Selasa, 13 Julai 2021

Anggota tentera jatuh tembusi bumbung rumah selepas payung terjun gagal dibuka


Seorang anggota tentera Britain jatuh menghempap bumbung dapur sebuah kediaman apabila payung terjunnya gagal terbuka sepenuhnya dalam satu latihan tentera, lapor akhbar The Sun pada 11 Julai 2021, kelmarin.


Lelaki itu terjun dari sebuah pesawat pada ketinggian lebih 15,000 kaki dalam terjunan dipanggil sebagai 'Halo' yang dilakukan oleh unit komando Perkhidmatan Khas Udara (SAS) dan Perkhidmatan Khas Bot (SBS) untuk masuk ke kawasan musuh.


Payung terjun tentera itu bagaimanapun gagal terbuka sepenuhnya. Impak insiden tersebut menyebabkan bumbung kediaman jenis banglo yang terletak di pinggir bandar Atascadero itu berlubang.


Anggota tentera yang memakai seragam Unit Tindakan Khas Britain itu kemudian jatuh ke lantai dapur, manakala payung terjunnya tersangkut di atas bumbung rumah terbabit.



Pemilik kediaman tiada di rumah semasa kejadian kira-kira pukul 4.55 petang (waktu tempatan) kelmarin. Kemalangan itu menyebabkan anggota tentera tersebut mengalami pendarahan pergelangan kaki.


"Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sedar namun terkejut selain mengadu sakit badan. Tiada kecederaan serius lain dilaporkan. Dia kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan," kata polis.


Polis berkata, kesemua anggota tentera yang mengambil bahagian dalam latihan tersebut berjaya mendarat dengan selamat di tapak pendaratan.


Anggota tentera yang tidak dinamakan itu merempuh bumbung sebuah kediaman sebelum terjatuh ke bahagian dapur. - Foto The Sun.


EmoticonEmoticon