Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan

Selasa, 16 April 2024

Polis saman pemandu ambulans bunyikan siren, pandu tergesa-gesa, langgar lampu isyarat merah

Polis saman pemandu ambulans bunyikan siren, pandu tergesa-gesa, langgar lampu isyarat merah


Polis Indonesia menyaman seorang pemandu ambulans kerana memandu secara melulu serta membunyikan siren walaupun tidak membawa pesakit, lapor laman berita Tribun News pada 13 April 2024.


Kejadian berlaku di Jalan Jeneral Sudirman, Kota Solo, wilayah Jawa Tengah pada Selasa minggu lalu.


Dalam video yang tular di media sosial, polis mengarahkan pemandu ambulans itu supaya berhenti selepas dia melanggar lampu isyarat merah.


Hasil pemeriksaan mendapati pemandu tersebut tidak membawa pesakit meskipun membunyikan siren dan memandu secara tergesa-gesa.


Forum Ambulans Sukoharjo Bersatu (FAST) yang merupakan pengendali ambulans itu mengesahkan kejadian tersebut.


Menurutnya, pemandu terbabit mengaku dia ketika itu tidak berada dalam situasi kecemasan, namun tetap membunyikan siren dan melanggar peraturan lalu lintas.


Ujar FAST lagi, pihaknya telah menjalankan siasatan ke atas pemandu berkenaan dan mengingatkannya supaya mematuhi peraturan penggunaan ambulans di jalan raya. - Sumber Tribun News.


Pemandu berkenaan disaman polis kerana memandu secara melulu ketika tidak membawa pesakit di Jalan Jenderal Sudirman, Kecamatan Pasar Kliwon, Kota Solo, Jawa Tengah, Selasa lalu (9/4/2024). - Foto Tribunnews.

Sabtu, 13 April 2024

37 pelancong dikurung dalam kedai kerana enggan buat pembelian

37 pelancong dikurung dalam kedai kerana enggan buat pembelian


Sekumpulan pelancong China tempatan dikurung di dalam sebuah kedai katil hanya kerana mereka tidak membuat sebarang pembelian, lapor portal berita AsiaOne pada 12 April 2024.


Sebuah klip video berdurasi 53 saat yang disiarkan di platform Weibo pada 27 Mac lalu menunjukkan kumpulan pelancong dari wilayah Liaoning, China itu dipercayai ditahan di sebuah kedai peralatan tempat tidur di Xishuangbanna, wilayah Yunnan.


Kumpulan pelancong terdiri daripada 37 orang itu ditahan di kedai itu selama beberapa jam pada 26 Mac lalu selepas enggan membuat sebarang pembelian, lapor akhbar South China Morning Post.


Dalam klip video berkenaan, terdengar suara wanita di belakang kamera mengadu bahawa mereka tidak dibenarkan keluar.


"Kami tiba pada tengah hari dan kami masih di sini," kata wanita itu.


Anggota-anggota kumpulan itu boleh dilihat duduk dan berbaring di atas katil di kedai itu sambil kakitangan kedai kelihatan berkawal berhampiran pintu.


Pemandu pelancong mereka dilaporkan telah pergi dan kakitangan kedai terus meminta mereka membeli barang sebelum beredar, menurut platform berita Cina NetEase.


Pelancong itu juga menjelaskan bahawa setiap orang telah membelanjakan 3,979 yuan (RM2,621) untuk menyertai lawatan kumpulan yang diuruskan oleh Liaoning Youde International Travel Service tetapi mereka tidak pergi bersiar-siar langsung, lapor South China Morning Post.


"Saya tidak sangka bahawa semua aktiviti kami di Xishuangbanna adalah mengenai membeli-belah," katanya.


Video tular itu mencetuskan kemarahan ramai netizen China dan mencetuskan semula ketakutan terhadap paksaan pelancong membeli-belah di China, lapor South China Morning Post.


"Ini jahat. Anda boleh mengesyorkan sesuatu melalui pemandu pelancong dan menjalankan perniagaan secara jujur. Jika harganya betul dan produknya bagus, saya percaya ramai orang akan membelinya. Sungguh keterlaluan untuk menahan orang," kata seorang pengguna Weibo.


Seorang lagi netizen berkata: "Kakitangan berani melakukan ini, adakah mereka mahu mendapat masalah?" - Sumber Asia One.


Seramai 37 pelancong tidak dibenarkan keluar oleh pekerja-pekerja sebuah kedai di Xishuangbanna, bulan lalu. - Foto Weibo.

Ahad, 7 April 2024

Pemandu marah dan meludah selepas ditegur letak kereta tengah jalan yang sedang sibuk

Pemandu marah dan meludah selepas ditegur letak kereta tengah jalan yang sedang sibuk


Seorang pemandu kereta marah selepas ditegur kerana meletakkan kenderaan sewenang-wenang di tengah jalan raya yang sedang sibuk, lapor akhbar Kompas.com, hari ini.


Tindakan itu menyebabkan pemandu lain di belakangnya berang kerana lalu lintas terhalang akibat perbuatan pemandu kereta tersebut.


Lebih memburukkan keadaan adalah apabila lelaki tersebut meludah ke arah perakam video dan enggan memohon maaf.


Rakaman video yang tular memaparkan pemandu kereta berkenaan memberhentikan kenderaannya di tengah jalan sebelum keluar membeli makanan bergoreng di tepi jalan.


Tindakan tersebut membuatkan jalan raya itu menjadi sesak dan trafik tidak bergerak. Berdasarkan rakaman itu, kejadian berlaku di Jalan Masjid Darul Falah, Pesanggrahan, Jakarta Selatan, pada hari Jumaat (5/4/2024).


Pengasas Jakarta Defensive Driving Consulting (JDDC), Jusri Pulubuhu berkata, adalah penting bagi pemandu untuk meletakkan kenderaan di tempat yang betul dan tidak mengganggu pemandu lain.


"Apabila dalam keadaan darurat, pemandu harus menyalakan lampu kecemasan sebagai tanda berjaga-jaga.


"Jika tidak, kenderaan mereka tidak dilihat seperti sedang berhenti, maka apabila pemandu di belakangnya tidak berhati-hati, ia akan menyebabkan kemalangan," katanya. - Sumber Kompas.com.


Pemandu memberhentikan kenderaanya di tengah jalan untuk membeli makanan. - Foto Indocarstuff.

Sabtu, 6 April 2024

Polis berkas 'pocong' ceroboh pasar raya untuk mencuri

Polis berkas 'pocong' ceroboh pasar raya untuk mencuri


Seorang lelaki warga emas ditangkap polis kerana menyamar sebagai pocong untuk mencuri barangan di sebuah pasar raya di Ponorogo, wilayah Jawa Timur, lapor portal berita Kompas.com pada 5 April 2024.


Dia memakai kostum hantu itu dengan tujuan menakut-nakutkan penduduk semasa melakukan aktiviti mencuri.


Ketua Polis Daerah Sambit AKP Baderi, mengesahkan tangkapan warga emas berusia 60 tahun itu.


"Suspek ditangkap berdasarkan aduan penduduk," ujarnya.


Baderi berkata, lelaki itu didapati memakai kostum pocong dengan harapan dia mudah untuk melarikan diri.


Menurutnya, kostum pocong yang digunakan suspek merupakan pakaian solat berwarna putih untuk wanita.


Baderi memberitahu, warga emas itu ditangkap polis ketika dia menceroboh masuk ke mini market Asdiramart di Desa Campurejo, Kecamatan Sambit, Ponorogo, semalam. - Sumber Kompas.com.


Seorang warga emas yang memakai kostum pocong ditangkap polis di Ponorogo, semalam. - Foto Polis Sambit.

Selasa, 2 April 2024

Budak 10 tahun maut selepas makan kek hari jadi yang dibeli dalam talian

Budak 10 tahun maut selepas makan kek hari jadi yang dibeli dalam talian


Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas makan kek hari jadinya di Punjab, utara India, baru-baru ini.


Polis sedang menyiasat kejadian itu, yang berlaku selepas keluarga kanak-kanak itu membuat pesanan kek coklat secara dalam talian dari sebuah kedai roti di bandar Patiala.


Tidak lama selepas mereka memakannya, seluruh keluarga jatuh sakit dengan gejala keracunan makanan seperti loya dan muntah.


Datuk mangsa, Harban Lal berkata, keluarga itu menempah kek pada jam 6 petang (waktu tempatan) dan Manvi memotong kek itu pada jam 7 malam, dia mula muntah selepas memakan kek itu, 24 Mac lalu.


Katanya, Manvi berasa dahaga dan melaporkan ketidakselesaan akibat kekeringan pada mulutnya.


"Dia tidur malam itu tetapi keadaannya bertambah teruk selepas bangun keesokan harinya. Keluarga kami segera membawanya ke hospital," katanya.


Katanya, cucunya itu diberi bantuan oksigen dan menjalani elektrokardiogram, ujian diagnostik yang mengukur aktiviti jantung, tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.


Keluarga itu mendakwa, kek itu tercemar dan mereka membuat laporan polis terhadap pemilik kedai roti itu.


Keluarga itu juga menyatakan, nama kedai roti pada bil dan kedai sebenar tidak sepadan. Mereka juga menuduh jabatan kesihatan tempatan tidak mengendahkan isu itu.


Sementara itu, pegawai polis Sarfaraz Alam berkata, sampel daripada kek dihantar untuk ujian dan mereka masih menunggu keputusan.


"Kami juga memantau konsep dapur awan ini kerana nama kedai roti itu terus berubah di Zomato," katanya.


Zomato, aplikasi penghantaran makanan di India masih belum mengulas isu itu.


Jurucakap Zomato dalam satu kenyataan yang dikongsi The Independent berkata, mereka menzahirkan simpati dan sedih atas insiden itu serta sudah menyahsenaraikan restoran itu daripada platform Zomato selain akan bekerjasama dengan pihak berkuasa. - Sumber The Independent.


Manvi meninggal dunia selepas memakan kek coklat yang ditempah sempena majlis hari lahirnya yang ke-10. - Foto Agensi.

Isnin, 1 April 2024

Janda kena tipu, wang mas kahwin bertukar jadi daun

Janda kena tipu, wang mas kahwin bertukar jadi daun


Seorang wanita dari Bima, wilayah Nusa Tenggara Barat di Indonesia terkejut apabila mendapati beg mengandungi 'mas kahwin' yang diserahkan kepadanya sebenarnya hanya daun kering, lapor laman berita Detik pada 1 April 2024.


Rosdiana, 38, sebelum itu dilamar oleh lelaki bernama Syamsurizal, 60, pada Jumaat lalu (29/3/2024).


Kejadian bermula apabila dua lelaki berkunjung ke rumah Rosdiana di Kampung Ragi, petang Jumaat. Salah seorang daripada mereka ialah Syamsurizal yang mengaku warga Kecamatan Kempo, Kabupaten Dompu.


Janda anak tiga itu pada asalnya enggan menerima lamaran Syamsurizal disebabkan faktor umur lelaki tersebut yang agak berusia, namun dia akur selepas diyakini oleh seorang sahabatnya.


"Syamsurizal melamar Rosdiana dengan membawa mas kahwin sebanyak 1.7 bilion rupiah (RM505,271). Niat baik itu diterima oleh Rosdiana dan keluarganya.


"Setelah bersetuju, Syamsurizal meminta agar beg pakaian dan kotak mee segera yang mengandungi wang mas kahwin tersebut tidak dibuka sebelum Rosdiana sah menjadi isterinya," kata pegawai Ketua Kampung Ragi, M Nur.


Tambahnya lagi, lelaki tersebut juga sempat menunjukkan wang sebanyak 100,000 rupiah (RM29.72) di dalam kotak itu bagi meyakinkan Rosdiana.


"Ramai saksi yang melihat wang itu adalah asli. Namun, kami diminta untuk tidak membuka semuanya sebelum saya sah menjadi isteri Syamsurizal," kata Rosdiana.


Ujar Rosdiana, disebabkan berasa aneh, dia dan keluarganya akhirnya membuka kotak wang tersebut sebelum pernikahan mereka yang dirancang selepas Aidilfitri nanti.


Namun, mereka terkejut apabila mendapati kotak dan beg pakaian tersebut hanya berisi daun kering.


Rosdiana mengakui sudah dua kali didatangi lelaki berusia 60 tahun itu. Dia bertemu Syamsurizal selepas dijodohkan oleh Arifuddin, seseorang yang sudah lama dikenalinya.


Pada mulanya Rosdiana menolak kerana Syamsurizal sudah tua. Secara beransur-ansur, dia benar-benar cair dan menerimanya.


"Arifuddin terus meyakinkan saya bahawa lelaki yang akan mengahwini saya itu sangat kaya, banyak wang dan banyak kereta. Saya mengiyakan dan menerima saja," kata Rosdiana, pada Ahad (31/3/2024). - Sumber Detik News.


Duit mas kahwin di dalam kotak bertukar menjadi daun. - Foto Tangkap layar/Viva.

Ahad, 31 Mac 2024

Diva AA buat hal, peniaga menangis ekspo diarah tutup serta-merta

Diva AA buat hal, peniaga menangis ekspo diarah tutup serta-merta


Gara-gara seorang selebriti terkenal tanah air menari ala dangdut di atas pentas mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan Karnival Fiesta Raya Baling 2024 diarah tutup.


Salah seorang peniaga di karnival tersebut menangis kerana tidak dapat menahan sedih selepas pihak berkuasa tempatan negeri mengarahkan ekspo di tapak berkenaan ditutup serta-merta.


Penganjur Karnival itu tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak terutama rakyat Kedah atas kontroversi yang berlaku membabitkan pengacara sensasi, Azwan Ali atau Diva AA baru-baru ini.


Maju Kedah Resources dalam kenyataan, berkata persembahan tarian ala dangdut selebriti itu bersama beberapa orang lelaki di atas pentas adalah di luar jangkaan pihaknya berikutan ia bukan salah satu daripada atur cara program.


Katanya, kehadiran selebriti adalah atas jemputan sahabat Tiktokers, Diva BB yang turut sama berniaga di Fiesta Raya Baling.


"Merujuk kepada video viral Diva AA menari di atas pentas Fiesta Raya Baling baru-baru ini, kami bagi pihak penganjur Fiesta Raya Baling 2024 memohon sejuta kemaafan atas isu berkenaan.


"Perkara itu berlaku diluar jangkaan kami yang mana pada asalnya kami menyangka ia hanyalah sekadar gurauan pentas kerana Diva AA, Azwan Ali tiada dalam senarai jemputan rasmi.


"Pihak Jawatankuasa Fiesta Raya Baling amat kesal di atas apa yang berlaku dan sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan isu tersebut," katanya.


Menurut kenyataan itu, susulan insiden terbabit, pihaknya menerima teguran daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob dan mengarahkan Fiesta Raya Baling 2024 ditutup atas dasar tanggungjawab berhubung insiden berkenaan.


"Kami selaku penganjur dengan rasa tanggungjawab menerima teguran tersebut untuk menutup terus penganjuran acara Fiesta Raya Baling 2024.


"Hari Sabtu adalah hari terakhir kami beroperasi," katanya.


Dalam kejadian dipercayai Khamis lalu, tular video Azwan Ali bersama beberapa orang lelaki menari di atas pentas pada Fiesta Raya Baling 2024.


Aksi menari mereka di atas pentas mendapat kecaman netizen kerana berlaku pada bulan Ramadan.


Tangkap layar video tular Diva AA menari ala dangdut di Karnival Fiesta Raya Baling 2024. - Foto Harian Metro.