Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Viral. Papar semua catatan

Rabu, 2 Februari 2022

Lelaki terkejut melihat 'malaikat maut' tunggu depan rumah

Lelaki terkejut melihat 'malaikat maut' tunggu depan rumah


Seorang lelaki Kanada sangat ketakutan apabila dia melihat sepasang arca ais yang menyeramkan dalam bentuk malaikat maut atau Grim Reaper di halaman depan rumahnya, lapor akhbar Daily Mail pada 30 Januari 2022.


Arca ais menyeramkan itu berbentuk sosok kerangka yang membawa sabit besar dan berjubah serta lengkap berkerudung.


Ben Tucci, 65 dari wilayah Ontario, Kanada melihat dua arca ais menyeramkan pada 20 Januari lalu dan dia memanggilnya Grim Reaper dan satu watak kartun terkenal, Jack Frost.


"Reaksi awal saya adalah kagum. Saya tidak percaya dengan mata sendiri. Awalnya saya fikir is Jack Frost, Old Man Winter, Father Christmas atau mungkin Grim Reaper," katanya.


Tucci percaya bahawa arca-arca ais tersebut telah terbentuk apabila air di Tasik Erie membeku pada tiang lampu di hadapan rumah jirannya sehingga membentuk sosok tersebut.


Setelah melihat gambar arca tersebut, Tucci berkata anak perempuannya pernah bermimpi didatangi dua sosok tersebut ketika tinggal di kotej lama di tepi tasik itu.


"Anak perempuan bongsu saya sebelum ini memberitahu kami bahawa dia akan mengalami mimpi ngeri apabila tidur di bilik tidurnya di tepi tasik di kotej lama - sehingga dia akan tidur di sofa pada masa-masa tertentu.


"Apabila saya menunjukkan kepadanya gambar pembentukan ais dia terpegun. Dia memberitahu saya bahawa sosok yang kelihatan sedih dengan kepala tertunduk adalah imej yang menyeksanya dalam mimpi," kata Tucci.


Arca ais itu dilihat menyerupai Grim Reaper. - Foto Ben Tucci.

Selasa, 11 Januari 2022

Berjaya menurunkan berat badan dari 170kg kepada 55kg, suami hadiahkan cincin berlian

Berjaya menurunkan berat badan dari 170kg kepada 55kg, suami hadiahkan cincin berlian


Seorang wanita dari Taiwan menerima hadiah berupa sebentuk cincin berlian daripada suaminya sebagai 'ganjaran' kerana berjaya menurunkan berat badan sebanyak 75 kilogram (kg), lapor berita Liputan6 pada 10 Januari 2022.


Berdasarkan hantaran yang dimuat naik di laman Facebook pada 3 Januari 2022, suami wanita itu berkongsikan mengenai bagaimana isterinya berjaya menurunkan berat badan kepada 55 kg dalam masa dua tahun.


"Dua tahun lalu, isteri bertanya kepada saya, hadiah apa yang saya mahu pada hari ulang tahun kelahiran saya.


"Saya menjawab 'tiada apa', namun secara spontan saya bertanyakan kepadanya, sama ada dia boleh cuba menurunkan berat badan demi saya, sekali dalam seumur hidupnya," tulis lelaki tersebut.


Cabaran ini merupakan motivasi terbesar buat isterinya untuk menurunkan berat badan. Pelbagai cara diambil untuk mendapatkan bentuk dan berat badan yang ideal.


Kerja kerasnya membuahkan hasil apabila semua cabarannya ditempuhi. Wanita itu berjaya menurunkan berat badan dan memuat naik gambar sebelum dan selepas dia berdiet. kisah tersebut menjadi tumpuan netizen.


"Selepas dicabar, dia berusaha untuk menurunkan berat badan dengan cara mengamalkan pemakanan yang seimbang. Selepas dua tahun, dia akhirnya berjaya menurunkan sebanyak 75 kg daripada 130 kg sebelum ini," kata lelaki itu.


Isterinya kemudiannya dihadiahkan dengan sebentuk cincin berlian satu karat seperti yang dia janjikan. - Sumber Liputan6.


Wanita ini berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 75 kg dalam masa dua tahun. - Foto China Press.

Khamis, 30 Disember 2021

'Karen' mengganas dalam pesawat tumbuk cakar warga emas

'Karen' mengganas dalam pesawat tumbuk cakar warga emas


Seorang wanita bertindak menyerang seorang lelaki warga emas kerana tidak memakai pelitup muka ketika makan, walaupun dia sendiri tidak memakainya, lapor akhbar Metro UK pada 27 Disember 2021.


Kejadian itu berlaku di dalam sebuah pesawat Delta Air Lines yang sedang dalam penerbangan. Patricia Cornwall kemudian ditangkap oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) selepas insiden tersebut pada Khamis minggu lalu, demikian menurut polis Atlanta.


Sebuah rakaman video yang tular di laman Twitter menunjukkan seorang wanita berdiri di hadapan seorang lelaki warga emas, yang telah menanggalkan topeng mukanya semasa makan dan minum di tempat duduknya.


Dalam klip yang dimuat naik oleh akaun bernama ATL Uncensored memaparkan wanita itu sedang memarahi seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun.


Lelaki itu dan penumpang lain menggelarnya sebagai 'Karen', nama panggilan menghina yang diberikan kepada wanita yang biasanya berkulit putih yang angkuh dan tidak munasabah.


"Pakai pelitup muka sialan!" jerit wanita itu walaupun pelitup mukanya sendiri diletakkan di bawah dagu.


"Duduk, Karen!" balas warga emas itu.


Ketika bertengkar, wanita itu dilihat menampar lelaki terbabit dengan tangan kirinya, kemudian wanita itu cuba menumbuk dengan tangan kanannya pula namun dihalang oleh penumpang lain.


Kru pesawat kemudian dilihat menahan wanita itu dan membawanya ke lorong sambil wanita itu menjerit, 'kau sialan!'


Dalam klip itu, seseorang mengatakan bahawa wanita itu 'menggila' di dalam pesawat dengan menumbuk, meludah, mencakar dan menuang air panas pada lelaki warga emas itu.


Kapal terbang tersebut mendarat pada pukul 7.10 pagi (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta, polis yang menunggu menahan suspek dan diserahkan kepada FBI untuk tindakan lanjut.


Delta Air Lines mengesahkan kepada New York Post bahawa pegawai penguatkuasa undang-undang bertindak balas terhadap 'gangguan pelanggan yang tidak terkawal'.


"Situasi seperti ini jarang berlaku untuk sebahagian besar pelanggan kami, dan Delta tidak bertolak ansur terhadap kelakuan tidak terkawal di lapangan terbang kami dan di dalam pesawat kami," kata syarikat penerbangan itu.


Seorang wanita dirakam menyerang seorang lelaki warga emas kerana tidak memakai topeng semasa makan dan minum. - Foto @whiskeytattoo.

Ahad, 26 Disember 2021

Letup kereta Tesla berharga RM398,563 gara-gara kecewa kos tukar bateri mahal

Letup kereta Tesla berharga RM398,563 gara-gara kecewa kos tukar bateri mahal


Seorang lelaki di Finland meletupkan kereta jenama Tesla Model S miliknya yang berharga kira-kira AS$95,000 (RM398,563) setelah kenderaan tersebut rosak, manakala kos baik pulihnya amat tinggi, lapor akhbar New York Post pada 24 Disember 2021.


Tuomas Katainen membeli kereta itu pada 2013 dan mengatakan 'ia adalah kereta yang sangat baik' sebelum rosak setelah jarak pemanduannya mencecah 1496.7 kilometer.


Setelah sebulan berada di bengkel, mekanik memberitahu bahawa dia perlu menggantikan 'keseluruhan sel bateri' pada harga 20,000 euro atau kira-kira RM95,004.83.


"Jadi saya beritahu mereka saya akan mengambilnya tanpa dibaiki. Namun, saya akan meletupkannya," kata Tuomas kepada pesohor YouTube daripada saluran Pommijätkät.


Tuomas bertindak mendapatkan bantuan pasukan lagak ngeri yang menjalankan rancangan realiti di saluran itu untuk meletupkan keretanya. Kru lagak ngeri itu meletupkan kereta itu di sebuah bekas tapak kuari di kawasan bersalji Jaala.


Mereka meletakkan kira-kira 33 kilogram bahan letupan pada badan kereta tersebut. Patung manusia yang dipakaikan topi keledar dan topeng mirip wajah pengasas Tesla, Elon Musk dijatuhkan dari sebuah helikopter sebelum diletakkan di tempat duduk pemandu.


Rakaman menunjukkan Tuomas bersama kru tersebut bersorak setelah kereta diletupkan. Lelaki itu menganggap bahawa letupan tersebut lebih bermakna daripada menyimpan kereta Tesla yang tidak berfungsi.


Tuomas Katainen memutuskan untuk meletupkan kereta Tesla miliknya kerana memerlukan kos baik pulih yang tinggi.

Tuomas Katainen bersama kru bersorak setelah kereta Tesla Model S 2013 miliknya diletupkan.

Pakar mengikat 30kg bahan letupan hanya pada satu sisi kereta supaya arah serpihan dapat ditentukan.
UFO Dilihat Memasuki Kawah Gunung Berapi, Pakar Dakwa Ia Adalah Pangkalan Makhluk Asing

UFO Dilihat Memasuki Kawah Gunung Berapi, Pakar Dakwa Ia Adalah Pangkalan Makhluk Asing


Seorang ahli teori konspirasi percaya makhluk asing mempunyai pangkalan rahsia di Bumi, selepas sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) dilihat memasuki sebuah kawah gunung berapi di Mexico, lapor akhbar Daily Star pada 24 Disember 2021.


Scott C. Waring yang mendakwa dirinya pakar makhluk asing, berkongsi klip video memaparkan sebuah UFO memasuki kawah gunung berapi. Perkongsian itu mencetuskan perdebatan sama ada makhluk asing mempunyai pangkalan rahsia di dalam Bumi.


Menurutnya, klip video dirakam secara langsung pada 10 Disember itu memaparkan satu objek terang terbang secara amat perlahan memasuki kawah gunung berapi Popocatepetl, Mexico.


"UFO itu masuk dari bahagian kiri gunung berapi di mana terdapat sebuah lohong di situ. Lohong tersebut mengeluarkan abu, lahar dan awan panas setiap minggu. Saya percaya ia merupakan 'pintu masuk' bagi UFO tersebut," katanya.



Tambah Waring, dia sudah lama percaya bahawa terdapat sebuah pangkalan makhluk asing di bawah gunung berapi Popocatepetl, dekat Bandar Raya Mexico itu.


"Bukan sahaja kelibat UFO sering dilihat berlegar-legar di situ, bahkan ia turut keluar masuk dari kawah tersebut.


"Penduduk tempatan pernah mendakwa terlihat satu makhluk berketinggian 213 sentimeter yang mempunyai bentuk tajam pada bahagian tumit kaki, sedang memanjat gunung berapi tersebut tanpa sebarang peralatan mendaki.


"Bukti kewujudan 'alien' semakin banyak, tidak lama lagi makhluk asing akan memilih untuk mendedahkan diri mereka kepada dunia. Adakah anda bersedia?" katanya.


Waring memuat naik video itu di saluran YouTubenya dan kini menjadi tular, berikutan perkongsian itu dibanjiri komen daripada ahli teori konspirasi yang percaya terdapat 'pangkalan rahsia makhluk asing' di dalam gunung berapi tersebut.


"Setiap hari, semakin banyak kelibat UFO dilihat dan ia semakin aktif (menunjukkan diri)," kata seorang pengguna media sosial itu yang percaya kewujudan makhluk asing.


Walau bagaimanapun, pengguna lain tidak begitu yakin kerana mereka masih ragu-ragu berkaitan kewujudan makhluk asing, dan mengatakan bahawa objek itu mungkin meteor.


"Saya melihat hujan meteor pada malam tersebut. Pada pendapat saya, ia adalah meteor ( bukan UFO)," ujar seorang netizen.


Baca juga: UFO Dirakam Mengelilingi Letusan Gunung Berapi, Timbulkan Tanda Tanya Dikalangan Warganet.


Sebuah objek didakwa UFO dirakam memasuki kawah gunung berapi Popocatepetl. - Foto Youtube/UFO Sightings Daily.

Khamis, 23 Disember 2021

Sah Bukan Muntah Ikan Paus, Cuma Bahan Organik Yang Membentuk Ketulan

Sah Bukan Muntah Ikan Paus, Cuma Bahan Organik Yang Membentuk Ketulan


KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Terengganu mengesahkan ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus atau ambergris yang dijumpai seorang wanita ketika memancing di Kemaman, dekat sini disahkan tidak tulen.


Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, pengesahan itu hasil uji kaji dijalankan pihak penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) setelah mengambil semple itu 15 Disember lalu.


Katanya, ketulan yang didakwa ambergris itu tidak mengandungi tiga bahan aktif iaitu ambrein, epicoprosterol dan coprostanone, bahkan fizikalnya turut berbeza dengan struktur muntah ikan paus tulen yang seperti batu kapur.


"Kandungan terbanyak dalam ketulan itu ialah Pyrazole dengan sejumlah 94.56 peratus dan Pyrrole (3.34 peratus). Analisis mendapati ketulan itu terhasil daripada pengumpulan bahan organik seperti asid lemak hingga membentuk ketulan sedikit berserat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Ruzaidi berkata, analisis termal turut dilakukan dan titik cair yang ditemukan adalah 76.04 darjah celcius berbanding muntah tulen, 82.32 darjah celcius. Malah, katanya, dakwaan kononnya ketulan itu beraroma adalah kerana kandungan 1H-Pyrazole (asid lemak) yang mengeluarkan bau apabila dibakar.


Menurutnya, berkaitan isu perdagangan antarabangsa bagi muntah ikan paus tertakluk kepada Akta 686, iaitu perdagangan antarabangsa mengenai spesies terancam dan memerlukan permit CITES daripada Jabatan Perikanan Malaysia.


"Muntah ikan paus termasuk hasil bahan terbitan ikan paus sperma (Physeter catodon/microcephaly). Tanpa permit CITES , boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-dua sekali," katanya.


Sebelum ini media melaporkan Aida Zurina Long, 41, mendakwa menemui muntah ikan paus seberat lebih lima kilogram ketika memancing bersama keluarganya di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Marang, pada November lalu.


Berkaitan: Jabatan Perikanan ambil sampel dipercayai muntah ikan paus.


Ketulan objek pada awalnya dipercayai muntah ikan paus yang ditemukan seorang peniaga di Kemaman, Terengganu, pada bulan November lalu.

Selasa, 21 Disember 2021

Elak cukai, selebriti internet didenda RM884 juta, akaun media sosial dipadam

Elak cukai, selebriti internet didenda RM884 juta, akaun media sosial dipadam


Seorang bintang penstriman secara langsung popular dari China, dikenakan denda berjumlah 1.34 bilion yuan (RM884 juta) kerana mengelak daripada membayar cukai, lapor BBC News pada 20 Disember 2021.


Huang Wei, juga dikenali sebagai Viya merupakan seorang selebriti internet dengan mempunyai berjuta-juta pengikut, dan menggunakan platform miliknya bagi menjual pelbagai jenis produk.


Pihak berkuasa Hangzhou menuduh wanita itu menyembunyikan pendapatan peribadinya, selain turut melakukan beberapa kesalahan kewangan lain antara 2019 dan 2020.


Viya menerusi satu hantaran di laman sosial Weibonya berkata, dia sangat menyesal dan membuat permohonan maaf bagi perkara itu.


"Saya dengan sepenuh hati menerima hukuman yang dibuat oleh pihak berkuasa cukai," katanya pada hantaran tersebut.


Wanita berusia 36 tahun itu menjadi selebriti internet yang berpengaruh di China, didorong oleh perkembangan aktiviti beli-belah secara dalam talian.


Viya sepatutnya menjadi host acara jualan kosmetik pada petang Isnin (semalam) ini, sebelum akaun penstrimannya telah dipadam akibat daripada isu tersebut, menurut agensi berita Reuters.


Platform media sosialnya yang meluas menjadikan Viya tersenarai dalam senarai 100 tokoh paling berpengaruh oleh majalah Time bagi tahun ini.


Akaun penstriman Viya kini telah dipadam akibat daripada isu tersebut. - Foto Getty.