Sabtu, 23 Oktober 2021

Rangka Tulang Dinosaur Terbesar Dijumpai Setakat Ini Dijual Lebih RM31 Juta


Rangka tulang dinosaur triceratops yang paling besar dijumpai di bumi setakat ini dilelong pada harga euro 6.6 juta (RM31.91 juta), kepada seorang pengumpul dari Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu.


Menerusi lapor laman berita The Guardian pada 21 Oktober 2021, harga itu termasuk yuran lelongan dan ia dilelong di Firma Lelongan Drouot, dan akan kembali ke AS iaitu negara yang menjadi tempat penemuan rangka tulang itu lebih sepuluh tahun lalu.


Rangka tulang dinosaur itu yang diberi gelaran 'Big John' ditemukan di South Dakota, AS pada tahun 2014 oleh seorang ahli paleontologi manakala tulang-tulangnya disusun di Itali.


Ahli paleontologi berkenaan menemui 60 peratus tulang dinosaur yang hidup 66 juta tahun lalu itu. Pengumpul di AS yang memenangi lelongan itu akan mendapat sebanyak 200 tulang termasuk tengkorak selebar 2 meter.



Pembelinya menewaskan 10 lagi pembida dengan tiga daripadanya bertindak menaikkan harga tawaran pada saat-saat akhir. Seorang ahli paleontologi yang memantau lelongan itu, Lacopo Briano berkata, dia tidak menyangka harga lelongan rangka dinosaur boleh mencecah setinggi itu.


Bagaimanapun, lelongan itu jauh lebih rendah berbanding harga rangka tulang dinosaur Tyrannosaurus rex yang dilelong pada harga AS$31.6 juta (RM131.39 juta) di New York pada bulan Oktober tahun lalu.


Rangka dinosaur yang paling sempurna setinggi 40 kaki yang diberi nama Tyrannosaurus rex dilelong pada harga RM131.39 juta.

Rangka tulang dinosaur triceratops yang dilelong lebih RM31 juta pada Khamis lalu.


EmoticonEmoticon