemui planet 'cacat' dua kali ganda saiz planet Musytari

Tags



Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) mengesan sebuah planet di luar sistem suria kita yang berbentuk seperti sebiji bola ragbi, para saintis melabelkan objek itu sebagai planet 'cacat', lapor akhbar Daily Star pada 12 Januari 2022.


Dinamakan Eksoplanet WAP-103b, planet dua kali ganda saiz Musytari itu menjadi tanda tanya kepada pakar-pakar angkasa lepas, yang ingin tahu dengan lebih mendalam mengenai kewujudannya selepas ia mula dikesan dalam buruj Hercules.


"Misi Cheops eksoplanet ESA mendapati bahawa terdapat sebuah eksoplanet yang mengorbit bintang perumah dalam masa sehari serta mempunyai bentuk yang tidak sempurna. Ia berbentuk seperti bola ragbi, dan bukannya sfera.


"Ini merupakan kali pertama di mana kecacatan pada eksoplanet ditemui, sekali gus menawarkan maklumat baharu mengenai struktur dalaman planet-planet di sekitar bintang," kata ESA dalam satu kenyataan.



Eksoplanet merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan mengenai planet yang berada di luar sistem suria.


Para penyelidik menggunakan data daripada teleskop Hubble dan Spitzer Nasa serta teleskop angkasa Cheops ESA, untuk mendapatkan gambar planet aneh itu, lapor The Sun.


Sementara itu, satu kertas kajian yang diterbitkan mendedahkan bahawa saintis mendapati eksoplanet tersebut, yang bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada Musytari itu berkemungkinan mempunyai struktur sama dengan gergasi gas.


"Jika kita boleh mengesahkan butiran-butiran mengenai struktur luarannya dengan pemerhatian lanjut, mungkin kita akan lebih memahami apa yang membuatkan planet itu menjadi terapung seperti itu.


"Selain itu, pengetahuan mengenai saiz terasnya juga adalah penting untuk kita lebih memahami bagaimana ia terbentuk," kata pengarang utama kajian tersebut, Susana Barros.


Para saintis juga bingung mengapa planet tersebut kelihatan semakin menjauh dari bintang yang ia kelilingi. Mereka bercadang untuk meneruskan pemerhatian terhadap objek angkasa yang pelik untuk mencuba mendapatkan lebih banyak pemahaman.


Planet tersebut terletak di bahagian luar sistem suria kita dan dua kali ganda saiz planet Musytari. Foto ESA.


EmoticonEmoticon