Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Isnin, 24 Mei 2021

Kecewa pelaburan gagal, lelaki rempuh sekumpulan pejalan kaki mengakibatkan 5 maut

Kecewa pelaburan gagal, lelaki rempuh sekumpulan pejalan kaki mengakibatkan 5 maut


Sekumpulan pejalan kaki yang sedang melintas jalan dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju mengakibatkan lima daripadanya maut dalam kejadian di bandar Dalian, China pada Sabtu lalu.


Suspek lelaki berusia 32 tahun yang cuba melarikan diri selepas pelanggaran itu bagaimanapun berjaya ditahan, lapor SCMP. Siasatan awal polis mendapati suspek yang hanya dikenali sebagai Liu bertindak demikian kerana kecewa pelaburannya gagal dan ingin "membalas dendam terhadap masyarakat".


Rakaman CCTV dan telefon bimbit kejadian yang kini tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta sedan hitam memecut ke arah sekumpulan pejalan kaki ketika mereka melintas jalan.


Menurut kenyataan polis, Liu, yang bekerja sebagai pendandan rambut, telah melanggar lampu merah dan memecut dengan kelajuan 108 kilometer sejam dalam tujuh saat sebelum merempuh kumpulan pejalan kaki itu.


Setelah merempuh pejalan kaki, Liu melarikan diri di dalam keretanya sebelum bertembung dengan van di sebuah persimpangan. Dia kemudian meninggalkan kenderaan itu dan cuba melarikan diri dengan berjalan kaki, tetapi berjaya ditangkap polis kira-kira jam 1 tengah hari.


"Suspek tidak dapat menerima kegagalan pelaburan peribadinya dan kehilangan kepercayaan dalam hidup, jadi dia membalas dendam kepada masyarakat," kata jurucakap polis.


Empat mangsa mati di tempat kejadian dan mangsa kelima meninggal dunia tidak lama kemudian di hospital. Lima yang lain cedera dalam kejadian itu, kata polis.


Wakil ketua polis Dalian, Qu Bo pada Ahad berkata suspek telah ditahan atas tuduhan "membahayakan keselamatan awam". Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dihukum mati.


Rakaman CCTV kejadian menunjukkan kereta sedan hitam itu memecut ke arah sekumpulan pejalan kaki ketika mereka melintas jalan. -Video tular

Ahad, 23 Mei 2021

20 peserta larian maut, cuaca ekstrem tiba-tiba melanda

20 peserta larian maut, cuaca ekstrem tiba-tiba melanda

Yellow River Stone Forest.


Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan seorang lagi hilang selepas hujan ais dan angin kencang melanda Yellow River Stone Forest, bandar Baiyin, barat laut Gangsu, pagi tadi.


Menurut agensi berita Xinhua, cuaca buruk melanda ketika peserta mengambil bahagian dalam acara larian 100 kilometer (km) merentas pergunungan berdekatan.


"Cuaca ekstrem melanda daerah itu ketika perlumbaan diadakan di Hutan Yellow River Stone berhampiran Bandar Baiyin di wilayah barat laut Gansu, kata Xinhua, sambil menambah lebih 700 penyelamat dikerahkan untuk mencari peserta yang hilang.


"Menurut ibu pejabat pasukan penyelamat, sekitar jam 1 pagi semalam, hujan batu dan angin kencang melanda kawasan pentas perlumbaan pada ketinggian antara 20 hingga 31 kilometer," lapor agensi itu.


Menurut laporan itu, suhu di pergunungan itu semakin menurun ketika tengah malam menyebabkan misi mencari dan menyelamat semakin sukar.


"Seramai 172 peserta mengambil bahagian dalam acara larian itu. Peserta mengalami ketidakselesaan fizikal dan tiba-tiba kehilangan suhu badan kerana penyusutan suhu udara," lapor agensi itu.


Yellow River Stone Forest terkenal dengan pemandangan indah batuannya yang dipercayai berusia lebih empat juta tahun dan sering dijadikan lokasi penggambaran filem dan televisyen, menurut China Daily.


Gansu, satu daripada wilayah termiskin di China, bersempadan dengan Mongolia di utara dan Xinjiang di barat. Kejadian banjir dan tanah runtuh yang dahsyat pernah melanda wilayah itu sebelum ini dengan tanah runtuh mengorbankan lebih 1,000 orang di satu bandar pada tahun 2010.


Pasukan penyelamat melakukan operasi dan menyelamat mangsa.


Sabtu, 22 Mei 2021

Lelaki bertindak 'pelik' bersenam lalu memanjat tembok sebelum jatuh

Lelaki bertindak 'pelik' bersenam lalu memanjat tembok sebelum jatuh


Lelaki bertindak 'pelik' apabila tiba-tiba bersenam lalu memanjat tembok sebelum jatuh dari tingkat 12 di flat di Jalan Loke Yew di Kuala Lumpur, hari ini.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki mahu terjun dari tingkat atas blok berkenaan pada 2.08 petang.


"Siasatan awal dilakukan mendapati lelaki berusia 37 tahun berkenaan dilihat berlegar-legar di tingkat 12 blok berkenaan pada 1.50 tengah hari.


"Sebelum kejadian itu, terdapat seorang saksi menegur lelaki terbabit dan dia hanya tersenyum dan tiba-tiba bersenam lalu memanjat tembok.


"Beberapa orang awam yang berada di lokasi cuba memujuk lelaki berkenaan selama beberapa minit sebelum dia jatuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pemeriksaan terhadap tubuh badan lelaki itu mendapati terdapat beberapa kecederaan di kepala, bahu, tangan dan kakinya.


"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.


Gambar daripada rakaman kejadian lelaki jatuh dari tingkat 12 sebuah flat di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Jumaat, 21 Mei 2021

Badan lelaki hancur, kereta meletup kenderaan berhampiran turut terbakar

Badan lelaki hancur, kereta meletup kenderaan berhampiran turut terbakar


Seorang lelaki maut dalam keadaan tragik dengan hancur anggota badan selepas kereta dipandunya meletup dipercayai dipanah petir dalam kejadian di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Kota Bharu, petang hari ini.


Kejadian jam 5.38 petang itu menyebabkan kenderaan jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa rentung dan terputus dua. Lima kenderaan lain yang berada berhampiran di lokasi kejadian turut terbakar susulan letupan berkenaan.


Difahamkan, sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang berada di lokasi kejadian turut menemui serpihan mercun di lokasi berkenaan. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu ketika dihubungi berkata, seorang mangsa meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.


"Ketika kejadian terdapat lima kenderaan di lokasi berhampiran yang turut terbakar. Cermin masjid di lokasi berkenaan juga pecah akibat letupan kenderaan itu," katanya.



Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, tidak menolak kemungkinan kereta yang meletup dipercayai dipanah petir turut membawa mercun bola, letupan itu menyebabkan mangsa yang maut tercampak sejauh 20 meter dari lokasi kejadian.


Bagaimanapun, katanya, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan. Empat lagi mangsa yang berada dalam kenderaan berlainan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.



Isnin, 17 Mei 2021

Maut diserang sakit jantung ketika memandu, menyebabkan kenderaan rempuh pokok

Maut diserang sakit jantung ketika memandu, menyebabkan kenderaan rempuh pokok


GUA MUSANG - Seorang lelaki maut dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda CRV, menyebabkan kenderaannya terbabas sebelum merempuh pokok lalu terbalik, di Jalan Persiaran di sini, hari ini.


Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa yang tinggal di Taman Kesedar Petra dalam perjalanan ke Masjid Tengku Muhammad Fa-iz Petra, untuk menunaikan solat Subuh.


 "Arwah papa ada mengadu sakit dada sejak pagi semalam tetapi enggan ke hospital untuk rawatan," kata Abdul Hazim Abd Halim, 24. Abdul Hazim adalah anak kepada pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Abd Halim Ibrahim, 58, (mangsa).


Abdul Hazim berkata, ibu sudah melarang ayahnya supaya tidak menunaikan solat Subuh di masjid, namun arwah tetap berkeras untuk pergi.


"Arwah papa tidak pernah tinggal solat Subuh berjemaah di masjid itu dan mengagah diri memandu kereta seorang diri sebelum kejadian," katanya ketika ditemu di Bilik Forensik Hospital Gua Musang (HGM) di sini, hari ini.


Abdul Hazim berkata, sebelum ini arwah sihat, namun pada 6 pagi semalam dia memberitahu ibu rasa tidak sedap hati dan sakit di bahagian dada serta ingin berehat.


"Pagi ini sebelum ke masjid, sekali lagi papa mengadu sakit dada tetapi berkeras untuk ke masjid. Saya mendapat berita mengenai kejadian menimpa papa ketika berada di pejabat dan bergegas pulang, kami sekeluarga reda dengan pemergian papa pada 5 Syawal," katanya.


Sementara, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa memandu kenderaan seorang diri sebelum MPV dipandu terbabas ke kiri jalan dan hilang kawalan lalu melanggar pokok sebelum terbalik.


Beliau berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan teruk, namun dipercayai meninggal akibat serangan jantung ketika memandu. Mayatnya di hantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

Ahad, 9 Mei 2021

Roket China Sudah Terhempas Di Lautan Hindi

Roket China Sudah Terhempas Di Lautan Hindi


Serpihan roket Long March 5B milik negara China yang berada 'di luar kawalan' dilapor telah jatuh di Lautan Hindi. Lokasi terhempas difahamkan di barat daya India dan Sri Lanka, perairan berhampiran Maldives kata jurucakap negara China.


Roket Long March 5B, yang dilancarkan dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang pada 29 April lalu, ditugaskan untuk membawa modul pertama stesen angkasa masa depan China ke orbit.


Ia kembali memasuki atmosfera pada jam 3.24 pagi waktu Britain, dengan sebahagian besar komponennya musnah ketika itu, roket berkenaan memasuki atmosfera bumi pada Ahad, hari ini, sebelum berkecai di lautan berkenaan.


"Selepas pemantauan dan analisis, pada 10.24 pagi (0224 Waktu Min Greenwich) pada 9 Mei 2021, serpihan besar Long March 5B Yao-2 sudah memasuki atmosfera," kata Agensi Kejuruteraan Angkasa Lepas China dalam kenyataan.


Agensi itu turut memberikan koordinat yang menjadi lokasi serpihan roket itu bertaburan. Menurutnya, kebanyakan daripada serpihan itu berkecai dan musnah ketika ia memasuki atmosfera bumi.


Perkhidmatan pemantauan, Space-Track, yang menggunakan data daripada Tentera Amerika Syarikat, juga mengesahkan kemasukan semula roket itu ke atmosfera bumi.


"Semua orang yang mengikuti kemasukan semula roket Long March 5B boleh relaks. Roket itu sudah jatuh," katanya menerusi Twitter.


Berita itu membuktikan jangkaan pakar sebelum ini bahawa serpihan roket berkenaan akan jatuh di lautan, memandangkan hampir 70 peratus bumi diliputi air. Bagaimanapun, kemasukan serpihan besar tanpa kawalan itu sebelum ini menimbulkan kebimbangan mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.


Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah antara yang memantau pergerakan roket itu dan cuba meramalkan masa dan lokasi dia terhempas. Setiausaha Pertahanan AS sebelum ini berkata, tentera AS tidak mempunyai rancangan untuk menembak jatuh roket itu.


Bagaimanapun, pihaknya beranggapan China cuai dalam membiarkan roket itu keluar dari orbit. Tahun lalu, serpihan daripada satu lagi roket Long March menimpa perkampungan di Ivory Coast, tetapi ia tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.


"Kemasukan semula (terhempas) di laut adalah kebarangkalian besar yang selalu berlaku," kata ahli astronomi Harvard, Jonathan McDowell menerusi Twitter.

Khamis, 6 Mei 2021

Bakal jadi mimpi 'ngeri' serpihan roket China akan terhempas ke bumi, kemungkinan jatuh kawasan penempatan

Bakal jadi mimpi 'ngeri' serpihan roket China akan terhempas ke bumi, kemungkinan jatuh kawasan penempatan


Serpihan roket Long-March 5B milik China yang berjaya membawa modul pertama untuk Stesen Angkasa Lepas China (CCS) ke orbit, minggu lalu, dijangka kembali ke bumi. Namun 'kepulangannya' bakal menjadi mimpi ngeri kerana ia di luar kawalan dan bakal terhempas di mana-mana.


Masalah bermula apabila roket itu tidak mencapai halaju diperlukan untuk mencapai orbit ketika memasuki ruang orbit sementara Bumi dan hilang kawalan. Berdasarkan pengesan satelit, roket itu bergerak pada kelajuan lebih 6.43 kilometer per saat, kini mengelilingi bumi setiap 90 minit.


Seorang ahli astronomi yang mengesan objek mengorbit Bumi memberitahu Spacenews bahawa roket itu melintasi Bumi lebih jauh ke utara seperti New York, Madrid dan Beijing serta bahagian selatan seperti selatan Chile dan Wellington, New Zealand. Saintis tidak tahu bila ia akan terhempas, tetapi ia hampir pasti berlaku sebelum 10 Mei ini. 


Dilaporkan, serpihan daripada roket seberat 21 tan itu boleh jatuh di mana-mana sahaja dalam lingkungan kawasan terbabit. Beberapa pakar bimbang serpihan kapal angkasa itu boleh jatuh di kawasan penempatan penduduk.



The Guardian melaporkan ia bukan kejadian kali pertama serpihan kapal angkasa lepas terhempas ke bumi. Tahun lalu, salah satu serpihan kapal angkasa melepasi melepasi Los Angeles dan New York sebelum jatuh di Lautan Altantik.


"Ini petanda yang tidak baik. Sebelum ini, roket Long March 5B pernah dilancarkan dan akhirnya serpihan kapal angkasa itu jatuh sehingga merosakkan beberapa bangunan di Ivory Coast.


"Meskipun kebanyakan serpihan roket itu sudah terbakar namun batang-batang logam besar jatuh ke atas bangunan itu, nasib baik tiada sesiapa yang cedera," kata McDowell yang bekerja di Pusat Astrofizik di Universiti Harvard.


Media sebelum ini melaporkan China berjaya melancarkan modul pertama stesen angkasa lepasnya minggu lalu dengan menggunakan Long-March 5B. Modul teras Tianhe itu mempunyai peralatan sokongan hayat dan ruang tempat tinggal untuk angkasawan dilancarkan dari wilayah Hainan.


Stesen angkasa lepas Tiangong yang bermaksud Istana Syurga itu dijangka akan beroperasi pada 2022 selepas kira-kira 11 misi lagi untuk menghantar modul lain dan memasangnya di orbit. Selepas lengkap, ia adalah seberat 90 tan atau kira-kira satu perempat daripada saiz Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).


ISS yang juga kerjasama antara AS tidak akan digunakan selepas 2024, meskipun Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) menyatakan ia boleh beroperasi sehingga selepas 2028. Selepas ketiadaan ISS, stesen angkasa lepas China itu mungkin menjadi satu-satunya stesen angkasa lepas yang mengorbit bumi. Sumber: Harian MetroThe Guardian