Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan

Jumaat, 29 Januari 2021

Kusta Adalah Penyakit Berjangkit Kronik Antara Tertua Di Dunia. Adakah ia penyakit yang diwarisi? Anda perlu tahu

Kusta Adalah Penyakit Berjangkit Kronik Antara Tertua Di Dunia. Adakah ia penyakit yang diwarisi? Anda perlu tahu


Pasti korang biasa dengar mengenai penyakit kusta bukan? Korang tahu tak penyakit kusta atau Leprosy adalah antara penyakit tertua di dunia? Disebabkan itu juga wujud sambutan Hari Kusta Sedunia, World Leprosy Day yang disambut pada setiap hari Ahad terakhir bulan Januari setiap tahun.


Ia disambut bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa penyakit Kusta yang dahulunya sangat digeruni boleh disembuh dan dibasmi sepenuhnya. Hari ini menerusi hantaran di Facebook, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkongsi kepada umum mengenai apa itu penyakit kusta.


Penyakit kusta juga dikenali sebagai penyakit Hansen. Ia adalah penyakit berjangkit yang kronik, disebabkan oleh sejenis kuman yang bernama Mycobacterium leprae. Bakteria itu boleh menjangkiti kulit dan saraf-saraf periferal serta tisu-tisu lain seperti mata, saluran pernafasan, selaput dalaman hidung dan testis.


Apa yang menyebabkan penyakit kusta? Bagaimana ia merebak? Adakah ia penyakit yang diwarisi?



Hakikatnya, penyakit kusta bukanlah penyakit yang berjangkit secara agresif dan ia juga tidak diwarisi. Ia boleh diubati, malah kusta bukannya satu sumpahan dalam kehidupan seperti yang dianggapkan orang ramai.


Stigma ke atas penyakit dan pesakit kusta ini perlu diubah agar mereka dapat menerima rawatan dengan segera selain menjalani kehidupan seperti orang lain tanpa perlu diasingkan seperti zaman dahulu.


Bakteria ini membiak dengan perlahan dan tanda-tanda atau gejala penyakit mungkin mengambil masa lebih daripada dua hingga lima tahun untuk muncul. Kini, kusta boleh dirawat dengan berkesan dan pengasingan pesakit tidak diperlukan lagi.


Pesakit kini boleh tinggal dengan ahli keluarga dan masyarakat ketika mereka menerima rawatan. Ramai yang menganggap penyakit kusta sudah lupus kerana kurang mendengar cerita tentang penyakit tersebut, tetapi ia masih wujud di lebih daripada 100 negara termasuk Malaysia dengan sebanyak 300 hingga 350 kes baru didiagnosa setiap tahun.


Selain itu penyakit itu juga mampu merebak dengan bawaan udara (airborne) dan ia merebak melalui titisan di udara. Apabila pesakit penyakit kusta bersin atau batuk, titisan yang mengandungi bakteria akan dilepaskan ke dalam udara. Penyakit ini boleh merebak apabila seseorang menghirupi titisan udara tersebut.


Namun, ia tidak mudah untuk seseorang itu mendapat penyakit kusta. Lebih daripada 95 peratus orang secara semula jadi imun (kebal) kepada bakteria kusta, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan endemik penyakit ini.


Penyakit kusta tidak merebak melalui sentuhan pada luka-luka yang terdapat pada anggota atau badan pesakit kusta yang lain. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, sentiasa mengutamakan kebersihan diri seperti kerap mandi dan kerap mencuci tangan dengan betul menggunakan sabun atau menggunakan bahan pencuci tangan (hand sanitizer).


Selain itu, disinfeksi kawasan rumah juga sangat digalakkan untuk membasmi virus yang kebanyakannya bebas berada di udara yang pastinya kita tidak akan Nampak dengan pandangan mata kasar.


Sejarah cara rawatan penyakit Kusta



Terdapat ubat yang mampu menyembuhkan penyakit berkenaan yang ditemui 1983 dikenali sebagai ‘Multi Drug Treatment’ (MDT) iaitu gabungan tiga jenis antibiotik Dapson, Clofazimin dan Rifampicin.


Sebelum kemunculan MDT, pesakit kusta hanya bergantung pada dua jenis ubat bagi memperlahankan keaktifan bakteria itu. Antaranya menggunakan kaedah tradisional iaitu menerusi suntikan dua kali seminggu minyak daripada herba hydnocarpus wightiana atau buah kusta kepada pesakit sebelum 1940.


Kemudian digantikan antibiotik Dipson pada 1940 hingga 1980. Namun keberkesanan dua ubat ini tidak mampu menandingi kehebatan MDT kerana pesakit perlu bergantung dengan ubat berkenaan (herba hydnocarpus wightiana dan Dapson) sepanjang hayat selain risiko pengulangan penyakit itu.


Oleh itu, dengan penggunaan antibiotik MDT pesakit tidak lagi perlu menjalani rawatan pencegahan menerusi kaedah pengasingan seperti yang diamalkan sebelum program Kawalan Kusta Kebangsaan dilancarkan pada 1970.


Selasa, 26 Januari 2021

Capai Hasrat Bertemu Rakan Setugas, Koperal Azmi Hidap Kanser Rahang Meninggal Dunia

Capai Hasrat Bertemu Rakan Setugas, Koperal Azmi Hidap Kanser Rahang Meninggal Dunia


Anggota polis yang berhasrat untuk menemui rakan sekerjanya selepas dia dilaporkan tenat akibat barah rahang mulut yang dihadapinya menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bertam Perdana, tengah hari tadi.


Berita kematian Koperal Azmi Kamarudin, 34, disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. Beliau berkata, Azmi dilaporkan meninggal dunia pada 12.18 tengah hari disebabkan penyakit yang dialaminya.


"Kami warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarganya termasuk isterinya, Koperal Noor Ifa Md Sukari atas pemergian suami tercinta.


"Syukur sebelum pemergiannya kami sempat merealisasikan hasratnya untuk bertemu rakan sekerja dan berharap semua ahli keluarganya tabah dengan ujian ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.



Difahamkan Koperal Azmi adalah bekas anggota yang pernah bertugas di Bahagian Stor Barang Kes Berpusat di Kepala Batas sebelum bertukar ke Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.


Isterinya, Koperal Noor Ifa Md Sukari, 36, berkata penyakit suaminya mulai dikesan sejak tiga tahun lalu. Menurutnya, sebelum ini dia menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).


Walau bagaimanapun, kesihatannya semakin merosot sejak Jumaat lalu dan selepas menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB), mereka sekeluarga memilih untuk membawa pulang.


Kata Noor Ifa, dia hanya memaklumkan secara dalaman sahaja tentang hasrat suaminya ingin berjumpa rakan sejawat namun ia menjadi tular. Namun reaksi suami apabila menerima kunjungan rakan-rakannya menunjukkan bahawa dia sangat gembira dan mengenali semua yang datang melawatnya.


Jenazah Azmi telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Berpusat Masjid Abdullah Fahim, Permatang Langsat di sini, selepas solat Asar hari ini.

Sabtu, 9 Januari 2021

Syarikat pembekal daging tuntut RM50 juta mendakwa difitnah jual kartel daging haram

Syarikat pembekal daging tuntut RM50 juta mendakwa difitnah jual kartel daging haram


Pengasas syarikat Raihanah Cold Storage Sdn Bhd menuntut ganti rugi RM50 juta dan permohonan maaf daripada pemilik akaun Facebook (FB) Zaharin Mohd Yasin yang didakwa memfitnah mereka berkaitan isu kartel daging import tidak halal.


Tuntutan itu dikemukakan oleh Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan isterinya Raihanah Kasim, 42, serta syarikat mereka menerusi peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay. Mereka juga menuntut Zaharin menarik balik kenyataan yang didakwa memfitnah berkaitan isu berkenaan.


Mohd Haaziq berkata, dalam paparan di FB Zaharin bertarikh 25 Disember 2020 yang antara butirannya 'Isu daging tidak halal bukan perbuatan orang bukan Islam. Tetapi dilakukan oleh orang Islam. Syarikat milik orang Islam'.


"Paparan itu turut melampirkan gambar anak guam saya, Rahman dan turut terpapar lampiran dokumen carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenai butiran syarikat Raihanah Cold Storage Sdn Bhd termasuk nama penuh dan nombor MyKad Raihanah.


"Jika saya tak kenal mereka, saya juga akan beranggapan bahawa syarikat ini menjual daging haram. Mereka terima banyak cacian melalui FB dan WhatsApp mereka sendiri seperti bertanyakan ada daging kanggaro tak? Ada daging babi tak dan sebagainya.


"Sedangkan, mereka adalah pemilik syarikat Bumiputera Melayu yang bukan pengimport daging, mereka tidak ada permit import syarikat (AP) untuk import daging. Mereka hanya membekalkan sahaja.


"Pihak yang terbabit dengan kartel penjualan daging haram adalah orang lain. Jika anak guam saya terbabit, mereka tidak boleh ada di sini petang ini," katanya dalam sidang media mengenai perkara itu, di Petaling Jaya, hari ini, turut hadir Rahman dan Raihanah.


Mohd Haaziq berkata, semalam Tetuan J.S Pillay & Mohd Haaziq sudah pun menghantar notis tuntutan komprehensif 20 muka surat kepada Zaharin antaranya terkandung tuntutan fitnah ganti rugi RM50 juta, tarik balik kenyataan itu, permohonan maaf di FB dan akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan seumpamanya.


Beliau berkata, pihak Zaharin diberikan tempoh selama lapan hari bermula hari ini untuk menjawab tuntutan itu selain pihaknya merancang membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Sementara itu, Rahman berkata, akibat perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan perniagaannya jatuh merudum malah dia sekeluarga diganggu emosi oleh beberapa pihak yang mempercayai kandungan di FB Zaharin.


"Malah anak-anak saya berusia antara 10 hingga 22 tahun diejek seperti 'ayah awak jual daging haram ke?'. Saya turut menerima ugutan bunuh dan laporan polis mengenainya sudah pun dibuat," katanya yang sudah terbabit dalam perniagaan daging selama 23 tahun.

Khamis, 24 Disember 2020

Tak perlu risau, kualiti status halal daging import dijamin, lalui pemeriksaan ketat

Tak perlu risau, kualiti status halal daging import dijamin, lalui pemeriksaan ketat


Pontian: Dasar pengimportan daging dan produk sedia ada menjamin kualiti, keselamatan serta status halal untuk kebaikan orang ramai. Pemeriksaan di loji pemprosesan dan rumah sembelihan dijalankan mengikut prosedur ditetapkan kerajaan, sebelum dibawa masuk ke Malaysia.


Masyarakat khususnya umat Islam di negara ini tidak perlu risau berhubung daging import yang memasuki pasaran negara kerana ia melalui proses pemeriksaan yang ketat.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (I), Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata, tidak dinafikan banyak persepsi negatif yang dilontarkan orang awam, namun berharap supaya diberi ruang kepada pihak berkaitan bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung isu penyeludupan daging import.


Dimaklumkan bahawa proses daging kita (negara) dijalankan oleh agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, ia melalui proses yang cukup ketat.


"Selain itu, perlu juga membuat pemantauan dan pengauditan di semua tempat yang membekalkannya termasuk di bengkel atau kilang yang bukan sahaja perlu menepati status halal, malah perlu melihat daripada segi faktor kesihatan barulah kita boleh meluluskan permohonan terbabit.


"Apabila dimasukkan ke dalam negara, ia melalui beberapa pemeriksaan dan bukan sahaja membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) iaitu di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan," katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja Agropreneur Muda ke Pontian, di Kampung Lubuk Sipat Benut, dekat sini, hari ini.


Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata, pihaknya berharap masyarakat supaya bersabar pada ketika ini berikutan proses pemeriksaan, selain siasatan pun masih dijalankan membabitkan beberapa jabatan dan agensi berkaitan.


Media sebelum ini melaporkan, terdapat kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah termasuk diragui status halal dan kualitinya. 


Berdasarkan rekod JPV, setakat ini Malaysia meluluskan 28 rumah sembelih lembu dari Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan, selain 11 rumah sembelih kerbau dari India serta Pakistan.


Selain senarai negara yang diluluskan, sumber mendakwa, kartel dipercayai membeli bekalan daging dari loji sembelihan di Kanada, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China.


JPV berkata, kelulusan import daging dan produk daging hanya dibenarkan dari negara sumber, loji pemprosesan dan rumah sembelihan yang dilulus serta diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

Rabu, 23 Disember 2020

Kanak-kanak maut dirempuh 4WD ketika melintas jalan

Kanak-kanak maut dirempuh 4WD ketika melintas jalan


Kuala Pilah: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dirempuh kenderaan ketika melintas jalan di Kilometer 8, Jalan Kuala Pilah-Rembang Panas, dekat sini, hari ini.


Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, berkata kejadian berlaku jam 10.50 pagi dan mangsa, Sofiya Umairah Ab Rahman, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.


Katanya, siasatan awal mendapati mangsa cuba melintas jalan menuju rumah ibu saudaranya, sebelum dirempuh pacuan empat roda (4WD) dari arah Bahau menuju Seremban.


"Kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux pula dalam perjalanan dari arah Bahau menuju Seremban.


"Sebaik tiba dilokasi mangsa dipercayai berlari melintas jalan sebelum dilanggar kenderaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Amran berkata, akibat rempuhan itu, kanak-kanak terbabit tercampak ke bahu kiri jalan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menjalani proses bedah siasat.


Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Memandu lawan arus, polis trafik ditahan, disyaki mabuk

Memandu lawan arus, polis trafik ditahan, disyaki mabuk


Johor Bahru: Seorang anggota polis trafik ditahan kerana memandu secara berbahaya dengan melawan arus selain disyaki di bawah pengaruh alkohol pada jam 12.30 tengah malam, hari ini.


Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata, pihaknya menerima satu rakaman video berkaitan sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya menlawan arus di Jalan Lingkaran Dalam di sini.


Menurut beliau, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor Bahru Selatan (JBS) kemudiannya mengesan dan menahan lelaki berusia 25 tahun itu.


"Lelaki itu yang juga anggota polis trafik di Johor Bahru Selatan ditahan di Stesen minyak Lingkaran Dalam kerana memandu secara melawan arus dan disyaki di bawah pengaruh alkohol.


"Siasatan mendapati, ketika kejadian, anggota terbabit tidak bertugas selain memandu kenderaan persendirian.


"Kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak termasuk anggota serta pegawai yang melanggar undang-undang," katanya pada kenyataan hari ini.


Menurut Ayob Khan, pihaknya juga akan memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan suspek akan dituduh di mahkamah. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 45A APJ 1987.


Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 36 saat di media sosial membabitkan Perodua Axia perak dipandu secara melawan arus.


Kereta itu dipandu di lorong laju dengan lampu isyarat kecemasan dibuka. Manalah kereta itu turut berhenti di tengah jalan sebelum membuat pusingan U di jalan terbabit.

Ahad, 20 Disember 2020

Hanya imbas anak mata, AADK terima alat kesan penagih dadah

Hanya imbas anak mata, AADK terima alat kesan penagih dadah


Kuala Lumpur: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kini memiliki teknologi untuk kesan penagih dadah dengan mudah dan cepat. Unit alat Pengesan Dadah Visual Segera 2.0 (IVDD 2.0) adalah teknologi terbaru diterima agensi itu yang bernilai RM136,000 dalam usaha mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah di negara ini.


Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, alat sumbangan syarikat Nyla Sdn Bhd itu akan digunakan sebagai kajian projek rintis AADK mengesan penyalahgunaan dadah melalui sensor mengimbas anak mata.


Penyerahan dua alat IVDD 2.0 kepada Zulkifli disempurnakan Pengarah Nyla Sdn Bhd, Ahmad Khusairy Abd Ghani. Bagaimanapun katanya, alat berkenaan akan diuji terlebih dahulu untuk tempoh enam bulan bagi memastikan keberkesanannya sebelum digunakan.


"AADK akan terbabit sama dalam menjalankan ujian alat itu bertujuan mengenal pasti keberkesanannya. Kita berharap teknologi terbabit dapat memberikan hasil yang memuaskan.


"Ini seterusnya mewujudkan kaedah ujian pengesanan dadah yang kurang mengganggu (less instrusive)," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan dua unit alat IVDD 2.0 di sini, hari ini.



Zulkifli berkata, peringkat awal dua alat itu akan digunakan oleh AADK Kuala Lumpur dan Putrajaya semasa menjalankan operasi bersepadu dadah di pusat hiburan, kawasan 'hot spot', sarang penagihan dadah dan sekolah.


Tambah beliau, alat berkenaan memerlukan tempoh dua minit untuk menghasilkan data daripada imbasan anak mata dan ia akan disimpan dalam sistem AADK.


"Alat ini menjadi alternatif kepada ujian saringan air kencing yang kita biasa lakukan untuk mengesan penyalahgunaan dadah kepada individu yang disyaki sebelum ini.


"Cara ini lebih profesional, cepat dan bersih. Orang yang perlu menjalani saringan juga akan berasa lebih selesa dan mudah menerimanya," katanya.


Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak syarikat swasta atau badan korporat yang dapat bersama-sama membantu AADK dalam menangani penyalahgunaan dadah menerusi kaedah dan teknologi berkesan.


Katanya, syarikat swasta atau badan korporat dilihat mempunyai keupayaan, kemahiran dan sumber kepakaran teknologi yang boleh diguna pakai untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu menangani permasalahan dadah.