Seramai 11 individu ditahan manakala beberapa lagi masih diburu dalam operasi besar-besaran bagi menumpaskan rangkaian yang didakwa memperdaya dan mendapatkan dokumen pendaftaran Thailand secara penipuan untuk migran Rohingya dari Myanmar, kata pihak berkuasa semalam.
Antara yang ditahan termasuk bekas pegawai kanan daerah di Surat Thani, lokasi sebahagian besar kesalahan itu berlaku yang kini berkhidmat sebagai timbalan ketua daerah Khanom di Nakhon Si Thammarat.
Polis, pegawai imigresen, pegawai Jabatan Pentadbiran Wilayah serta agensi berkaitan menjalankan operasi bersepadu semalam.
Berbekalkan 17 waran tangkap, mereka melakukan serbuan serentak di 13 lokasi di Surat Thani termasuk Koh Samui dan Koh Phangan serta di wilayah Nakhon Si Thammarat, Ranong, Krabi, Songkhla dan Buri Ram.
Memetik laporan Bangkok Post, waran tangkap itu menamakan bekas timbalan ketua daerah Don Sak di Surat Thani, seorang bekas kakitangan daerah, tiga pemilik rumah yang didakwa mengesahkan pendaftaran dan 12 migran Rohingya yang dituduh memperoleh kad berkenaan secara tidak sah dengan enam daripadanya masih bebas.
Siasatan menyasarkan sindiket penipuan yang membabitkan pengeluaran "kad pengenalan bermula nombor sifar" iaitu nombor ID 13 digit yang bermula angka 0 dan dikhas kepada bukan warganegara, individu tanpa kerakyatan atau etnik minoriti berstatus sah bagi mendapatkan akses kemudahan asas kerajaan.
Suspek berdepan pertuduhan berkaitan salah laku jawatan, pemalsuan dokumen rasmi, pengesahan maklumat palsu serta memudahkan kemasukan individu secara tidak sah ke dalam rekod pendaftaran rumah dan dokumen pendaftaran awam lain.
Timbalan Ketua Polis Negara, Leftenan Jeneral Polis Samran Nualma yang mengetuai operasi itu berkata, siasatan berpunca daripada aduan yang difailkan awal tahun ini yang mendakwa migran Rohingya memperoleh kad pengenalan secara tidak sah melalui pejabat daerah Don Sak di Surat Thani.
Hasil siasatan lanjut mendapati bekas timbalan daerah Don Sak bernama Phairat bekerjasama dengan individu lain untuk memproses rekod pendaftaran dan mengeluarkan kad pengenalan status sifar kepada kira-kira 240 individu antara 2021 hingga 2023.
Katanya, penipuan pendaftaran di Thailand dikesan berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk kecurian identiti membabitkan pendaftar tidak aktif, pendaftaran kelahiran palsu, perkahwinan palsu dan penyalahgunaan hak pendidikan. Namun, kes Don Sak ini disifatkan amat serius kerana memberi implikasi besar kepada keselamatan negara.
Kebanyakan migran yang terbabit dipercayai berasal dari Wilayah Rakhine di Myanmar dan memasuki Thailand sama ada melalui operasi pemerdagangan manusia atau lintasan sempadan secara haram sebelum memohon status pendaftaran bagi membolehkan mereka kekal berada di negara itu.
Berdasarkan siasatan, rangkaian itu terdiri daripada ejen yang merekrut pemilik rumah dengan bayaran antara 1,000 hingga 2,000 baht (kira-kira RM130 hingga RM260) seorang manakala migran Rohingya pula dikenakan caj sehingga 50,000 baht (kira-kira RM6,450) seorang dengan sekurang-kurangnya 15 juta baht (kira-kira RM1.93 juta) dipercayai bertukar tangan selain membabitkan pakatan sulit bersama pegawai awam yang korup.
Samran berkata, sebaik sahaja migran memperoleh kad status sifar, polis tidak lagi boleh mendakwa mereka atas kesalahan memasuki negara secara haram kerana dokumen itu mengiktiraf pemegangnya sebagai individu yang sedang menunggu pengesahan kewarganegaraan, sekali gus membolehkan mereka menubuhkan komuniti secara bebas.
Penyiasat turut melaporkan kes ugutan, pemerasan dan tuntutan wang tebusan termasuk insiden membabitkan penggunaan senjata api dalam kalangan komuniti Rohingya manakala pihak berkuasa wilayah turut mengarahkan pemecatan serta-merta pegawai terbabit serta pembatalan sistemik kad yang diperoleh secara haram daripada pangkalan data negara.

EmoticonEmoticon