Selasa, 26 Januari 2021

Capai Hasrat Bertemu Rakan Setugas, Koperal Azmi Hidap Kanser Rahang Meninggal Dunia


Anggota polis yang berhasrat untuk menemui rakan sekerjanya selepas dia dilaporkan tenat akibat barah rahang mulut yang dihadapinya menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bertam Perdana, tengah hari tadi.


Berita kematian Koperal Azmi Kamarudin, 34, disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. Beliau berkata, Azmi dilaporkan meninggal dunia pada 12.18 tengah hari disebabkan penyakit yang dialaminya.


"Kami warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarganya termasuk isterinya, Koperal Noor Ifa Md Sukari atas pemergian suami tercinta.


"Syukur sebelum pemergiannya kami sempat merealisasikan hasratnya untuk bertemu rakan sekerja dan berharap semua ahli keluarganya tabah dengan ujian ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.



Difahamkan Koperal Azmi adalah bekas anggota yang pernah bertugas di Bahagian Stor Barang Kes Berpusat di Kepala Batas sebelum bertukar ke Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.


Isterinya, Koperal Noor Ifa Md Sukari, 36, berkata penyakit suaminya mulai dikesan sejak tiga tahun lalu. Menurutnya, sebelum ini dia menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).


Walau bagaimanapun, kesihatannya semakin merosot sejak Jumaat lalu dan selepas menerima rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB), mereka sekeluarga memilih untuk membawa pulang.


Kata Noor Ifa, dia hanya memaklumkan secara dalaman sahaja tentang hasrat suaminya ingin berjumpa rakan sejawat namun ia menjadi tular. Namun reaksi suami apabila menerima kunjungan rakan-rakannya menunjukkan bahawa dia sangat gembira dan mengenali semua yang datang melawatnya.


Jenazah Azmi telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Berpusat Masjid Abdullah Fahim, Permatang Langsat di sini, selepas solat Asar hari ini.


EmoticonEmoticon