Selasa, 2 April 2024

Budak 10 tahun maut selepas makan kek hari jadi yang dibeli dalam talian


Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas makan kek hari jadinya di Punjab, utara India, baru-baru ini.


Polis sedang menyiasat kejadian itu, yang berlaku selepas keluarga kanak-kanak itu membuat pesanan kek coklat secara dalam talian dari sebuah kedai roti di bandar Patiala.


Tidak lama selepas mereka memakannya, seluruh keluarga jatuh sakit dengan gejala keracunan makanan seperti loya dan muntah.


Datuk mangsa, Harban Lal berkata, keluarga itu menempah kek pada jam 6 petang (waktu tempatan) dan Manvi memotong kek itu pada jam 7 malam, dia mula muntah selepas memakan kek itu, 24 Mac lalu.


Katanya, Manvi berasa dahaga dan melaporkan ketidakselesaan akibat kekeringan pada mulutnya.


"Dia tidur malam itu tetapi keadaannya bertambah teruk selepas bangun keesokan harinya. Keluarga kami segera membawanya ke hospital," katanya.


Katanya, cucunya itu diberi bantuan oksigen dan menjalani elektrokardiogram, ujian diagnostik yang mengukur aktiviti jantung, tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.


Keluarga itu mendakwa, kek itu tercemar dan mereka membuat laporan polis terhadap pemilik kedai roti itu.


Keluarga itu juga menyatakan, nama kedai roti pada bil dan kedai sebenar tidak sepadan. Mereka juga menuduh jabatan kesihatan tempatan tidak mengendahkan isu itu.


Sementara itu, pegawai polis Sarfaraz Alam berkata, sampel daripada kek dihantar untuk ujian dan mereka masih menunggu keputusan.


"Kami juga memantau konsep dapur awan ini kerana nama kedai roti itu terus berubah di Zomato," katanya.


Zomato, aplikasi penghantaran makanan di India masih belum mengulas isu itu.


Jurucakap Zomato dalam satu kenyataan yang dikongsi The Independent berkata, mereka menzahirkan simpati dan sedih atas insiden itu serta sudah menyahsenaraikan restoran itu daripada platform Zomato selain akan bekerjasama dengan pihak berkuasa. - Sumber The Independent.


Manvi meninggal dunia selepas memakan kek coklat yang ditempah sempena majlis hari lahirnya yang ke-10. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon