Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Selasa, 20 Julai 2021

Ajal ketika mahu swafoto, wanita terjatuh di air terjun

Ajal ketika mahu swafoto, wanita terjatuh di air terjun


Seorang influencer (Bintang Instagram) media sosial, maut selepas terjatuh di air terjun di hadapan rakan-rakannya ketika cuba mengambil swafoto untuk dikongsi dengan 6,000 pengikut Instagramnya.


Daily Star melaporkan, Sofia Cheung, 32, jatuh dari ketinggian 4.68 meter di air terjun Tsing Dai berhampiran Yuen Long, Hong Kong, pada hari Sabtu minggu lalu (10 Julai 2021).


Dia menghabiskan masa bersama tiga rakannya di Taman Ha Pak Lai, sebelum tragedi itu berlaku. Dalam akaun Instagram Sofia dipenuhi aktiviti mendaki, berkayak, menjelajah, aktiviti luar, dan fotografi. Gambar dia naik ke puncak air terjun itu untuk mengambil foto turut dikongsinya.


Bagaimanapun, dia dikatakan kehilangan keseimbangan dan jatuh ke dalam air. Rakannya segera memanggil pasukan kecemasan, dan paramedik membawa Sofia ke sebuah hospital di Hong Kong.



Tetapi, dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital. Akaun Instagramnya menyatakan, 'hidup semestinya tidak menyenangkan' dan dipenuhi dengan gambar dia menikmati masa-masa lalunya.


Foto terakhir yang dikongsi dari akaunnya dengan 6,314 pengikutnya pada 9 Julai dan sejak itu dibanjiri dengan mesej takziah.


"Saya fikir hari-hari yang lebih baik akan datang. Saya akan merindui perbualan anda setiap hari. Saya selalu mencintaimu. Berehatlah dengan tenang Sofia yang cantik," tulis seorang pengikut yang patah hati.


Puluhan yang lain menyertakan ucapan 'RIP' (Rest In Peace) dengan banyak emoji untuk mengingati individu yang berusia 32 tahun itu.


Antara foto aksi Sofia Cheung, sebelum ini. - Foto Agensi.

Selasa, 13 Julai 2021

Anggota tentera jatuh tembusi bumbung rumah selepas payung terjun gagal dibuka

Anggota tentera jatuh tembusi bumbung rumah selepas payung terjun gagal dibuka


Seorang anggota tentera Britain jatuh menghempap bumbung dapur sebuah kediaman apabila payung terjunnya gagal terbuka sepenuhnya dalam satu latihan tentera, lapor akhbar The Sun pada 11 Julai 2021, kelmarin.


Lelaki itu terjun dari sebuah pesawat pada ketinggian lebih 15,000 kaki dalam terjunan dipanggil sebagai 'Halo' yang dilakukan oleh unit komando Perkhidmatan Khas Udara (SAS) dan Perkhidmatan Khas Bot (SBS) untuk masuk ke kawasan musuh.


Payung terjun tentera itu bagaimanapun gagal terbuka sepenuhnya. Impak insiden tersebut menyebabkan bumbung kediaman jenis banglo yang terletak di pinggir bandar Atascadero itu berlubang.


Anggota tentera yang memakai seragam Unit Tindakan Khas Britain itu kemudian jatuh ke lantai dapur, manakala payung terjunnya tersangkut di atas bumbung rumah terbabit.



Pemilik kediaman tiada di rumah semasa kejadian kira-kira pukul 4.55 petang (waktu tempatan) kelmarin. Kemalangan itu menyebabkan anggota tentera tersebut mengalami pendarahan pergelangan kaki.


"Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sedar namun terkejut selain mengadu sakit badan. Tiada kecederaan serius lain dilaporkan. Dia kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan," kata polis.


Polis berkata, kesemua anggota tentera yang mengambil bahagian dalam latihan tersebut berjaya mendarat dengan selamat di tapak pendaratan.


Anggota tentera yang tidak dinamakan itu merempuh bumbung sebuah kediaman sebelum terjatuh ke bahagian dapur. - Foto The Sun.

Isnin, 5 Julai 2021

Nilai Pampasan RM2.3 bilion, Kapal Halang Terusan Suez Dilepaskan 7 Julai

Nilai Pampasan RM2.3 bilion, Kapal Halang Terusan Suez Dilepaskan 7 Julai


KAHERAH - Kapal kargo gergasi berukuran 400 meter panjang dan 59 meter lebar Ever Given yang ditahan pihak berkuasa Mesir kerana menghalang Terusan Suez Mac lalu akan dilepaskan Rabu ini, menurut pihak berkuasa terusan.


Lembaga Terusan Suez semalam berkata majlis akan diadakan pada hari sama bagi menandakan perjanjian antara pemilik kapal dan pelepasan kapal berkenaan.


Mesir menahan kapal milik syarikat Jepun, Shoei Kisen Kaisha dan menuntut pampasan ganti rugi hasil terusan serta kos pelepasan dan kerosakan laluan air yang menghubungkan Asia dan Eropah.


Kapal seberat 200,000 tan tersekat secara melintang ketika ribut pasir pada 23 Mac lalu dan memerlukan usaha besar-besaran selama enam hari untuk melepaskannya.


Menurut syarikat data maritim Lloyd's List, kejadian itu menyebabkan kerugian kira-kira AS$9.6 bilion (RM39.64 bilion) sehari berikutan laluan kapal antara Asia dan Eropah itu terhalang.


Selama beratus tahun Terusan Suez telah menjadi salah satu daripada sumber pendapatan utama dalam mata wang asing untuk kerajaan Mesir. Secara purata, 50 kapal melalui Terusan Suez setiap hari.


Bayaran tol yang dikenakan untuk melalui Terusan Suez bergantung kepada jenis dan saiz kapal selain berat kargo. Kebiasaannya bayaran tol boleh melebihi AS$100,000 (RM414,650).


Susulan insiden itu, Mesir kehilangan pendapatan harian antara AS$12 juta (RM49.55 juta) dan AS$15 juta (RM61.95 juta) sepanjang tempoh berkenaan, menurut pihak berkuasa terusan. Kerja-kerja mengapungkan kapal berkenaan juga mengakibatkan kerosakan teruk terhadap terusan itu.


Minggu lalu, Ketua Lembaga Terusan Suez, Osama Rabie dilaporkan berkata Mesir menandatangani perjanjian dengan pemilik Ever Given sekali gus memuktamadkan nilai pampasan. Mesir mengurangkan tuntutan daripada AS$900 juta (RM3.7 bilion) kepada AS$550 juta (RM2.3 bilion).

Ahad, 4 Julai 2021

45 Terbunuh, Pesawat Tentera Filipina Membawa Lebih 100 Penumpang Terhempas

45 Terbunuh, Pesawat Tentera Filipina Membawa Lebih 100 Penumpang Terhempas


Setakat ini, seramai 45 orang dilaporkan terbunuh selepas pesawat tentera yang membawa lebih 100 penumpang terhempas di selatan Filipina hari ini.


Menteri Pertahanan, Delfin Lorenzana, dalam satu kenyataan, berkata setakat ini, 45 mayat ditemui dan 40 mangsa berjaya dibawa keluar dari bangkai pesawat pengangkut Lockheed C-130 yang terbakar.


Jurucakap tentera, Cirilito Sobejana, berkata, pesawat malang itu terbabas dari landasan dan gagal mengawal keadaan sebelum terhempas di sebuah perkampungan pergunungan di kota Patikul di wilayah Sulu.


"Pesawat itu membawa pasukan tentera dari Cagayan de Oro City di Mindanao apabila terhempas sekitar jam 11:30 pagi, waktu tempatan di Patikul, Sulu.


"Kita sudah mengeluarkan 45 mayat dan berjaya menyelamatkan 40 penumpang setakat ini. Pasukan keselamatan kini berada di lokasi kejadian dan kami berharap dapat selamatkan lebih ramai mangsa," katanya.


Setiausaha Kementerian Pertahanan, Delfin Lorenzana berkata, angka kematian boleh meningkat dalam tempoh terdekat.


Pesawat C-130 digunakan untuk mengangkut pasukan tentera dan bekalan. Pesawat itu juga digunakan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana.


Kebanyakan penumpang dalam pesawat itu adalah pelajar akademi penerbangan yang sudah tamat pengajian dan akan ditempatkan di Jolo untuk membantu tentera Filipina menangani kegiatan pengganas.


Pasukan kerajaan Filipina sudah beberapa dekad berperang dengan kumpulan militan Abu Sayyaf yang menguasai sebahagian besar wilayah Sulu.


Pesawat tentera yang membawa lebih 100 penumpang terhempas di Filipina hari ini. - Foto Twitter.

Gambar fail menunjukkan pesawat pengangkut Lockheed C-130. - Foto Agensi.

Rabu, 23 Jun 2021

Tayar Lori Pecah, Durian Bertaburan Atas Lebuh Raya

Tayar Lori Pecah, Durian Bertaburan Atas Lebuh Raya


Sebuah lori dengan muatan kira-kira satu tan durian yang sedang menuju ke Kuala Lumpur dari Segamat, Johor terbalik di Kilometer 279.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran Nilai, Seremban.


Kejadian itu berlaku tengah hari tadi - menyebabkan durian bertaburan di lebuh raya, dipercayai berpunca apabila sebuah tayar lori itu pecah mengakibatkan ia terbabas dan terbalik.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kejadian berlaku pada jam 1.55 tengah hari apabila lori membawa muatan durian itu terbabas dan terbalik.


Katanya, kejadian berlaku lebih kurang tujuh kilometer dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.


"Kemalangan berlaku apabila sebuah lori muatan durian dipandu lelaki berumur 25 tahun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Segamat hilang kawalan dipercayai tayar belakang sebelah kiri pecah.


"Lori berkenaan terbabas dan terbalik di lorong kiri. Pemandu lori dan kelindan masing-masing berumur 25 dan 52 tahun mengalami kecederaan ringan. Muatan durian yang dibawa bertaburan di lebuh raya," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat Unit Siasatan Lebuhraya Bukit Aman di bawah Rule 10 LN 166/59.


Keadaan durian yang berselerakan di lebuhraya selepas terbabit dalam kemalangan gara-gara tayar lorinya pecah.

Keadaan durian yang berselerakan di lebuhraya selepas terbabit dalam kemalangan gara-gara tayar lorinya pecah.

Lori membawa muatan durian terbalik di Kilometer 279.9 Lebuhraya Plus dekat Nilai, tengah hari tadi.

Lori membawa muatan durian terbalik di Kilometer 279.9 Lebuhraya Plus dekat Nilai, tengah hari tadi.

Isnin, 31 Mei 2021

Kerana Buat Cabaran TikTok, Remaja Perempuan Terbakar Satu Badan Melecur Tahap Tiga

Kerana Buat Cabaran TikTok, Remaja Perempuan Terbakar Satu Badan Melecur Tahap Tiga


Seorang gadis berusia 13 tahun berada di hospital selama lebih dari dua minggu setelah mengalami luka terbakar tahap tiga, dan hilang keupayaan untuk menggunakan tangannya selepas meniru video yang dilihatnya dalam aplikasi TikTok.


Destini Crane, dari Portland, Oregon, dipercayai membawa lilin, pemetip api dan sebotol alkohol ke dalam bilik air untuk cuba melukis bentuk pada cermin sebelum menyalakannya dengan api. Namun, percubaannya gagal apabila ibu Destini, Kimberly terdengar anak gadisnya menjerit di dalam tandas.


"Saya di ruang tamu bercakap dengan ibu saya, tiba-tiba kami mendengar dia menjerit nama saya, jadi saya pergi dan membuka pintu bilik mandi dan semuanya terbakar. Destini terbakar, kesemua barang yang ada disitu turut terbakar.


"Ketika saya mengambil telefon Destini, TikTok masih merakam video, saya kemudian membawa Destini ke luar dan menarik bajunya yang terbakar, seorang jiran telah menelefon 911," kata Kimberly Crane.


Kimberly mendapati alkohol tersebut tumpah memenuhi tandas rumahnya dan api menjulang tinggi, menyebakan anak gadisnya melecur teruk. Gadis itu kemudiannya dikejarkan ke hospital dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sejak 13 Mei hingga kini.


Gadis itu melecur pada bahagian leher, tangan kanan dan perlu menjalani pembedahan kulit. Menurut kakaknya, Andrea Crane, Destini mungkin memerlukan beberapa bulan lagi untuk pulih, termasuk perlu menjalani rawatan fisioterapi penggunaan lengan dan pergerakan di leher, bahu dan jari. Sumber: ABC News


Destini Crane dalam foto yang tidak bertarikh.

Isnin, 24 Mei 2021

Beratus cedera, dua tren LRT bertembung di laluan Kelana Jaya

Beratus cedera, dua tren LRT bertembung di laluan Kelana Jaya


Beratus penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya cedera dalam insiden membabitkan dua tren, hari ini. Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 9 malam ketika tren itu dalam perjalanan antara Kampung Baru dan KLCC.


Satu daripada tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terbabit dalam perlanggaran bersama sebuah lagi tren LRT, dipercayai membawa 213 penumpang. Tren berkenaan dalam perjalanan dari Gombak, dilaporkan bertembung dengan tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang dan dipercayai mengalami masalah teknikal.


Setakat jam 10 malam ini, difahamkan sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 orang mengalami luka ringan. Mangsa kemalangan LRT sedang dibawa keluar.


Pengurus Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Prasarana, Azhar Ghazali, mengesahkan kemalangan itu membabitkan perkhidmatan tren LRT bernombor 40 dan 81.


"Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.


"Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan dan pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Media sosial sekitar jam 9 malam tadi gempar apabila beberapa keping gambar muncul menunjukkan sebilangan penumpang LRT cedera di dalam pengangkutan itu.


Beberapa penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya cedera dalam insiden membabitkan dua tren, Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 9 malam ketika tren itu dalam perjalanan antara Kampung Baru dan KLCC.