Memaparkan catatan dengan label Purba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Purba. Papar semua catatan

Sabtu, 23 Oktober 2021

Rangka Tulang Dinosaur Terbesar Dijumpai Setakat Ini Dijual Lebih RM31 Juta

Rangka Tulang Dinosaur Terbesar Dijumpai Setakat Ini Dijual Lebih RM31 Juta


Rangka tulang dinosaur triceratops yang paling besar dijumpai di bumi setakat ini dilelong pada harga euro 6.6 juta (RM31.91 juta), kepada seorang pengumpul dari Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu.


Menerusi lapor laman berita The Guardian pada 21 Oktober 2021, harga itu termasuk yuran lelongan dan ia dilelong di Firma Lelongan Drouot, dan akan kembali ke AS iaitu negara yang menjadi tempat penemuan rangka tulang itu lebih sepuluh tahun lalu.


Rangka tulang dinosaur itu yang diberi gelaran 'Big John' ditemukan di South Dakota, AS pada tahun 2014 oleh seorang ahli paleontologi manakala tulang-tulangnya disusun di Itali.


Ahli paleontologi berkenaan menemui 60 peratus tulang dinosaur yang hidup 66 juta tahun lalu itu. Pengumpul di AS yang memenangi lelongan itu akan mendapat sebanyak 200 tulang termasuk tengkorak selebar 2 meter.



Pembelinya menewaskan 10 lagi pembida dengan tiga daripadanya bertindak menaikkan harga tawaran pada saat-saat akhir. Seorang ahli paleontologi yang memantau lelongan itu, Lacopo Briano berkata, dia tidak menyangka harga lelongan rangka dinosaur boleh mencecah setinggi itu.


Bagaimanapun, lelongan itu jauh lebih rendah berbanding harga rangka tulang dinosaur Tyrannosaurus rex yang dilelong pada harga AS$31.6 juta (RM131.39 juta) di New York pada bulan Oktober tahun lalu.


Rangka dinosaur yang paling sempurna setinggi 40 kaki yang diberi nama Tyrannosaurus rex dilelong pada harga RM131.39 juta.

Rangka tulang dinosaur triceratops yang dilelong lebih RM31 juta pada Khamis lalu.

Khamis, 23 September 2021

Ahli Arkeologi Menemukan Batu Pemberat Berusia 2,700 Tahun

Ahli Arkeologi Menemukan Batu Pemberat Berusia 2,700 Tahun


Sekumpulan ahli arkeologi menemukan batu pemberat berusia 2,700 tahun yang dipercayai digunakan untuk menipu timbangan dan sukatan dalam perniagaan pada era Baitulmuqaddis purba.


Menurut laporan Kompas.com pada 23 September 2021, batu pemberat itu ditemukan apabila pasukan ahli arkeologi melakukan kerja-kerja penggalian di bahagian utara Silwan, yang terletak di kawasan Kota Lama Yerusalem.


Terdapat dua calar pada batu pemberat yang bersaiz 14 milimeter (mm) diameter dan 12 mm panjang manakala beratnya kira-kira 0.944 gram.


Namun selepas dikaji, didapati berat batu itu 3.61 gram atau tiga kali ganda lebih berat berbanding simbol dua calar pada permukaan batu.


Dua ahli arkeologi, Eli Shukron dan Hagai Cohen Kolonimus dari Hebrew University of Jerusalem meneliti batu pemberat tersebut.


Mereka memutuskan bahawa batu pemberat itu digunakan untuk menipu atau menipu orang ketika berniaga. Pasukan ahli arkeologi juga menyifatkan batu pemberat itu sebagai penemuan yang sangat jarang berlaku.


Media Israel melaporkan setakat ini ahli arkeologi hanya pernah menemukan dua batu pemberat dari era Baitulmuqaddis purba.


Batu pemberat berusia 2,700 tahun ditemukan oleh ahli arkeologi. - Foto BBC Indonesia.

Selasa, 14 September 2021

Jumpa Artifak Berusia 5,000 Tahun Dalam Perut Buaya 'Raksasa'

Jumpa Artifak Berusia 5,000 Tahun Dalam Perut Buaya 'Raksasa'


Seorang pemburu buaya di Mississippi, Amerika Syarikat terkejut selepas menemukan artifak berusia 5,000 tahun dalam perut buaya 'raksasa' yang panjangnya mencecah 3.9 meter, lapor Daily Star pada 13 September 2021.


Shane Smith menemukan anak panah yang dikatakan digunakan suku kaum pribumi Amerika. Artifak itu ditemukan selepas membelah perut reptilia berkenaan. Haiwan itu dibawa rakan pemburunya, John Hamilton untuk dibedah dan diproses selepas ditangkap.


Pada mulanya, Shane menyangka haiwan itu memakan anak panah terlekat pada haiwan lain yang dimakan reptilia itu. Namun ahli geologi Mississippi percaya anak panah itu objek tunggal yang terjatuh di tanah sebelum dimakan haiwan berkenaan.


Ahli geologi juga berpendapat objek berkenaan berkemungkinan berusia 5,000 hingga 6,000 tahun. Penemuan mengejutkan itu dikongsi menerusi Facebook (FB) kilang pemprosesan Shane, Red Antler.



"Kami membelah buaya ini untuk melihat apa yang ada di dalam perutnya. Buaya yang dibawa John Hamilton hari ini memberi kejutan terbesar tahun ini," kata hantaran itu.


Pakar sejarah mengatakan anak panah itu digunakan masyarakat pribumi untuk menangkap ikan ketika zaman purba. Selain daripada artifak bersejarah itu, terdapat tulang ikan, rambut dan cecair berbau dalam perut reptilia berkenaan.


"Pada mulanya saya tidak mahu memuat naik di dalam FB kerana tiada siapa akan percaya. Bagaimanapun saya menukar fikiran kerana menganggap ia sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama masyarakat.


"Saya mungkin menjadi orang pertama di dunia yang menarik keluar anak panah dari dalam perut buaya," kata Shane kepada Mississippi Clarion Ledger.


Shane Smith bersama buaya yang ditangkapnya. - Foto Facebook John Hamilton.

Jumaat, 27 Ogos 2021

Saintis Mesir Temukan Fosil Ikan Paus Berkaki Empat Berusia 43 Juta Tahun

Saintis Mesir Temukan Fosil Ikan Paus Berkaki Empat Berusia 43 Juta Tahun


Para saintis memaklumkan pada Rabu lalu bahawa mereka telah menemukan fosil ikan paus berkaki empat berusia 43 juta tahun di Mesir, dipercayai spesies amfibia, lapor akhbar New York Post pada 26 Ogos 2021.


Penemuan itu menunjukkan fosil tersebut dari kumpulan paus yang sudah pupus ketika proses evolusi haiwan itu dari hidupan di darat ke laut. Fosil itu dianggarkan mempunyai badan sepanjang tiga meter dan berat 600 kilogram.


Ketua penyelidik Mesir dalam satu kenyataan berkata, penemuan baharu itu adalah milik Protoceditae iaitu sejenis ikan paus yang telah lama pupus dan berada di tengah-tengah peralihan itu.


Fosil haiwan unik tersebut ditemukan di celah batuan Eocene di kawasan yang dinamakan Fayum Depression di sebuah gurun barat Mesir yang sebelum ini dipercayai merupakan lautan.


Kawasan tersebut satu ketika dahulu pernah diliputi laut yang memberikan banyak penemuan berhubung evolusi ikan paus sebelum dikaji di Pusat Palentologi Vertebrata, Universiti Mansoura (MUVP).



Spesies paus juga dikatakan mungkin merupakan haiwan pemangsa teratas. Sebahagian rangkanya mendedahkan haiwan itu mungkin merupakan paus protocetid paling primitif yang diketahui dari Afrika.


"Phiomicetus anubis merupakan kunci kepada spesies ikan paus dan merupakan penemuan penting bagi paleontologi Mesir dan Afrika," kata penulis utama penemuan itu yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of The Royal Society B. Abdullah Gohar.


Nama paus itu diambil bersempena nama Fayum Depression manakala nama spesiesnya pula merujuk kepada Anubis yang merupakan seorang dewa Mesir yang dikaitkan dengan mumia dan kehidupan selepas mati.


Di sebalik penemuan fosil tersebut, evolusi paus di Afrika masih lagi misteri dan para saintis akan terus mengkaji bagaimana haiwan amfibia itu boleh bertukar sepenuhnya menjadi haiwan akuatik.


Mohamed Sameh Antar (kiri), Abdullah Gohar (tengah) dan Hesham Sallam menunjukkan fosil haiwan unik yang ditemui itu. - Foto Abdullah Gohar.

Gambar ilustrasi ikan paus berkaki empat itu yang hidup lebih 43 juta tahun lalu. - Foto Robert W. Boessenecker.

Ahad, 8 Ogos 2021

Kenderaan Membawa Mereka Yang Meninggal Dunia Ke 'Alam Akhirat' Milik Firaun Dialihkan Ke Muzium

Kenderaan Membawa Mereka Yang Meninggal Dunia Ke 'Alam Akhirat' Milik Firaun Dialihkan Ke Muzium


Mesir memindahkan kapal solar Firaun Khufu yang masih kekal utuh berusia sekitar 4,600 tahun. Kapal itu akan diletakkan di muzium terbesar di negara ini iaitu Muzium Grand Egyptian (GEM).


Menurut Lapor Daily Mail, kapal solar itu sebelum ini berada di sebuah lubang bersebelahan ruang perkuburan kerajaan Mesir kuno. Ia diletakkan di sana kerana kaum Firaun percaya bahawa kapal tersebut akan membawa mereka yang sudah meninggal dunia ke alam akhirat.


Piramid Besar Kaherah juga dikenali sebagai Piramid Cheops adalah yang terbesar dari tiga piramid di Giza yang menempatkan makam Khufu yang dimakamkan pada 2,566 sebelum Masihi.



Kapal itu 'ditugaskan' oleh Khufu yang merupakan seorang raja Dinasti Keempat yang memerintah semasa Kerajaan Kuno. Kapal solar itu merupakan satu kebanggaan kerana merupakan artifak organik terbesar dan tertua yang dihasilkan daripada kayu dalam sejarah manusia.


Kapal itu berukuran 42 meter panjang dan seberat 20 tan. Kapal itu ditemui pada 1954 di sudut selatan Piramid Besar dipamerkan selama beberapa dekad di muzium Giza Plateau.


Kapal yang sebelum ini diletak berhampiran Piramid Besar ini dibawa ke GEM dengan kawalan yang ketat dan menempuh 7.5 kilometer. Ia bakal menjadi salah satu barang pameran yang luar biasa apabila muzium itu dibuka kepada umum nanti.


Muzium GEM adalah muzium arkeologi yang menempatkan barang-barang antik paling perharga dalam penemuan sejarah Mesir. Ia dibina selama 17 tahun mengandungi lebih 100,000 artifak ketika dibuka.

Khamis, 8 Julai 2021

Misteri Kewujudan 'Mata Sahara' Dipercayai Berusia 100 Juta Tahun Yang Terletak Di Tengah Padang Pasir

Misteri Kewujudan 'Mata Sahara' Dipercayai Berusia 100 Juta Tahun Yang Terletak Di Tengah Padang Pasir


Gurun Sahara adalah destinasi paling terkenal di Afrika, tetapi adakah anda tahu ada fenomena misteri di sana? Kewujudan 'pusaran gergasi' yang kelihatan seperti mata lembu dan menonjol di gurun tersebut. Formasi geologi aneh itu terbentang di kawasan gurun seluas kira-kira 48 kilometer terletak di negara Mauritania, Afrika Barat.


Dikenali sebagai Mata Sahara (The Eye of Sahara) atau Richat Structure, pertama kali dikesan oleh para angkasawan ketika misi Gemini IV pada tahun 1965. Dalam misi itu, para angkasawan juga diminta untuk memgambil gambar beberapa sudut bumi.


Pada saat mengambil gambar di bahagian barat Sahara, satelit Landsat berjaya merakam imej jelas yang memaparkan bulatan 'gergasi' seakan 'mata'. Penemuan itu telah didedahkan kepada umum secara kiraan kasar mengenai ukuran, tinggi dan luasnya.


Penemuan bentuk misteri tersebut pastinya menimbulkan persoalan dan teori dalam kalangan penduduk di dunia sehingga ada yang mendakwa bahawa ia merupakan sebahagian dari kota Atlantis yang hilang. Bagaimanapun, beberapa ahli geologi menpunyai teori yang berlainan.



Salah satunya adalah, ahli geologi percaya bahawa bulatan yang digelar 'Mata Sahara' itu merupakan kawah hentaman asteroid dan letusan gunung berapi tetapi tidak ada bukti yang terarah pada kedua teori itu. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan pada batu yang terdapat di dalam struktur itu menunjukkan bahawa ia merupakan earth-based sepenuhnya iaitu terhasil daripada proses geologi.


Disebabkan itu, mereka juga telah membuat kesimpulan bahawa ia merupakan kubah geologi (geologic dome) yang mengandungi batuan yang berusia sekurang-kurangnya 100 juta tahun iaitu tidak lama sebelum munculnya kehidupan di bumi.


Batu-batuan ini termasuk endapan igneus (lapisan gunung berapi) serta lapisan sedimen. Beberapa tahun yang lalu pula, ahli geologi menemui beberapa jenis batuan beku di kawasan pembentukan mata itu termasuk yang dikenali sebagai kimberlite, carbonatites, basalt hitam dan rhyolites.



Batu-batu purba yang terdapat dalam kubah geologi itu telah memberikan sedikit maklumat kepada para penyelidik mengenai asal usulnya. Pembentukannya yang paling awal adalah bermula ketika Pangea (superbenua) mula terpisah.


Ketika Pangea pecah, perairan Lautan Atlantik mulai mengalir ke wilayah ini. Ia menyebabkan berlakunya tolakan dari dalam magma dan mantel bumi sehingga membentuk kubah berbatu dengan bulatan yang dikelilingi oleh lapisan batu pasir.


Keunikannya itu menjadi daya tarikan buat pelancong dan ahli geologi tetapi disebabkan ia berada di kawasan gurun yang kering dengan curahan hujan yang sedikit, ia tidak 'diancam' oleh manusia. Sehingga kini, ia dianggap sebagai misteri dan masih menjadi perdebatan ramai pihak dengan pelbagai teori.


Sabtu, 19 Jun 2021

Fosil badak gergasi yang lebih tinggi dari zirafah dengan berat empat kali gajah Afrika ditemui di China

Fosil badak gergasi yang lebih tinggi dari zirafah dengan berat empat kali gajah Afrika ditemui di China


Spesies baharu badak gergasi purba telah ditemui di bahagian barat laut China. Badak gergasi ini mungkin mamalia terbesar yang pernah tinggal di darat, dan merupakan salah satu yang terbesar dari jenisnya, kata para penyelidik.


Diberi nama Paraceratherium Linxiaense, badak ini dipercayai hidup kira-kira 26.5 juta tahun lalu dan seberat 21 tan atau setara dengan empat gajah Afrika. Haiwan tanpa tanduk ini mencapai ketinggian hingga tujuh meter, menjadikannya lebih tinggi dari zirafah.


Dalam sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Communication Biology pada khamis lalu, para penyelidik mengatakan bahawa analisis fosil yang ditemui di wilayah Wangjiachuan pada tahun 2015, menunjukkan bahawa itu adalah fosil spesies baharu.


Menurut penyelidikan yang diketuai oleh Dr Deng Tao dari Institut Paleontologi Vertebrata dan Paleoanthropologi di Beijing, mengatakan bahawa fosil itu ditemui dalam keadaan baik dan berbeza dari spesies badak lain.



"Fosil itu berbeza dari spesies badak gergasi yang telah diketahui sebelumnya. Tengkorak dan tulang rahang yang dijumpai dalam keadaan baik, menunjukkan bahawa haiwan itu memiliki tengkorak langsing, serta batang hidung yang serupa dengan tapir moden," katanya.


Menurutnya, pasukan penyelidik juga mendapati bahawa spesies baharu itu berkait rapat dengan badak gergasi yang pernah hidup di Pakistan. Ini sekaligus menunjukkan bahawa badak gergasi ini telah melakukan perjalanan melintasi Asia Tengah.


Sekiranya badak itu dapat berkeliaran bebas di antara barat laut China dan benua India-Pakistan, ini menunjukkan bahawa dataran tinggi Tibet kemungkinan memiliki beberapa kawasan rendah pada waktu itu.


"Keadaan tropis memungkinkan badak gergasi untuk kembali ke utara ke Asia Tengah, menyiratkan bahawa wilayah Tibet ketika itu mungkin terdapat kawasan rendah dan lama kelamaan berubah menjadi dataran tinggi seperti sekarang," kata Prof Deng dalam satu kenyataan.


Holotaip (HMV 2006) Paraceratherium Linxiaense yang terdiri daripada bahan tengkorak dan rahang. - Foto The Chinese Academy of Sciences.

Penyelidik menunjukkan salah satu bahagian rangka badak gergasi itu. - Foto Tao, D. Communications Biology.