Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini, atas dua pertuduhan menculik seorang lelaki dan mencuri sebuah kereta, di Tendong bulan lalu.
Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman selepas tertuduh Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersama tiga lagi yang masih bebas menculik Mohd Shahrul Nizam Mohd Asri, 35, dengan niat mangsa dikurung secara rahsia dan salah dalam kejadian di sebuah rumah di Tendong jam 3.30 petang pada 6 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama tiga individu yang masih bebas mencuri sebuah kereta jenis Volkswagen Jetta kepunyaan Mohd Taufik Mohd Asri, 25, pada tarikh dan lokasi yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa, Mohd Shahrul Nizam berada di rumah sebelum didatangi sekumpulan empat lelaki termasuk tertuduh yang menaiki Perodua Myvi dan bertanyakan di mana Mohd Taufik kerana lelaki itu tidak membayar hutang.
Mangsa kemudiannya memaklumkan Mohd Taufik yang juga adiknya tiada di rumah sebelum tertuduh menahan mangsa. Pada masa sama, tertuduh dan tiga yang lain turut melarikan Volkswagen Jetta milik Mohd Taufik.
Mangsa kemudiannya dikurung di sebuah rumah di Thailand sebelum dilepaskan pada keesokannya dan diselamatkan polis Thailand.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na'ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha Na'ilah memohon hukuman setimpal dikenakan tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam selain hukuman yang dikenakan mampu menginsafkan tertuduh.
Katanya, tertuduh juga menggunakan senjata ketika menculik dan tindakan berkenaan nekad tanpa memikirkan kesannya selain mangsa culik dibawa ke Thailand.
Tertuduh bagaimanapun memohon hukuman ringan dikenakan selain hukuman berjalan dari tarikh ditangkap.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dari tarikh ditangkap pada 16 Jun dan denda RM3,000 bagi kes menculik dan jika gagal membayar akan dipenjara tiga bulan.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dipenjara tiga tahun dan denda RM3,000 dan jika gagal bayar akan dipenjara tiga bulan. Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berkenaan berjalan serentak.

EmoticonEmoticon