Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan masih terdapat penduduk tempatan yang menyewa kenderaan kepada etnik Rohingya dengan bayaran serendah RM50 hingga RM500 sebulan.
Perbuatan itu dikesan masih berlaku kerana sikap 'gelap mata' penduduk tempatan yang tertarik dengan bayaran diberikan.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, beberapa tahun lalu, pihaknya mengesan banyak kes etnik Rohingya membeli kenderaan menggunakan nama rakyat tempatan. Bagaimanapun, katanya, kes berkenaan semakin berkurangan walaupun masih berlaku.
Katanya, ada penduduk menyewakan kenderaan terbabit kepada etnik Rohingya sepenuhnya dengan menerima bayaran bulanan selain ada kenderaan terbabit dibeli dari penduduk tempatan tanpa menukar nama.
"Sebelum ini kita akui banyak kes dikesan namun ia semakin berkurangan susulan tindakan tegas JPJ menerusi operasi berterusan dan kenderaan terbabit terus disita sekiranya dikesan di jalanan.
"Namun, perbuatan itu masih berlaku disebabkan penduduk tempatan yang 'gelap mata' dengan bayaran berkenaan walaupun tahu perbuatan itu menyalahi undang-undang.
"Menerusi operasi berterusan dilakukan sepanjang tahun ini, sebanyak 576 kenderaan dipandu warga asing diperiksa dengan 457 daripadanya disita dan 908 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, daripada pemeriksaan dilakukan, kebanyakan penduduk Rohingya menggunakan alasan kenderaan terbabit dipinjam atau disewa serta dibeli daripada penduduk tempatan namun tidak menukar nama.
"Alasan ini sering digunakan mereka ketika sekatan jalan raya sedangkan mereka tidak dibenarkan memandu walaupun mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) selain tidak layak mempunyai lesen," katanya.
Beliau berkata, ada kalangan majikan juga meminjamkan kenderaan kepada pekerja etnik Rohingya dengan alasan memudahkan urusan mereka.
"Bagaimanapun kebanyakan kenderaan yang digunakan etnik berkenaan di negeri ini hanya untuk kelangsungan hidup, bukannya kenderaan mewah sebagaimana di Lembah Klang.
"Namun, sebarang kenderaan yang digunakan tetap menjadi kesalahan dan kita memberi amaran kepada penduduk tempatan supaya tidak menyewakan dan meminjamkan kenderaan kepada etnik Rohingya.
"Tindakan tegas termasuk penyitaan kenderaan dan saman akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang ingkar," katanya.










