Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Trending. Papar semua catatan

Isnin, 19 September 2022

Doktor mengeluarkan kain kasa yang tertinggal dalam badan pesakit selama 20 tahun

Doktor mengeluarkan kain kasa yang tertinggal dalam badan pesakit selama 20 tahun


Doktor berjaya mengeluarkan gumpalan kain kasa daripada badan seorang wanita selepas ia ditinggalkan secara tidak sengaja semasa pesakit itu menjalani pembedahan usus 20 tahun lalu, lapor akhbar New York Post pada 16 September 2022.


Kajian kes mengenai prosedur pembedahan wanita itu diterbitkan pada Julai lalu dalam Jurnal perubatan Cureus.


"Pesakit kekal tanpa gejala selama 20 tahun walaupun terdapat kehadiran benda asing yang agak besar di dalam rongga perutnya," tulis penulis kajian kes tersebut.


Kejadian itu berlaku apabila pesakit berusia 65 tahun yang menghidap sejenis kanser dipanggil adenokarsinoma mukosa genetik, menjalani beberapa pembedahan pada tahun 1999.


Pesakit yang identitinya tidak didedahkan itu menjalani gastrectomy (pembedahan membuang sebahagian perut) dan epiploectomy (pembedahan buang lapisan tisu pada organ) sebelum menjalani kemoterapi.


Sebelum diisytiharkan bebas kanser, pakar bedah secara tidak sengaja meninggalkan sesuatu semasa pembedahan.


Pesakit berkenaan tidak menyedari perkara itu sehingga 20 tahun kemudian apabila mengalami sakit perut yang teruk selama dua hari, demam, berpeluh pada waktu malam dan bengkak pada pehanya.


Pesakit itu turut mengalami anoreksia (gangguan makan) yang tidak dapat dijelaskan menyebabkan dia hilang berat badan sebanyak 7.7 kilogram (kg), lebih 10 peratus jisim badannya.


Setelah menjalani ujian ultrasound di hospital, doktor menemui gumpalan kain kasa di dalam perutnya. Mereka percaya ia ditinggalkan di dalam usus semasa pembedahan lebih dua dekad lalu.


Pakar-pakar bedah berjaya mengeluarkan kain itu tanpa sebarang halangan. Foto yang disiarkan menunjukkan kain 'perubatan' yang dikeluarkan kelihatan berkerak dan coklat seperti pembalut mumia purba. - Sumber News York Post.


Imbasan ultrabunyi mendedahkan gumpalan kain kasa dalam badan wanita. - Foto Jam Press.

Pesakit kekal 'asimtomatik' selama 20 tahun walaupun kain perubatan itu berada di dalam badannya. - Foto Jam Press.

Pakar-pakar bedah berjaya mengeluarkan kain itu tanpa sebarang halangan. -  Foto Jam Press.

Jumaat, 9 September 2022

Lelaki duduk di atas bumbung selama 2 hari kerana merajuk tidak diberi ganja

Lelaki duduk di atas bumbung selama 2 hari kerana merajuk tidak diberi ganja


Hanya kerana tidak dibenarkan menghisap ganja, seorang lelaki dari timur laut Thailand bertindak memanjat bumbung rumahnya dan kekal berada di sana selama dua hari, lapor laman berita thethaiger.com pada 7 September 2022.


Bagaimanapun, Kantaphi yang berusia 42 tahun akhirnya turun dari bumbung rumahnya setelah berasa lapar sebelum dibawa ke hospital. Isteri Kantaphi mengakui suaminya merupakan penagih ganja.


Malah, katanya, dia terpaksa membawa suaminya dari Bangkok untuk tinggal bersama rumah mertuanya di daerah Kantharalak, wilayah Sisaket untuk menangani masalah ketagihannya.


Ketika kejadian, Kantaphi meminta bapanya yang berusia 65 tahun, Sathien Panyakom untuk memberikan ganja kepadanya.



"Namun, Sathien memberitahu dia tidak mempunyai ganja sehingga membuatkan Kantaphi merajuk lalu memanjat bumbung rumahnya kira-kira pukul 8.30 malam (waktu tempatan).


"Keesokan harinya, jiran dan beberapa rakan cuba memujuk Kantaphi untuk turun dari bumbung namun dia tetap duduk di atas walaupun ketika hujan lebat. Dia tidak bertindak agresif sebaliknya hanya mahu bersendirian di atas bumbung," jelas laporan itu.


Polis di Kantharalak, Sukit Luangsakulthai turut mengunjungi rumah Kantaphi kira-kira pukul 3 petang namun gagal memujuknya untuk turun dari bumbung.


Setelah hampir 48 jam, Kantaphi akhirnya turun dari bumbung pada pukul 6 petang selepas berasa 'terlampau panas dan lapar'. Kantaphi kelihatan lemah dan dia dibawa ke Hospital Kantharalak untuk menjalani pemeriksaan.


"Kantaphi biasanya bekerja sebagai peniaga di Bangkok, tetapi isterinya membawanya ke sini pada hari Sabtu kerana bimbang tentang penggunaan ganjanya, dan kemudian dia (isteri) memandu pulang ke Bangkok," kata Sathien. - Sumber thethaiger.com.


Kantaphi duduk atas bumbung rumah selama dua hari kerana tidak dibenarkan menghisap ganja. - Foto thaitath.co.th.

Khamis, 1 September 2022

Pekan purba dari era Empayar Rom muncul semula selepas 2,000 tahun hilang

Pekan purba dari era Empayar Rom muncul semula selepas 2,000 tahun hilang


Sebuah perkampungan 'hantu' dari era Empayar Rom ditemui semula selepas hampir 2,000 tahun hilang di bawah air, lapor akhbar The Sun pada 30 Ogos 2022.


Pekan purba itu tenggelam di bawah takungan air dekat Sungai Lima di barat laut Sepanyol. Berdasarkan rakaman dron pada minggu lalu, kampung yang hilang itu tidak disentuh selama berabad-abad.


Sekitar tahun 75 Masihi, runtuhan itu dipercayai merupakan lokasi kem tentera Rom yang dinamakan Aquis Querquennis.


Menurut pakar-pakar sejarah, kem purba itu dibina di Galicia, sekitar 531 kilometer dari Madrid pada kemuncak Empayar Rom hampir 2,000 tahun lalu.


Menurut majalah Atlas Obscura, kem itu menempatkan sehingga 600 tentera Rom.

 

Kem tentera itu dikatakan ditinggalkan oleh tentera beberapa dekad selepas ia dibina, sebelum kemudian dibanjiri air sungai.


Kem itu turut memiliki kuil, bilik mandi air panas, berek tentera dan hospital. Kemarau teruk di seluruh Sepanyol mendedahkan runtuhan itu.


Penemuan itu telah menyebabkan beberapa orang mempersoalkan apakah tapak purba lain di kawasan itu akan ditemui tidak lama lagi. - Sumber The Sun.


Pekan purba ini muncul semula selepas kemarau teruk melanda di Sepanyol yang menyebabkan banyak sungai hampir kering. Kem tentera Rom adalah salah satu daripada beberapa penemuan bersejarah. - Foto EPA.

Termasuk dalam kem tentera yang besar itu ialah kuil, mandi air panas, berek tentera dan hospital. - Foto Alamy.

Kemarau yang teruk mengeringkan takungan, mendedahkan runtuhan bersejarah. - Foto Alamy.

Kem tentera itu dibina oleh empayar Rom kuno. - Foto Alamy.

Rakaman udara yang menakjubkan menunjukkan kampung purba yang hilang. - Foto EPA.

Kem tentera Aquis Querquennis ditemui selepas 2,000 tahun di bawah air. - Foto EPA.

Jumaat, 19 Ogos 2022

Pasangan suami isteri saman ayam jantan berkokok 200 kali sehari

Pasangan suami isteri saman ayam jantan berkokok 200 kali sehari


Sepasang suami isteri warga emas di Bad Salzuflen, barat Jerman, memfailkan kes mahkamah ke atas jiran mereka kerana tidak tahan mendengar bunyi ayam jantan peliharaannya berkokok sehingga 200 kali sehari, lapor laman berita Oddity Central pada 17 Ogos 2022.


Friedrich-Wilhelm, 76, dan isterinya, Jutta mendakwa bahawa mereka tidak dapat berehat dengan tenang sejak sekian lama disebabkan bunyi bising ayam jantan bernama Magda itu.


Ia mula berkokok sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan) setiap hari, dan tidak berhenti berbunyi sehingga waktu senja apabila pemiliknya mengurung haiwan itu bersama ayam-ayam lain.


Selepas beberapa tahun cuba berunding dengan jiran mereka mengenai perkara itu, Friedrich dan Jutta akhirnya membuat keputusan membawa perkara itu ke mahkamah.


"Jiran kami enggan beralah mengenai isu ini dan kami mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan kehidupan seperti itu atau menang dalam perbicaraan.


"Kami tidak boleh menggunakan kawasan taman dan tidak boleh membuka tingkap. Kami sudah tidak tahan lagi," kata Friedrich.


Friedrich dan Jutta juga dilaporkan telah merakam bunyi kokokan haiwan itu sebagai bukti mahkamah. Bunyi kokokan ayam itu diukur sekuat 80 desibel, bersamaan dengan bunyi bising restoran yang dipenuhi pengunjung atau jalan raya dengan kesesakan lalu lintas.


Menurut peguam mereka, Torsten Gieseke, ayam jantan terlebih aktif seperti Magda tidak boleh berada di kawasan perumahan yang tenang sambil menambah, seorang lagi jiran terpaksa berpindah dua tahun lalu kerana tidak tahan dengan bunyi bising Magda.


Michael D. yang memiliki Magda, memberitahu pemberita bahawa ayam jantan itu memainkan peranan penting dalam kumpulan ayamnya, kerana dia menjaga ketenteraman di kalangan ayam lain.


"Ayam-ayam dalam kurungan itu memerlukan ayam jantan, jika tidak mereka akan berlawan satu sama lain," katanya.


Seorang hakim Mahkamah Daerah Lemgo dijadualkan untuk mendengar kes Friedrich dan Jutta tidak lama lagi dan memutuskan nasib Magda selepas itu. - Sumber Oddity Central.


Friedrich dan Jutta mengambil tindakan itu selepas sudah tidak tahan mendengar bunyi kokokan Magda dan gagal mencari penyelesaian dengan jiran mereka. - Foto Facebook Dim Mbapila Jr.

Khamis, 18 Ogos 2022

Ahli perniagaan berusia 28 tahun didakwa ubah wang haram RM2.04 juta, beli perniagaan sushi

Ahli perniagaan berusia 28 tahun didakwa ubah wang haram RM2.04 juta, beli perniagaan sushi


Seorang ahli perniagaan wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di Raub, pada Rabu atas lima pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM2,042,628.84 pada tahun 2021.


Bagaimanapun tertuduh Norida Syakira Agus Hadi, 28, yang beralamat di Banting, Selangor, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.


Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 8 Jan 2021 hingga 20 Jun 2021, menerusi akaun syarikatnya DSS Berkat Enterprise di Maybank Islamic Berhad cawangan Kuala Lipis, Pahang.


Norida Syakira didakwa melakukan kesalahan itu dengan membeli perniagaan sushi bernilai RM1.317 juta, selain memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM242,770, RM369,700 dan RM32,500 serta didakwa telah melupuskan wang berjumlah RM80,000.


Dia dituduh mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.


Timbalan Pendakwa Raya AMLA Rohaiza Zainal menawarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, memandangkan tertuduh telah didakwa dengan satu pertuduhan di mahkamah itu, selain empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam melibatkan nilai jutaan ringgit pada 24 Feb lepas.


Bagaimanapun, peguam M Manoharan yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak berkeupayaan untuk membayar jaminan, setelah menjelaskan jaminan sebanyak RM17,500 di Shah Alam dan berharap jaminan itu boleh diguna pakai di sini.


Ahmad Faizadh kemudiannya menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan meletakkan syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan selain membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.


Tertuduh dilihat menangis selepas selesai perbicaraan sebelum diikat jamin oleh suaminya yang turut hadir di mahkamah. - Sumber Harian Metro.


Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen. - Foto Bernama.

Selasa, 16 Ogos 2022

Bukan dihentikan BN, PH atau PN, projek LCS terhenti sendiri

Bukan dihentikan BN, PH atau PN, projek LCS terhenti sendiri


Isu projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), menarik tumpuan kini menjadi perbalahan pemimpin politik kerajaan dan pembangkang yang mendesak siasatan secara terperinci selain segera mendakwa individu yang terlibat dengan skandal berkenaan.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menegaskan pemberhentian projek LCS adalah disebabkan Boustead Naval Dockyard Sdn. Bhd (BNS). Mereka sudah 'kehabisan duit' bagi melaksanakannya.


"Ia bukan disebabkan oleh kerajaan memerintah sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).


"Ia terhenti dengan sendiri apabila BNS tidak mampu membayar vendor, pembekal dan kontraktor yang terlibat walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek tersebut.


"Dalam prosiding PAC, pihak pengurusan BNS sendiri mengakui syarikat itu menghadapi masalah kewangan serius sehingga terpaksa mengurangkan gaji kakitangannya," katanya pada program Diskusi Rakyat, di Lumut, semalam.



Ketika ini, isu LCS menjadi medan pertelagahan politik apabila pemimpin daripada kalangan BN, PH dan PN saling salah menyalahkan antara satu sama lain, sebagai punca projek itu tidak dapat disiapkan walaupun sepatutnya kapal pertama LCS diserahkan pada 2019.


Bercakap kepada pemberita, Kah Woh memaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif BNS yang baharu, Azhar Jumaat ketika prosiding bersama PAC mengakui terdapat salah urus kewangan yang serius oleh pihak pengurusan lama sehingga menyebabkan situasi yang berlaku pada hari ini.


Jelas Kah Woh, dapatan PAC mendapati terdapat perbelanjaan yang digunakan bukan untuk pembinaan kapal berjumlah RM1.4 bilion meliputi pembayaran hutang lapuk projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) berjumlah RM400 juta, membina fasiliti atau bangunan di Cyberjaya bernilai RM305 juta dan kos di luar jangka berjumlah RM700 juta.


"Begitu juga dengan kerugian yang dialami oleh BNS akibat membayar harga mahal sehingga empat kali ganda menerusi 'letter of award' bernilai RM3.3 bilion kepada syarikat sub-kontraktor, Contraves Advanced Devices Sdn. Bhd. (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn. Bhd.(CED).


"Bagi pihak PAC, kita berpendapat memang berlaku salah laku amat serius khasnya daripada aspek kewangan, sebab itu kita mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan dan pendakwaan mereka," katanya. - Sumber Kosmo Online.


BACA: Pembinaan kapal tempur pesisir pantai bukan projek 'halimunan'.


Kah Woh (dua kanan) pada program Diskusi Rakyat: LCS - Pertahanan Negara Yang Dieksploitasi di Seri Manjung semalam.

Ahad, 31 Julai 2022

Remaja pukul lelaki selepas berang ditegur kencing tepi jalan ditahan polis

Remaja pukul lelaki selepas berang ditegur kencing tepi jalan ditahan polis

Gambar hiasan.

Seorang remaja lelaki ditahan disyaki memukul seorang lelaki selepas berang ditegur kencing di laluan keluar Flat Bayu Nyaman di Kampung Masjid, Bayan Lepas pada hari Jumaat (29 Julai 2022).


Menurut kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Barat Daya, suspek berusia 19 tahun telah memukul mangsa dengan menggunakan sebatang kayu.


Katanya, hasil soal siasat mendapati mangsa telah menegur suspek kerana membuang air kecil berhampiran kon yang diletakkan di kawasan jalan keluar flat.


"Mangsa yang melihat perkara itu telah meminta suspek menyiram semula kawasan yang terkena air kencingnya. Suspek kemudiannya beredar dari lokasi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu.


Menurut kenyataan itu, beberapa minit selepas itu suspek datang semula dan terus memukul mangsa dengan sebatang kayu.


"Siasatan mendapati, mangsa dipukul dengan menggunakan sebatang kayu sepanjang 45.7 sentimeter (cm). Mangsa telah mengalami luka dan berdarah di bahagian kepala sebelah kiri," jelasnya.


Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. - Sumber Kosmo Online.


Suspek diberkas polis selepas disyaki memukul seorang lelaki di bawah flat Batu Nyaman, Bayan Lepas. - Foto FB IPD Barat Daya.