Sabtu, 9 Oktober 2021

Kutip Sewa Tertunggak, Seorang Lelaki Maut Bergelut Minta Sewa Rumah


Gara-gara pertengkaran dikatakan membabitkan wang sewa rumah, seorang lelaki maut dengan kesan luka di dahi akibat pergelutan menggunakan parang dengan seorang individu yang menghuni kediaman berkenaan di Jalan Batu Pahat, Kampung Guar Sabun, Kangar, semalam.


Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam selepas mangsa, Kamarul Izahar Mat Nanyan, 49, yang berasal dari Kampung Abi Batas Paip Abi, terbabit dalam pergaduhan dengan seorang lelaki yang tinggal di rumah tersebut.


"Siasatan awal polis, mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian tunggakan sewa rumah di mana mangsa sebelum itu pergi ke rumah suspek sambil membawa sebilah parang.


"Mangsa bertindak mengarahkan suspek yang menganggur itu segera membayar sewa rumah yang diduduki bersama isterinya namun suspek tidak mahu melayan tuntutan mangsa sambil mendakwa sewa itu sudah dibayar kepada seorang jiran di kampung itu dikenali sebagai Nana," katanya dalam kenyataan hari ini.



Wari berkata, jawapan suspek itu membuatkan mangsa berang, kemudian mengamuk dengan menetak cermin kereta kepunyaan lelaki tersebut yang diletakkan di hadapan rumah.


"Melihatkan tindakan mangsa itu, suspek kemudian menghampirinya menyebabkan mangsa terus menetak sebelum berlaku pergelutan di antara mereka.


"Isteri suspek yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi jiran yang bernama Nana, dan apabila Nana tiba di tempat kejadian, mangsa dan suspek masih bergelut di tepi rumah, sebelum meminta bantuan empat jiran lain yang berada berhampiran.


"Ketika keempat-empatnya sampai, mereka terus membantu suspek menangkap dan mengikat mangsa sebelum mendapati mangsa sudah tidak bergerak. Susulan itu, mereka menghubungi polis dan paramedik," katanya.


Wari berkata, polis yang tiba di lokasi menemui mangsa dalam keadaan terlentang di luar rumah dalam keadaan tangan terikat di bahagian belakang menggunakan tali berwarna kuning.


"Pemeriksaan daripada badan luaran mangsa terdapat luka kecil di atas dahi. Pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.


"Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah bagi tujuan bedah siasat dan akan dilakukan selepas menerima keputusan ujian Covid-19,” katanya.


Tambah Wari, lelaki yang diserang oleh mangsa itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan masih menerima rawatan HTF. Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki termasuk seorang pesara tentera bagi membantu siasatan pembunuhan itu.


"Empat orang lelaki yang berusia antara 39 hingga 55 tahun direman selama tujuh hari sehingga 15 Oktober bagi membantu siasatan. Kita masih menyiasat punca kejadian, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - Sumber Utusan Malaysia


Lokasi di mana seorang lelaki maut dalam pergelutan di sebuah rumah di Jalan Batu Pahat, Kampung Guar Sabun, Kangar, Perlis. - Foto Utusan Malaysia.


EmoticonEmoticon