Khamis, 23 Disember 2021

Sah Bukan Muntah Ikan Paus, Cuma Bahan Organik Yang Membentuk Ketulan


KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Terengganu mengesahkan ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus atau ambergris yang dijumpai seorang wanita ketika memancing di Kemaman, dekat sini disahkan tidak tulen.


Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, pengesahan itu hasil uji kaji dijalankan pihak penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) setelah mengambil semple itu 15 Disember lalu.


Katanya, ketulan yang didakwa ambergris itu tidak mengandungi tiga bahan aktif iaitu ambrein, epicoprosterol dan coprostanone, bahkan fizikalnya turut berbeza dengan struktur muntah ikan paus tulen yang seperti batu kapur.


"Kandungan terbanyak dalam ketulan itu ialah Pyrazole dengan sejumlah 94.56 peratus dan Pyrrole (3.34 peratus). Analisis mendapati ketulan itu terhasil daripada pengumpulan bahan organik seperti asid lemak hingga membentuk ketulan sedikit berserat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Ruzaidi berkata, analisis termal turut dilakukan dan titik cair yang ditemukan adalah 76.04 darjah celcius berbanding muntah tulen, 82.32 darjah celcius. Malah, katanya, dakwaan kononnya ketulan itu beraroma adalah kerana kandungan 1H-Pyrazole (asid lemak) yang mengeluarkan bau apabila dibakar.


Menurutnya, berkaitan isu perdagangan antarabangsa bagi muntah ikan paus tertakluk kepada Akta 686, iaitu perdagangan antarabangsa mengenai spesies terancam dan memerlukan permit CITES daripada Jabatan Perikanan Malaysia.


"Muntah ikan paus termasuk hasil bahan terbitan ikan paus sperma (Physeter catodon/microcephaly). Tanpa permit CITES , boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-dua sekali," katanya.


Sebelum ini media melaporkan Aida Zurina Long, 41, mendakwa menemui muntah ikan paus seberat lebih lima kilogram ketika memancing bersama keluarganya di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Marang, pada November lalu.


Berkaitan: Jabatan Perikanan ambil sampel dipercayai muntah ikan paus.


Ketulan objek pada awalnya dipercayai muntah ikan paus yang ditemukan seorang peniaga di Kemaman, Terengganu, pada bulan November lalu.


EmoticonEmoticon