Isnin, 25 Mei 2026

JSJN tumpas parti dadah, pesta gay di hotel mewah di Kuala Lumpur, 51 lelaki ditahan

JSJN tumpas parti dadah, pesta gay di hotel mewah di Kuala Lumpur, 51 lelaki ditahan

(Foto dijana AI)

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan kegiatan penyalahgunaan dadah dan aktiviti tidak bermoral menerusi serbuan di hotel mewah di ibu negara dan menahan 51 orang awal pagi semalam.


Operasi dijalankan antara jam 2.35 pagi hingga 5 pagi hasil risikan berkaitan penganjuran parti dadah dan pesta gay membabitkan lelaki tempatan serta warga asing.


Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi itu dijalankan bersama JSJN Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.


Menurutnya, empat siri serbuan dilakukan dan berjaya menahan 51 lelaki berusia antara 21 hingga 52 tahun.


"Daripada jumlah itu, 23 adalah lelaki tempatan manakala 28 lagi warga asing.


"Polis turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya cecair MDMA seberat 1.15 kilogram, serbuk MDMA (284 gram), pil ekstasi, serbuk ekstasi dan ketamin," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM103,070.


Katanya, sebelum serbuan dilakukan, polis mengesan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam parti berkenaan diusung keluar dari lobi hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri.


"Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital," katanya.


Menurutnya, sindiket itu dipercayai menjadikan bilik hotel mewah sebagai lokasi berhibur dan menyalahgunakan dadah selain terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.


"Hasil ujian saringan air kencing mendapati 36 individu positif dadah manakala 15 lagi negatif.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) akta sama dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.


"Semua suspek direman antara tiga hingga enam hari bagi membantu siasatan," katanya.


Katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Menurut Hussein, kejayaan operasi itu hasil risikan berterusan dijalankan pihak JSJN dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.


"Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah.


"Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah adalah kesalahan serius di sisi undang-undang," katanya.

Lebih 200,000 ahli BERSATU kini bersama Hamzah - Rahim Thamby Chik

Lebih 200,000 ahli BERSATU kini bersama Hamzah - Rahim Thamby Chik


Bekas Pengerusi BERSATU Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa lebih 200,000 ahli parti itu sudah keluar atau dijangka meninggalkan BERSATU untuk menyertai perjuangan 'Reset' yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.


Bekas Ketua Menteri Melaka itu bagaimanapun menolak dakwaan Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden BERSATU dan Ketua Pembangkang menjadi punca perpecahan dalam parti berkenaan.


Sebaliknya, beliau mendakwa penghijrahan besar-besaran ahli berlaku disebabkan budaya dalaman parti yang semakin mengecewakan akar umbi.


"Apabila sesebuah parti politik mula beroperasi seperti syarikat sendirian berhad, memilih bulu dalam tindakan disiplin terhadap ahli, membenarkan pemimpin yang kalah diangkat semula, bertolak ansur terhadap pemimpin yang mempunyai rekod moral meragukan serta memandang ringan isu rasuah, maka secara semula jadi ahli akan mula membenci budaya seperti ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.


Media hari ini melaporkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat semalam, antara lain dikatakan menerima laporan pesuruhjaya negeri mengenai gerakan akar umbi BERSATU yang dilihat cenderung bersama Team Reset pimpinan Hamzah.


Beberapa pimpinan negeri PAS melaporkan perkembangan itu turut memberi kesan langsung kepada kestabilan dan kekuatan jentera Perikatan Nasional (PN) pada peringkat akar umbi, khususnya dalam menghadapi persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).


Dalam pada itu Abdul Rahim berkata, budaya memuja pemimpin secara melampau selain menganggap teguran terhadap parti sebagai satu bentuk pengkhianatan turut menjadi faktor utama ahli hilang keyakinan.


"Perjuangan parti untuk rakyat juga dilihat semakin terpesong daripada matlamat asal penubuhannya.


"Saya berkata demikian kerana selepas hampir 50 tahun berada dalam dunia politik, saya sendiri merasakan BERSATU tidak akan pergi jauh dengan budaya negatif dan destruktif yang menjadi asas kepada parti ketika ini," katanya.


Beliau turut menegaskan Hamzah tidak sepatutnya dipersalahkan atas perkembangan yang berlaku dalam parti.


"Jadi bukan Datuk Seri Hamzah yang menghasut untuk memecahkan BERSATU. Apa yang berlaku dalam parti sendiri serta cara ia diuruskan itulah yang menyebabkan penghijrahan besar-besaran ahli daripada BERSATU," katanya.

Mekanik didakwa 3 lagi pertuduhan miliki senjata api, peluru hidup

Mekanik didakwa 3 lagi pertuduhan miliki senjata api, peluru hidup


Seorang mekanik sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Sik, hari ini atas tiga pertuduhan memiliki senjata api, peluru hidup dan pistol tiruan awal bulan ini.


Tertuduh, Mohd Shahifuldin Mohd Shahiran, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.


Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki selaras senapang Remington Model 1100 buatan Amerika Syarikat (AS) tanpa lesen atau permit sah.


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Kampung Luar Siong, Baling kira-kira jam 6 petang pada 6 Mei lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam kali sebatan.


Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki 156 peluru hidup pelbagai jenis tanpa lesen atau permit sah di lokasi, tarikh dan masa sama.


Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


Mohd Shahifuldin turut didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan bertulis Glock 19 Gen 4 buatan Austria bersama satu kelopak peluru tanpa alasan munasabah di tempat dan masa yang sama.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 Julai depan untuk sebutan semula kes, lantikan peguam dan serahkan dokumen.


Pada 13 Mei lalu, tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di Baling atas lima pertuduhan berkaitan pemilikan senjata api, peluru dan senjata tiruan sebelum mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.


Tertuduh ditahan pada 1 Mei susulan penemuan tiga pistol termasuk satu pistol tiruan serta dua laras senapang angin di sebuah bengkel kenderaan yang didakwa disimpan sebagai koleksi peribadi.


Lima hari kemudian polis menemukan selaras senapang patah, sepucuk pistol tiruan dan lebih 180 butir peluru yang disembunyikan di dapur dan loteng sebuah rumah di Baling hasil serbuan susulan.


Mohd Shahifuldin dibawa ke Mahkamah Sik hari ini untuk tiga pertuduhan memiliki senjata api, peluru hidup dan pistol tiruan awal bulan ini. - Foto NSTP.

Ahad, 24 Mei 2026

Misteri kematian lelaki tempatan bongkar parti dadah warga asing di hotel mewah

Misteri kematian lelaki tempatan bongkar parti dadah warga asing di hotel mewah

(Foto dijana AI)

Misteri kematian seorang lelaki tempatan di sebuah hotel mewah di ibu negara awal pagi tadi, membongkar penganjuran 'parti dadah' yang dihadiri warga asing. Susulan itu, polis menahan lapan individu dalam satu serbuan kira-kira jam 4 pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, polis menerima laporan kematian seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral pada jam 3 pagi.


Beliau berkata, susulan maklumat diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu bilik hotel kira-kira jam 4 pagi.


"Serbuan itu membawa kepada penahanan lapan individu pelbagai warganegara terdiri daripada dua lelaki tempatan, dua lelaki warga Singapura serta masing-masing seorang warga Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.


"Hasil pemeriksaan turut menemukan satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamin seberat 1.5 gram serta tiga biji pil disyaki ekstasi seberat 0.7 gram," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, semua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sementara itu, beliau berkata, kematian lelaki terbabit kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).


"Mayat dihantar ke HKL. Bedah siasat dijalankan pada jam 9.30 pagi sebelum selesai kira-kira jam 12 tengah hari. Punca kematian setakat ini masih menunggu keputusan ujian makmal," katanya.

Empat warga China miliki peralatan pecah rumah dihukum penjara 14 hari, denda RM250

Empat warga China miliki peralatan pecah rumah dihukum penjara 14 hari, denda RM250


Empat lelaki warga China dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM250 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Kangar pada Jumaat selepas mengaku bersalah memiliki alat dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah awal bulan ini.


Tertuduh, Chen Yufeng, 52; Peng Yongjian, 46; Liu Huazai, 51, dan Wang Jianghua, 45, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala kesemua tertuduh yang berasal dari wilayah Jiangxi, China tidak diwakili peguam.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memiliki beberapa peralatan pecah rumah tanpa alasan yang sah di sebuah rumah di Taman Bukit Kaya Indah di Kangar antara pukul 7.30 petang pada 7 Mei lalu hingga 7.30 pagi keesokan harinya.


Antara barangan dirampas ialah empat batang besi berwarna hitam, satu sepana boleh laras, satu cutter merah jenama Vaster, satu pelayar warna hitam dan kelabu serta satu pemutar skru jenama Toptul.


Turut ditemukan ialah satu alat berbentuk T berwarna hitam dan kuning dengan bahagian hujung besinya telah dicanai yang disyaki digunakan sebagai master key.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 28(1)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Tengku Ruqayyah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan berkenaan bukan satu perkara remeh, sebaliknya mempunyai kaitan rapat bersama kegiatan jenayah pecah rumah dan kecurian harta benda awam.


"Pemilikan barang pecah rumah ini menunjukkan persediaan melakukan jenayah dan memberi ancaman serius kepada keselamatan awam dan kepentingan awam adalah mengatasi kepentingan peribadi keseluruhan," katanya.


Mahkamah kemudian memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara selama dua minggu bermula dari tarikh tangkapan selain dikenakan denda RM250 setiap seorang atau tambahan penjara dua bulan jika gagal bayar.


Media pada 14 Mei lalu melaporkan empat lelaki warga China dipercayai anggota sindiket pecah rumah diberkas polis di Kampung Wai, Kuala Perlis sehari sebelumnya.


Suspek cuba merempuh sekatan jalan raya dan melarikan diri sebelum berjaya ditahan. Polis turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah dan alat penyamaran.


Polis mengiringi empat warga China keluar dari Kompleks Mahkamah Kangar pada Jumaat.
23 motosikal disita terbabit lumba haram di Kampung Terus, Bukit Mertajam

23 motosikal disita terbabit lumba haram di Kampung Terus, Bukit Mertajam


Polis menyita 23 motosikal menerusi Op Motosikal Samseng Jalanan bagi membanteras kegiatan lumba haram di Jalan Guar Kering, Kampung Terus, Bukit Mertajam kelmarin.


Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dalam kenyataan di Facebook memaklumkan operasi itu diadakan susulan aduan yang diterima berkaitan aktiviti tidak berfaedah itu.


Menurut kenyataan itu, operasi memberi tumpuan kepada kumpulan remaja yang dipercayai sering berkumpul di lokasi berkenaan bagi melakukan aktiviti lumba haram, aksi berbahaya seperti 'wheelie' serta penggunaan ekzos motosikal yang diubah suai sehingga mengganggu ketenteraman awam.


"Hasil operasi, sebanyak 60 buah motosikal diperiksa dan 110 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan.


"Selain itu, 23 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, operasi itu dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seberang Perai Tengah dengan kerjasama anggota Balai Polis Kubang Semang.


"Pihak polis memandang serius kegiatan samseng jalanan kerana bukan saja membahayakan keselamatan diri sendiri, malah turut mengancam pengguna jalan raya yang lain.


"Operasi dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.


"Ibu bapa dan penjaga turut disaran memainkan peranan penting dalam memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat yang boleh mengundang bahaya dan tindakan undang-undang," katanya.

Sabtu, 23 Mei 2026

Lelaki terperangkap 10 jam dalam dinding bangunan ketika cuba merompak

Lelaki terperangkap 10 jam dalam dinding bangunan ketika cuba merompak


Seorang lelaki yang dipercayai cuba melakukan rompakan akhirnya menerima padah apabila terperangkap di dalam dinding sebuah bangunan kira-kira 10 jam.


Menurut laporan, lelaki itu cuba memasuki premis berkenaan melalui ruang sempit di antara dinding untuk melakukan kegiatan mencuri namun, usahanya gagal apabila tersekat dan tidak dapat keluar.


Keadaan itu hanya disedari oleh anggota polis dari Jabatan Polis Salinas yang sedang sarapan pagi di sebuah kedai kopi tempatan. Mereka terdengar suara meminta bantuan dari kawasan berhampiran.


Pada mulanya, polis memeriksa sekitar kawasan termasuk di dalam pawagam berdekatan sebelum menyedari suara tersebut sebenarnya datang dari dalam dinding yang memisahkan kedai kopi dan pawagam itu.


Pihak polis kemudian mengetuk dinding dan mendengar ketukan balas dari dalam.


Mereka cuba memotong sebahagian dinding di kedai kopi tersebut, namun hanya menemui blok simen dan konkrit.


Bagi menyelamatkan mangsa, anggota bomba terpaksa memecahkan bahagian lain dinding di sepanjang Main Street sebelum berjaya mengeluarkan lelaki terbabit yang dikenali sebagai Isaac Valencia.


Siasatan mendapati Isaac dipercayai terjatuh dari bumbung pawagam berhampiran ketika cuba melakukan kegiatan pecah masuk, sebelum tersepit di ruang sempit dalam dinding bangunan itu.


Media tempatan melaporkan lelaki itu dipercayai jatuh dari ketinggian kira-kira 22 kaki.


Selepas diberikan rawatan dan pemeriksaan kesihatan, Isaac kemudian ditahan dan dibawa ke Penjara Monterey County atas dakwaan pecah masuk.


Dalam kenyataan di media sosial, pihak polis berkata mereka bersyukur kejadian itu berakhir tanpa sebarang kecederaan serius.


"Kerja cemerlang oleh anggota syif malam kami yang walaupun keletihan, tetap mempercayai naluri mereka, terus berusaha," katanya.

Jumaat, 22 Mei 2026

PAS Tidak Tunduk Kepada Bersatu, Sedia Kaji Semula Kerjasama - Hadi

PAS Tidak Tunduk Kepada Bersatu, Sedia Kaji Semula Kerjasama - Hadi


Ketika bahang pilihan raya semakin terasa, PAS hari ini memberi amaran keras kepada Bersatu, malah menyatakan mereka akan mengkaji sejauh mana kerjasama yang terjalin sekarang akan diteruskan.


Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan setakat ini parti itu masih bersabar dengan tindak-tanduk yang didakwanya dibuat Bersatu dalam beberapa perkara. Namun, tegas Ahli Parlimen Marang berkenaan, kesabaran mereka mempunyai batasnya.


"Kita tak kecewa… kita sabar, (tapi) sabar ada batasnya," tegasnya pada sidang media di Rusila, Terengganu, hari ini.


Abdul Hadi turut menjelaskan tindakan yang dibuat sekutunya itu dianggap membelakangi PAS.


Pertama, katanya, ia melibatkan dua orang Adun Negeri Sembilan yang menarik balik sokongan untuk menyingkirkan Menteri Besar Aminuddin Harun walaupun sudah berbuat demikian pada awal konflik tersebut.


"Setiausaha agung (PAS) menghantar surat kepada Bersatu berkenaan dengan langkah yang diambil Adun Bersatu di Negeri Sembilan menarik balik SD yang melanggar setiakawan antara kita.


"Alasan-alasan yang diberi kita tak boleh terima, Umno tak tarik. Mengapa Bersatu tarik balik?


“Sebelum ini Bersatu telah bertindak di Perlis menyokong undi tak percaya kepada menteri besar di Perlis, dia tak sokong dan kita mengambil tindakan disiplin terhadap Adun kita dan Bersatu tak bertindak apa-apa.


“Dia tonjolkan orang dia jadi Menteri Besar Perlis. Kita masih sabar sebab nak jaga perpaduan PN,” katanya.


Selain itu tambah Abdul Hadi, turut tidak menyenangkan PAS ialah pemecatan exco Kedah serta timbalan speaker di negeri berkenaan serta Kelantan.


“Bersatu suruh pecat tukar orang, kita melihat kepada prestasi orang ini (bekas ahli Bersatu) bukan nak pecat begitu, prestasi melaksanakan tugas dengan baik tak perlu dipecatlah.


“Terakhir (Bersatu) menyekat keahlian parti-parti Melayu Islam termasuk parti bukan Islam yang tidak ekstrem untuk menyertai PN,” kata Abdul Hadi lagi.


Mengulas lanjut, katanya, Bersatu tidak bersetuju untuk ditambah parti komponen PN dan perkara itu tidak menyenangkan PAS.


Abdul Hadi juga menyatakan kekecewaan PAS apabila selama ini Bersatu lebih ramai calon pilihan raya berbanding petugas dan jentera parti.

Penarik kereta dituduh cederakan isteri dengan kerusi, guna kekerasan jenayah terhadap penjawat awam

Penarik kereta dituduh cederakan isteri dengan kerusi, guna kekerasan jenayah terhadap penjawat awam


Seorang penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan membaling kerusi meja solek hingga mangsa patah tangan kiri, awal bulan ini.


Tertuduh, Muhammad Rizman Akmal Ahmadiah, 28, dari Kampung Bukit Nibong, Paya Dalam, Melaka, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.


Lelaki itu didakwa mencederakan isterinya, Syaudah Ahmad, 27, dengan membaling kerusi meja solek ke arah mangsa hingga menyebabkan tangan kirinya patah di sebuah rumah di Kampung Seri Mawar, Paya Redan, Tiang Dua, kira-kira jam 6.30 pagi pada 6 Mei lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 326A KK, jika disabitkan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda.


Timbalan Pendakwa Raya, Rif'ah 'Izatti Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan dilarang mendekati dan mengganggu mangsa sehingga perbicaraan kes selesai.


Peguam Fahmy Sulaiman merayu jaminan rendah atas alasan tertuduh menanggung isteri, anak berusia setahun serta ibu tidak bekerja dan bapa menghidap sakit jantung dan kolesterol tinggi.


Katanya, tertuduh yang bekerja sebagai penarik kereta serta 'runner' insurans dan penghantar makanan turut menanggung dua adik yang masih belajar.


Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh turut tidak mengaku salah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, Sarjan Faizanizam Amir Fadzil dengan cara bergelut bagi menghalang anggota polis itu menjalankan tugasnya yang sah.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat sama pada 8 Mei lalu kira-kira jam 11.45 pagi dan dituduh mengikut Seksyen 353 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.


Prosiding kes didengar di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.


Timbalan Pendakwa Raya, Shaza Nur Sharif yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan RM8,000, namun dirayu peguam menggunakan alasan sama.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kes pertama berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan RM3,500 bagi pertuduhan kedua serta menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Guru terbabit gangguan seksual terhadap murid di Johor direhatkan serta-merta - Fadhlina

Guru terbabit gangguan seksual terhadap murid di Johor direhatkan serta-merta - Fadhlina


Siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual seorang guru terhadap murid di sebuah sekolah di Johor diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ketika ini guru yang terbabit dalam siasatan itu direhatkan serta-merta sementara siasatan dijalankan. Menurutnya, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dalam kes gangguan seksual.


"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengambil alih kes ini sepenuhnya. Individu terbabit sudah ditahan oleh pihak berkuasa.


"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah melindungi anak ini. KPM akan teruskan siasatan dalaman," katanya menerusi satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.


Menurutnya, masyarakat diseru supaya tampil ke hadapan untuk melaporkan kes terkait dakwaan kesalahan seksual kepada pihak berkuasa.


"Pihak berkuasa mesti mengambil tindakan segera menyiasat apabila aduan membabitkan mangsa kanak-kanak.


"Ambil tanggungjawab bersama sebagai ahli masyarakat untuk terus mengingatkan tanggungjawab semua pihak untuk terus melindungi kanak-kanak," katanya.


Terdahulu, tular satu pendedahan di media sosial berhubung kejadian gangguan seksual membabitkan seorang guru dan murid perempuan di sebuah sekolah rendah di Masai, tahun lalu.


Bekas guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh mendakwa guru besar sekolah terbabit membuat laporan polis sebanyak dua kali untuk menggesa Pusat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang mengambil tindakan tegas terhadap guru berusia 28 tahun itu.


Menurutnya, guru terbabit sudah dipindahkan sementara ke PPD selama tiga bulan namun dia dibenarkan mengajar semula bermula sesi persekolahan tahun ini.