Ahad, 20 Disember 2020

Hanya imbas anak mata, AADK terima alat kesan penagih dadah


Kuala Lumpur: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kini memiliki teknologi untuk kesan penagih dadah dengan mudah dan cepat. Unit alat Pengesan Dadah Visual Segera 2.0 (IVDD 2.0) adalah teknologi terbaru diterima agensi itu yang bernilai RM136,000 dalam usaha mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah di negara ini.


Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, alat sumbangan syarikat Nyla Sdn Bhd itu akan digunakan sebagai kajian projek rintis AADK mengesan penyalahgunaan dadah melalui sensor mengimbas anak mata.


Penyerahan dua alat IVDD 2.0 kepada Zulkifli disempurnakan Pengarah Nyla Sdn Bhd, Ahmad Khusairy Abd Ghani. Bagaimanapun katanya, alat berkenaan akan diuji terlebih dahulu untuk tempoh enam bulan bagi memastikan keberkesanannya sebelum digunakan.


"AADK akan terbabit sama dalam menjalankan ujian alat itu bertujuan mengenal pasti keberkesanannya. Kita berharap teknologi terbabit dapat memberikan hasil yang memuaskan.


"Ini seterusnya mewujudkan kaedah ujian pengesanan dadah yang kurang mengganggu (less instrusive)," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan dua unit alat IVDD 2.0 di sini, hari ini.



Zulkifli berkata, peringkat awal dua alat itu akan digunakan oleh AADK Kuala Lumpur dan Putrajaya semasa menjalankan operasi bersepadu dadah di pusat hiburan, kawasan 'hot spot', sarang penagihan dadah dan sekolah.


Tambah beliau, alat berkenaan memerlukan tempoh dua minit untuk menghasilkan data daripada imbasan anak mata dan ia akan disimpan dalam sistem AADK.


"Alat ini menjadi alternatif kepada ujian saringan air kencing yang kita biasa lakukan untuk mengesan penyalahgunaan dadah kepada individu yang disyaki sebelum ini.


"Cara ini lebih profesional, cepat dan bersih. Orang yang perlu menjalani saringan juga akan berasa lebih selesa dan mudah menerimanya," katanya.


Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak syarikat swasta atau badan korporat yang dapat bersama-sama membantu AADK dalam menangani penyalahgunaan dadah menerusi kaedah dan teknologi berkesan.


Katanya, syarikat swasta atau badan korporat dilihat mempunyai keupayaan, kemahiran dan sumber kepakaran teknologi yang boleh diguna pakai untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu menangani permasalahan dadah.


EmoticonEmoticon