Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Sabtu, 26 Mac 2022

Suami terkorban akibat melecur teruk demi selamatkan isteri daripada kebakaran

Suami terkorban akibat melecur teruk demi selamatkan isteri daripada kebakaran


Pengorbanan seorang suami yang cuba melindungi isterinya ketika terperangkap dalam satu kebakaran pada 13 Mac lalu, meruntun hati apabila lelaki itu akhirnya meninggal dunia, lapor laman berita Mothership pada 25 Mac 2022.


Insiden di Nanjing dalam wilayah Jiangsu, China itu menyaksikan si suami nekad memegang lengan isteri yang tergantung di luar balkoni rumah mereka, di tingkat tiga blok kediaman sambil menahan bahang kebakaran yang menyambar dari dalam.


Wanita itu tidak dapat keluar dari bilik tidur apabila kebakaran berlaku dan dan cuba memanjat turun dari balkoni. Suaminya yang menyedari kejadian itu terus memaut lengan isterinya ketika wanita itu tergantung di luar balkoni.


"Kelihatan si suami pegang erat lengan isterinya di atas balkoni. Pasangan itu sedang menunggu anggota bomba tiba. Asap tebal kelihatan berkepul-kepul dari unit itu," kata seorang saksi.


Mangsa, Chen Chaochan dan isterinya, Wang Xueyu berjaya dibawa turun oleh anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian tidak lama selepas itu.


Bagaimanapaun, kebakaran itu menyebabkan saluran pernafasan lelaki itu rosak serta mengalami kesan lecur sehingga 98 peratus. Dia disahkan meninggal dunia pada 22 Mac selepas sembilan hari dirawat di hospital.


Isterinya mengalami kesan lecur sebanyak 96 peratus, namun berjaya diselamatkan menerusi pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil. Keluarga Xueyu masih belum memaklumkan kepada wanita itu mengenai kematian suaminya dan mahu menunggu sehingga keadaannya lebih baik.


Menurut saksi, pasangan ini telah berkahwin lebih sedekad dan mempunyai tiga anak yang dibesarkan di kampung oleh ibu bapa Chaochan. Mereka menyewa bilik di flat tersebut namun hanya kediaman pasangan itu yang terbakar dalam nahas tersebut.


Keluarga mangsa berjaya mengumpul AS$157,000 (RM662,147) melalui platform dana khalayak atau crowdfunding, Shuidichou untuk membantu menampung bil perubatan mereka.


Antara gambar yang sempat dirakam saksi ketika kejadian. - Foto Mothership.

Sabtu, 12 Mac 2022

India secara tidak sengaja tembak peluru berpandu ke Pakistan

India secara tidak sengaja tembak peluru berpandu ke Pakistan


India pada Jumaat, 10 Mac 2022, mendakwa tersilap menembak peluru berpandu ke Pakistan, kerana 'kerosakan teknikal' ketika penyenggaraan rutin, lapor BBC News pada 11 Mac 2022.


India mengemukakan alasan itu selepas Pakistan, yang juga seteru lamanya, memberi amaran perbuatan seumpama itu berpotensi mengundang kesan yang amat serius.


Kementerian Pertahanan India, dalam satu kenyataan, berkata pada 9 Mac 2022, ketika sesi penyenggaraan rutin, kerosakan teknikal menyebabkan kesilapan melancarkan sebuah peluru berpandu.


"Difahamkan, peluru berpandu berkenaan jatuh berhampiran bandar timur Mian Channu di Pakistan tetapi tidak berlaku sebarang kehilangan nyawa, namun kesilapan itu amat dikesali.


"Kerajaan India memandang serius kemalangan ini dan sudah mengarahkan Inkuiri Mahkamah peringkat tertinggi bagi menyiasat isu terbabit," katanya.


Tentera udara Pakistan berkata, peluru berpandu itu bergerak pada kelajuan Mach 3 (tiga kali ganda kelajuan bunyi) pada ketinggian 12,000 meter dan terbang sejauh 124 kilometer di ruang udara Pakistan sebelum terhempas.


"Laluan penerbangan objek ini membahayakan banyak penerbangan penumpang nasional dan antarabangsa di ruang udara India dan Pakistan, serta nyawa manusia dan harta tanah," kata jurucakap tentera Pakistan Mejar Jeneral Babar Iftikharon, pada Khamis lalu.


Pada hari Jumaat, kementerian luar Pakistan berkata ia telah memanggil pihak berkuasa India untuk mengadu mengenai insiden itu. Pakistan juga menggesa India untuk berkongsi hasil siasatannya terhadap apa yang berlaku.


Terdahulu, kerajaan Pakistan memanggil wakil Kedutaan India di Islamabad untuk menyampaikan bantahan terhadap 'tindakan tanpa provakasi' dan pencabulan ruang udara.


India dan Pakistan sudah tiga kali berperang sebelum ini, terkini pada 2019 yang menyaksikan tentera kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear itu bertempur.


Peluru berpandu Akash buatan India dipamerkan ketika perarakan sambutan Hari Republik Ke-73 di Rajpath, New Delhi. - Foto AFP.

Serpihan daripada peluru berpandu berkenaan ditemukan dekat Mian Channu, Pakistan. - Foto Reuters.

Sabtu, 5 Mac 2022

Kapal kargo Felicity Ace yang membawa ribuan kereta mewah akhirnya karam

Kapal kargo Felicity Ace yang membawa ribuan kereta mewah akhirnya karam


Sebuah kapal kargo Felicity Ace yang membawa ribuan kereta mewah dan terbakar lebih seminggu lalu akhirnya karam di tengah lautan Atlantik, lapor akhbar Daily Mail, semalam.


Menurut tentera laut Portugal, Felicity Ace yang dalam perjalanan ke Amerika Syarikat (AS), karam kira-kira 402.3 kilometer (km) dari Kepulauan Azores di Portugal ketika ia ditunda.


Lapor Daily Mail, Pengurus Felicity Ace memaklumkan kapal sepanjang 198.12 meter itu berada pada kedudukan sisi kanan sebelum karam. Menurut Tentera Laut Portugal, kejadian itu berlaku di luar perairan negaranya.


Sebelum ini, sebuah helikopter milik Tentera Udara Portugal berjaya memindahkan 22 anak kapal ketika kebakaran berlaku yang menyebabkan kapal itu hanyut - ia terbakar sejak minggu lalu, di tengah Lautan Atlantik.



Bot tunda yang membawa peralatan pemadam api berusaha memadamkan kebakaran pada kapal tersebut, namun berdepan kesukaran susulan angin kencang dan laut bergelora.


Felicity Ace mampu membawa muatan kargo melebihi 17,000 metrik tan dan kebiasaannya digunakan untuk mengangkut ribuan kenderaan.


Bloomberg yang memetik sumber Volkswagen di AS melaporkan, kapal itu membawa sebanyak 3,965 kenderaan keluaran syarikat tersebut, selain Porsche, Audi dan Lamborghini.


Portal The Drive pula memaklumkan, Felicity Ace turut membawa 189 kenderaan keluaran Bentley yang dianggarkan bernilai AS$30 juta (RM126 juta). Kumpulan Volkswagen dalam satu kenyataan memberitahu, kapal tersebut dalam perjalanan ke AS.


Felicity Ace karam kira-kira 402.3 kilometer (km) dari Kepulauan Azores di Portugal. - Foto tentera laut Portugal.

Rabu, 2 Mac 2022

Lori membawa muatan telur terbalik 'dirempuh' Perodua Myvi

Lori membawa muatan telur terbalik 'dirempuh' Perodua Myvi


TAPAH - Seorang wanita mengalami kecederaan parah selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lori yang sarat membawa muatan telur ayam di Kilometer 62, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini hari ini.


Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.50 pagi, selepas lori telur dipandu lelaki berusia 36 tahun dilanggar dari arah bertentangan oleh sebuah kereta Perodua Myvi.


Katanya, kejadian itu turut menyebabkan kereta Proton Saga BLM yang dipandu seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), yang berada di belakang lori tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan berat tersebut.


"Nahas berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu wanita berusia 21 tahun yang datang dari arah bertentangan masuk laluan lori tersebut sebelum melanggarnya.


"Sebuah kereta Proton Saga BLM yang tidak sempat mengelak kemudiannya terlanggar bahagian belakang lori tersebut dan pemandu Perodua Myvi berusia 21 tahun cedera di pinggang dan kepala," katanya.


Menurut beliau, pemandu lori dan Proton Saga BLM tidak cedera manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.


Menurut Wan Azharuddin, akibat kemalangan itu Perodua Myvi dipandu wanita berusia 21 itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan, manakala lori berkenaan juga mengalami kerosakan pada bahagian sama termasuk muatan yang turut rosak.


Kereta Proton Saga tersebut turut mengalami kerosakan pada bahagian bampar dan bonet sebelah kiri. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Kenderaan Perodua Myvi yang dinaiki mangsa rosak teruk pada bahagian hadapan dalam kejadian kemalangan KM62 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini pada Rabu.


Keadaan lori muatan telur ayam yang terbalik setelah terlibat kemalangan di Kilometer 62, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Tapah, Perak, hari ini.

Ahad, 6 Februari 2022

Wanita maut terbelit rambut sendiri ketika hadiri temuduga kerja di sebuah kilang kimpalan

Wanita maut terbelit rambut sendiri ketika hadiri temuduga kerja di sebuah kilang kimpalan


Seorang wanita yang mengandung tujuh minggu maut akibat terbelit rambut sendiri selepas rambutnya tersangkut di sebuah mesin di kilang Svarmet di Borisov, Belarus.


Memetik lapor akhbar Daily Mail pada 3 Februari 2022, Umida Nazarova, 21, dibawa mengelilingi kilang tersebut ketika menghadiri temuduga kerja di kilang yang mengeluarkan produk berkaitan wayar kimpalan dan elektrod.


Semasa lawatan itu, rambutnya yang panjang tiba-tiba terperangkap dalam mesin dan melilit lehernya sebelum mangsa terperangkap dan berlumuran darah selepas kulit kepalanya tercabut.



Ibu mangsa, Olga berkata, bahagian leher anaknya turut mengalami kecederaan akibat lilitan rambut tersebut.


"Dia mengalami kecederaan parah susulan kejadian itu. Saya sedih kerana kilang tersebut melanggar peraturan keselamatan sehingga meragut nyawa anak saya.


"Mereka nampak Umida mempunyai rambut panjang, kenapa tidak diberikan sebarang penutup untuk melindungi kepalanya?" soalnya.


Mangsa yang mengalami kecederaan serius tidak pernah sedarkan diri selama mendapatkan rawatan di hospital sebelum disahkan meninggal dunia 20 hari kemudian.


Mahkamah menjatuhkan hukuman kepada ketua kilang pengeluaran tersebut kerana gagal menunaikan tanggungjawab keselamatan selain tidak bersikap jujur dan cuai sehingga menyebabkan kematian seseorang. - Sumber Daily Mail.


Umida Nazarova mengalami kecederaan parah di kepala selepas rambutnya tersangkut di mesin kilang di Belarus. - Foto EAST2WEST NEWS.

Olga berkata anak perempuannya tidak sabar untuk bersalin. - Foto EAST2WEST NEWS.

Khamis, 3 Februari 2022

Lelaki sering sakit kepala selama 20 tahun, rupanya sebutir peluru tertanam dalam tengkorak

Lelaki sering sakit kepala selama 20 tahun, rupanya sebutir peluru tertanam dalam tengkorak


Seorang lelaki di China mengalami sakit kepala yang teruk sejak kebelakangan ini terkejut, apabila mengetahui sebutir peluru tertanam di bahagian kiri tengkoraknya selama kira-kira dua dekad, lapor Oddity Central pada 1 Februari 2022.


Xiao Chen, yang berusia 28 tahun dari Shenzen, sering mengalami sakit kepala, namun baru-baru ini sakit kepalanya semakin kerap dan teruk.


Pada mulanya, Chen beranggapan bahawa kesakitan itu disebabkan waktu tidurnya yang tidak cukup kerana dia sibuk bekerja. Namun, keadaan menjadi sangat teruk sehingga dia memutuskan untuk pergi ke hospital.


Ketika melakukan imbasan, doktor di Hospital Umum Universiti Shenzen menemukan objek pelik pada bahagian kiri tengkorak lelaki tersebut. Pemeriksaan teliti mendapati objek itu sebenarnya adalah peluru logam dan terus bertanya kepada Chen bagaimana peluru boleh tertanam dalam kepalanya.


Menariknya, Chen teringat bahawa ketika dia berusia kira-kira 8 tahun, dia dan abangnya bermain dengan pistol angin di rumah mereka sebelum mereka tertarik picunya, dan peluru mengenai bahagian kepala Chen.


Takut dimarahi ibu bapa, Chen dan abangnya merahsiakan insiden itu, dan luka itu ditutup dengan rambutnya. Selain itu, luka yang dialaminya juga tidak serius, selain tidak sakit, sekali gus tidak menyedari peluru tertanam dalam kepalanya.


Chen kemudiannya menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru yang berukuran kira-kira 1 cm panjang dan kira-kira 0.5 cm diameter itu, dan kini kesihatannya semakin pulih.


Pemeriksaan lebih dekat mendedahkan objek kecil itu adalah peluru logam. - Foto Oddity Central.

Rabu, 8 Disember 2021

Pemandu Kereta Khayal Dadah Rempuh Remaja Hingga Melambung Atas Bumbung Direman 4 Hari

Pemandu Kereta Khayal Dadah Rempuh Remaja Hingga Melambung Atas Bumbung Direman 4 Hari


Seorang lelaki direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan, melibatkan remaja berusia 19 tahun yang terpelanting dan melambung ke atas bumbung sebuah bengkel di Jalan Permatang Piah-Kampung Kolam, Pak Badol, Bachok, semalam.


Perintah reman terhadap suspek yang berusia 36 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi di Mahkamah Majistret Bachok, hari ini. Tahanan reman sehingga Sabtu ini ditetapkan terhadap suspek.


Ia bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.


Kejadian pada pukul 11.45 pagi semalam itu menyebabkan mangsa, Wan Mohamad Sabaruddin Wan Zakaria, patah paha kiri dan tangan kiri selepas motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta.



Siasatan awal mendapati, kereta jenis Honda Civic yang dipandu lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai cuba memotong sebuah kereta jenis Perodua Kancil sebelum merempuh motosikal mangsa yang berada di laluan bertentangan.


Insiden itu menyebabkan mangsa melambung ke atas bumbung sebuah bengkel di sebelah kiri jalan sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk menerima rawatan.


"Pemeriksaan pada tubuh badan lelaki itu turut menemui dadah dipercayai heroin seberat tiga gram dan 102 biji pil kuda bernilai RM3,020.


"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod kes dadah," kata ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, semalam.


Pemandu kereta Honda Civic (tengah) yang merempuh remaja hingga parah dibawa ke Mahkamah Majistret Bachok hari ini untuk prosiding mendapatkan perintah reman.