Ahad, 4 Januari 2026

Dikejar anjing, penunggang motosikal maut, isteri dan anak cedera parah

Dikejar anjing, penunggang motosikal maut, isteri dan anak cedera parah


Seorang penunggang motosikal maut manakala isteri dan bayi lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan akibat dikejar seekor anjing dalam kemalangan di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap, Simpang Renggam, malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Amirul Azim Hamdan, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Benelli TNT300 bersama isterinya yang juga berusia 28 tahun serta bayi lelaki berusia setahun lapan bulan dari arah Tasik Machap menuju ke kawasan perumahan Taman Murni.


Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan selepas dikejar seekor anjing sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian belakang sebuah motolori jenis Scania yang diletakkan di bahu jalan sebelah kanan.


"Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


"Isteri dan bayi mangsa pula mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah dikejarkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang dengan ambulans," katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.


Bahrin berkata, kedua-dua mangsa kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan hospital berkenaan.


Menurut beliau, pemandu lori, seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun, telah menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Empangan, Taman Murni Jaya, Machap. - Foto IPD Kluang.

Sabtu, 3 Januari 2026

Pegawai tentera didakwa bayar RM23,000 selepas noda gadis

Pegawai tentera didakwa bayar RM23,000 selepas noda gadis


Seorang pegawai tentera laut Thailand didakwa membayar 180,000 baht (RM23,000) kepada seorang gadis selepas dia menodainya di wilayah Chon Buri, lapor portal berita Thaiger.


Gadis berusia 23 tahun itu membuat aduan di Balai Polis Sattahip pada 30 Disember 2025 selepas dinoda dan ditinggalkan dalam keadaan tanpa seurat benang bogel awal pagi 28 Disember lepas.


Mangsa berkata, dia hanya mengetahui bahawa suspek ialah seorang pegawai tentera laut.


Menurut gadis itu, dia dan dua rakannya yang juga wanita, keluar minum di sebuah tempat hiburan sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan).


Dua lelaki Thai kemudian menyertai meja tiga wanita tersebut dan memperkenalkan diri sebagai kelasi.


Apabila memutuskan untuk meninggalkan tempat hiburan itu, seorang lelaki lain menghampiri mangsa dan menawarkan untuk menghantarnya pulang.


Percaya bahawa lelaki itu adalah rakan kepada dua pelaut tadi, gadis tersebut bersetuju tetapi kemudian menyedari bahawa dia tidak dibawa ke tempat penginapannya.


Sebaliknya, lelaki itu memandunya ke sebuah penginapan tentera laut dan suspek cuba membawa gadis tersebut ke biliknya, tetapi mangsa menolak.


Wanita itu memberitahu polis bahawa dia tidak mampu melarikan diri dan dinodai di atas but sebuah kenderaan yang diparkir di penginapan tersebut.


Portal berita Matichon kemudian melaporkan bahawa mangsa menarik balik aduannya selepas suspek bersetuju untuk membayar 180,000 baht sebagai ganti rugi.


Seorang pegawai tentera laut didakwa merogol seorang gadis. - Foto Naewna.
'Ugutan pertama sejak 14 bulan pegang jawatan' - Ketua Polis Kelantan

'Ugutan pertama sejak 14 bulan pegang jawatan' - Ketua Polis Kelantan


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ugutan menerusi contengan menggunakan dakwat merah yang diterimanya baru-baru ini adalah yang pertama sejak beliau mengambil alih jawatan itu kira-kira 14 bulan lalu.


Beliau berkata, ugutan terbuka melalui tulisan pada dinding Lapang Sasar Menembak Kontinjen Polis Kelantan di Gunong, Bachok itu diterima pada 22 Disember lalu.


"Ugutan terbuka dengan mesej mengancam pada dinding itu adalah yang pertama saya terima sejak mengambil alih jawatan Ketua Polis Kelantan pada Oktober 2024.


"Sebelum ini, saya hanya dimaklumkan mengenai ugutan oleh pegawai Cawangan Khas," katanya.


Berdasarkan maklumat daripada pegawai Cawangan Khas, beliau berkata memang terdapat ugutan yang ditujukan kepadanya.


"Saya percaya ugutan itu ditujukan kepada saya berikutan pendirian tegas pihak polis dalam melaksanakan operasi terhadap semua bentuk kegiatan jenayah, termasuk dadah, pemberi pinjaman wang haram dan lain-lain," katanya.


Beliau berkata, polis negeri sudah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menjejaki pihak yang bertanggungjawab mencemarkan dinding perimeter lapang sasar menembak berkenaan.


"Tindakan itu mungkin dilakukan oleh remaja nakal, namun polis percaya terdapat individu tertentu di sebalik kejadian ini.


"Mereka yang bertanggungjawab boleh disifatkan sebagai tidak menghormati undang-undang kerana berani mengugut pegawai penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas membanteras jenayah.


"Kami akan mengesan mereka yang terbabit dengan mengumpul maklumat daripada penduduk setempat.


"Mereka tidak akan terlepas kerana perbuatan sedemikian seolah-olah mencabar pihak berkuasa," katanya.


Mohd Yusoff berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Beliau menegaskan ugutan itu tidak pernah melemahkan semangatnya untuk terus melaksanakan tanggungjawab membanteras jenayah di negeri ini serta mengekalkan keharmonian awam.


Semalam, Mohd Yusoff mengesahkan beliau menerima ugutan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah yang terjejas akibat tindakan tegas polis negeri terhadap kegiatan jenayah.

Berlagak samseng pegang kayu di plaza tol undang padah, polis buru dua individu

Berlagak samseng pegang kayu di plaza tol undang padah, polis buru dua individu


Tindakan dua individu berlagak samseng dengan memegang objek disyaki kayu di Plaza Tol Sungai Long, Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) mengundang padah apabila mereka kini diburu polis susulan kejadian itu pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan diterima pada jam 9.08 malam tadi.


"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada hari sama kira-kira jam 9 pagi serta melibatkan dua individu dengan salah seorang daripadanya memegang objek disyaki kayu.


"Akibat insiden tersebut, aliran trafik di kawasan berkenaan terjejas dan menimbulkan kebimbangan orang awam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.


"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-974 0758," katanya.


Tindakan dua individu berlagak samseng mengundang padah apabila kedua mereka kini sedang diburu pihak polis.
Guan Eng akan tulis surat kepada PMX, syor kadar pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan

Guan Eng akan tulis surat kepada PMX, syor kadar pelepasan cukai pendapatan individu dinaikkan


Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu depan, terkandung syor agar kerajaan menyemak semula kadar pelepasan cukai pendapatan individu.


Ahli Parlimen Bagan itu berharap kadar RM9,000 ketika ini yang kekal sejak 15 tahun lalu dinaikkan secara berperingkat kepada RM12,000.


Beliau berpandangan kadar semasa tidak lagi mencerminkan kos sara hidup semakin yang tinggi akibat inflasi.


"Kerana sekarang pelepasan cukai setahun apabila kita isi borang cukai ialah RM9,000. Tapi (kadar) ini sudah kekal selama 15 tahun.


"Jadi kalau kita lihat daripada segi kadar kenaikan inflasi, kos sara hidup sudah naik berbanding dengan 15 tahun lalu. Sekarang RM9,000 dan ia harus naik kepada RM12,200. Kita harus genapkan kepada RM12,000.


"Oleh yang demikian, saya akan tulis surat kepada PMX (Perdana Menteri) minggu depan (mengenai syor ini)," katanya hari ini.


Mengulas mengapa mencadangkan kadar pelepasan cukai dinaikkan secara berperingkat, Guan Eng menjelaskan kenaikan sebanyak RM1,000 setiap tahun sehingga 2028 tidak akan memberi kesan kepada keadaan kewangan kerajaan.


"Tapi kalau sekali gus kita naik RM3,000, saya rasa ini akan membawa kesulitan atau pun akan menjejaskan kedudukan fiskal dan kewangan kerajaan.


"Sebab itu kita cadangkan ia dibuat secara bertahap, secara berperingkat mulai tahun ini (naik sebanyak) RM1,000. Jadi kita naik RM1,000 setiap tahun.


"Kalau RM1,000 tahun ini, pada 2028 ia akan sampai RM12,000," katanya. - Sumber Harian Metro.

Jumaat, 2 Januari 2026

Isteri berpakat dengan kekasih cuba bunuh suami untuk dapat wang tuntutan insurans

Isteri berpakat dengan kekasih cuba bunuh suami untuk dapat wang tuntutan insurans


Ketaksuban terhadap wang tuntutan insurans dipercayai menjadi punca seorang wanita bertindak berpakat dengan teman lelakinya untuk membunuh suaminya sendiri di Taman Ehsan Jaya, Pasir Gudang minggu lalu.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, diserang ketika sedang tidur.


Jelasnya, lelaki yang dipercayai kekasih kepada isteri mangsa bertindak menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga menyebabkan dia sesak nafas.


"Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 22 Disember lalu, apabila isteri mangsa bukan sahaja membenarkan suspek masuk ke dalam rumah, malah bertindak memegang kaki mangsa bagi memudahkan cubaan pembunuhan itu dilakukan.


"Bagaimanapun, mangsa berjaya melawan dan melepaskan diri sebelum suspek melarikan diri dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Sohaimi memberitahu, siasatan lanjut turut mendedahkan kira-kira seminggu sebelum kejadian, isteri mangsa kerap bertanyakan tentang jumlah wang serta butiran polisi insurans yang dicarumkan oleh mangsa.


"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam menahan kedua-dua suspek pada 23 Disember bagi membantu siasatan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan arahan untuk pertuduhan telah dikeluarkan.


"Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini (Jumaat). Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun," ujarnya.

Khamis, 1 Januari 2026

'Muhyiddin berjiwa besar, ketepikan dendam peribadi demi perjuangan parti' - Noh Omar

'Muhyiddin berjiwa besar, ketepikan dendam peribadi demi perjuangan parti' - Noh Omar


Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai pemimpin berjiwa besar dan mengutamakan perjuangan parti berbanding kepentingan peribadi.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Bersatu, Tan Sri Noh Omar berkata, sifat kepimpinan matang itu juga antara faktor yang mendorong kepada keputusan beliau untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada Selasa.


"Saya lihat Tan Sri Muhyiddin sebagai pemimpin yang berjiwa besar dan tidak berdendam tetapi demi perjuangan parti, dia ketepikan kepentingan dendam peribadi.


"Sebab itu saya lihat beliau sanggup meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN kerana latar belakang beliau yang memang jujur dan berjiwa besar," katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Pusat Khidmat NGO Muafakat Nasional (MN) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Durian Tunggal semalam.


Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.


Bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan PN atas sokongan kepada beliau sepanjang memimpin gabungan terbabit.


Ujar Noh, Muhyiddin juga antara individu yang memberi sokongan ketika mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili UMNO sebagai Perdana Menteri.


"Sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, yang menjatuhkan beliau ialah UMNO. 15 orang Ahli Parlimen UMNO ketika itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin.


“Kalau Muhyiddin mementingkan diri sendiri sudah tentu beliau tidak sokong (wakil) UMNO menjadi Perdana Menteri," ujarnya.


Menurut beliau, Muhyiddin yang lebih dikenali sebagai 'Abah' juga dilihat tidak menyimpan dendam terhadap mereka.


"Saya salah seorang daripada 15 Ahli Parlimen yang menjatuhkan Muhyiddin ketika itu.


"Kalau Muhyiddin seorang yang berdendam, sudah tentu beliau tidak melantik saya sebagai MPT Bersatu," katanya.

Hadi Awang kemungkinan besar dilantik Pengerusi PN - Kamaruddin

Hadi Awang kemungkinan besar dilantik Pengerusi PN - Kamaruddin


BERSATU Kelantan tidak menolak kemungkinan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, akan dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan berkuatkuasa hari ini.


Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Noor, berkata ia mengambil kira status PAS dan BERSATU selaku dua parti besar dalam gabungan berkenaan.


Malah, katanya sebelum ini pun Muhyiddin pernah menawarkan jawatan berkenaan kepada Abdul Hadi, namun ditolak Ahli Parlimen Marang itu.


"Memandangkan dalam PN hanya mempunyai dua parti besar iaitu BERSATU dan PAS berbanding parti lain, maka logiknya Pengerusi PN nanti adalah dari PAS.


"Mengikut perlembagaan PN, mereka yang mengetuai PN adalah ketua parti masing-masing dan jika PAS yang mengetuai PN nanti, sudah tentulah Tan Sri Abdul Hadi," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pelancong di pintu masuk sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) hari ini.


Sebelum ini, PAS memberi bayangan bahawa pemimpin parti itu yang akan menerajui PN tidak semestinya diwakili Abdul Hadi selaku Presiden.


Sebaliknya, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pemimpin parti itu yang akan diangkat sebagai Pengerusi PN adalah individu yang diyakini boleh menggembleng kekuatan parti yang ada di bawah perikatan terbabit.


Mengulas lanjut katanya, pelantikan Pengerusi PN dijangka dibuat dalam masa terdekat selepas perbincangan mendapat kata sepakat.


"Untuk pelantikan Pengerusi PN, semua ketua parti dalam PN akan berbincang bagi mencapai kata sepakat berkaitan lantikan baharu.


"Kami di BERSATU tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pengerusi PN yang dilantik nanti daripada PAS," katanya.


Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini mengesahkan parti itu akan mengusulkan beberapa nama untuk dicadangkan sebagai Pengerusi PN yang baharu, menggantikan Muhyiddin.


Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN dalam masa terdekat.

Rabu, 31 Disember 2025

Takiyuddin mohon maaf tuduh Mujahid sokong LGBT

Takiyuddin mohon maaf tuduh Mujahid sokong LGBT


Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan memohon maaf kepada bekas menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa sebagai antara penyelesaian saman fitnah yang difailkan oleh Mujahid.


Pada satu kenyataan bersama hari ini, kedua pihak berkata mereka memutuskan untuk menyelesaikan perkara itu selepas mempertimbangkan kos prosiding mahkamah, selain mengambil kira "terdapat lebih banyak isu yang lebih besar atau penting yang perlu diberikan perhatian demi kepentingan negara."


Menurut kenyataan itu, Takiyuddin memohon maaf kepada Mujahid berhubung satu hantaran Facebook PAS yang diterbitkan pada 16 Oktober 2022, ketika dia menjalankan tugas sebagai setiausaha agung parti.


Sebagai balasan, Mujahid menarik balik saman tersebut tanpa sebarang perintah kos dan tanpa kebenaran untuk memfailkan semula saman berkenaan.


"Kedua-dua pihak berharap agar penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak, serta tidak dijadikan bahan untuk mengganggu-gugat kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian negara Malaysia," kata kenyataan itu.


Mujahid memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira dua bulan selepas hantaran Facebook berkenaan diterbitkan, pada 15 Disember 2022.


Takiyuddin dinamakan sebagai defendan tunggal dalam kes itu, atas kapasiti dia sebagai setiausaha agung PAS. Kes itu didengar di hadapan Hakim Roslan Mat Nor.


Bekas menteri itu mendakwa Takiyuddin atau PAS secara berniat jahat memuat naik hantaran dalam talian berkenaan dengan tujuan menjejaskan maruahnya, menerusi dakwaan kononnya dia menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).


Hantaran itu turut memberi gambaran Mujahid, ketika memegang jawatan menteri agama di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dari Mei 2018 hingga Februari 2020, telah membenarkan, menyokong dan menerima komuniti LGBT.


Mujahid menegaskan sepanjang tempoh dia memegang jawatan tersebut, dia tidak pernah pada bila-bila masa menghalang pihak berkuasa daripada mengambil tindakan terhadap aktivis LGBT atau individu yang terlibat dalam aktiviti LGBT.

5 wanita didenda RM1,000 mengaku salah bergaduh di depan Pasar Melor

5 wanita didenda RM1,000 mengaku salah bergaduh di depan Pasar Melor


Lima wanita daripada dua buah keluarga didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di depan Pasar Melor, Kota Bharu pada minggu lalu.


Tertuduh, Rozita Ramli, 47, bersama anak, Aleeya Maisara Hasbullah, 19, dan menantunya, Siti Nor Bakyah Abdullah, 19, selain dua beradik, Siti Sara Suaini, 30 dan Siti Mastura, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.


Mengikut pertuduhan, kelima-lima wanita itu didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar di hadapan Pasar Melor yang merupakan suatu tempat awam kira-kira pukul 2.30 petang pada 25 Disember lalu.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd. Halim.


Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh kerana siasatan mendapati kejadian tersebut berpunca daripada perselisihan faham di aplikasi TikTok.


"Situasi itu agak membimbangkan apabila pertikaian di media sosial dibawa ke alam realiti sehingga mencetuskan keganasan fizikal dan mengganggu ketenteraman awam. Pergaduhan itu bukan sahaja melibatkan individu secara bersendirian, sebaliknya ia membabitkan ahli keluarga iaitu ibu, kakak ipar dan adik-beradik.


"Jika benar tertuduh mempunyai keberanian untuk bertempur, mereka sepatutnya mendaftar dalam sukan yang diiktiraf dan berdisiplin seperti Fury Championship atau kejohanan sukan tempur berdaftar apabila kekuatan diuji mengikut peraturan, dipantau pengadil dan dihormati masyarakat," katanya.


Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman yang minimum dikenakan terhadap kesemua tertuduh dengan mengambil kira video kes tersebut yang tular di media sosial sudah memberi pengajaran kepada kelima-lima wanita itu.


Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman turut menasihati kesemua tertuduh agar tidak melakukan kesalahan sama dan sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara aman tanpa sebarang kacau-bilau.


"Penduduk di Kelantan terkenal dengan budaya dan berbudi bahasa tinggi. Tidak elok Kelantan jadi sohor (terkenal) dengan perkara seperti ini. Jika ada masalah, selesai cara baik," katanya.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada setiap tertuduh dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut. Kelima-lima wanita itu membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.


Sebelum ini, seramai 12 individu yang terdiri daripada tujuh wanita dan lima lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.


Beberapa hari lalu, tular satu video di laman sosial yang memaparkan beberapa wanita sedang bergaduh di Pasar Melor, Kota Bharu pada Khamis lalu.


Pergaduhan itu pada awalnya melibatkan dua orang wanita sebelum sekumpulan individu termasuk beberapa lelaki dan wanita dipercayai keluarga mereka turut campur tangan dan cuba meleraikan insiden tersebut.


Kelima-lima wanita itu didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar di hadapan Pasar Melor kira-kira pukul 2.30 petang pada 25 Disember lalu.