Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan

Ahad, 31 Oktober 2021

32 Individu Sertai 'Private Party' Dikompaun RM2,000 Seorang

32 Individu Sertai 'Private Party' Dikompaun RM2,000 Seorang


Seramai 32 individu dikenakan kompaun sebanyak RM64,000 selepas menyertai 'private party' atau sambutan hari jadi di sebuah banglo di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima aduan berhubung aktiviti 'private party' diadakan di kediaman berkenaan dan serbuan dilakukan pada pukul 10 malam.


"Serbuan telah dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat polis Daerah Brickfields.


"Hasil serbuan, seramai 32 individu warga tempatan dan seorang lelaki warga asing dipercayai penjaga rumah sedang mengadakan sambutan majlis hari jadi," katanya, hari ini.


Mengulas lanjut, kesemua 32 individu yang hadir berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an telah menyewa banglo berkenaan selama dua hari dengan harga RM1,600 sehari.


"Semakan mendapati, kesemua mereka tiada rekod jenayah namun hasil ujian awal air kencing mendapati seorang lelaki dan wanita yang menyertai parti berkenaan didapati positif dadah.


"Kesemua individu yang ditahan telah diberikan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara dan SOP Majlis Keselamatan Negara sebanyak RM2,000 seorang menjadikan keseluruhan nilai kompaun sebanyak RM64,000," jelasnya.


Amihizam turut memberitahu, pihaknya berterima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berhubung aktiviti berkenaan dan segala kerjasama diberikan amat dihargai.


Anggota polis menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Bukit Damansara selepas menerima aduan pelanggaran SOP.

Ahad, 29 Ogos 2021

Suspek Pecah Rumah, Rogol, Liwat Seorang Wanita Hingga Maut Sebelum Mayat Disorok Bawah Katil

Suspek Pecah Rumah, Rogol, Liwat Seorang Wanita Hingga Maut Sebelum Mayat Disorok Bawah Katil


Seorang wanita berusia 40 tahun dirogol dan diliwat sehingga maut dan mayatnya disorok di bawah katil. Begitu kejadian tragis yang menimpa wanita itu apabila dia diperlakukan oleh lelaki tidak dikenali yang masuk ke rumah teres dua tingkatnya di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, semalam.


Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang suspek berusia 29 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah ketika bersembunyi di Changkat Sungai Jawi tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 9 malam tadi.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata, polis menerima laporan pada 7.20 malam Sabtu berhubung penemuan mayat wanita yang diletakkan di bawah katil di dalam bilik sebelum bergegas ke lokasi bagi melakukan siasatan.


"Melalui siasatan, kejadian disedari seorang wanita berusia 41 tahun yang datang ke rumah mangsa kerana mempunyai temujanji dengan mangsa kira-kira jam 3 petang, namun dia ternampak seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal telah keluar dari rumah mangsa.


"Berikutan tidak sedap hati, dia kemudian menghubungi kakak mangsa sebelum kakak mangsa menghubungi kenalannya untuk membuat pemeriksaan ke atas kediaman adiknya. Kenalan kakaknya pergi ke rumah mangsa dan mendapati pintu rumah sedikit terbuka lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya.


Chong Chern dalam satu kenyataan hari ini turut menjelaskan, ketika pemeriksaan dibuat keadaan rumah mangsa berselerak dan polis menjumpai mangsa di bilik bahagian tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan dalam keadaan terbaring di bawah katil.


Katanya, terdapat saksi iaitu jiran sebelah rumah mangsa mengatakan juga telah nampak pergerakan seorang lelaki keluar dengan menaiki motosikal jenis SYM. Berpandukan kepada maklumat itu, polis berjaya mengesan keberadaan suspek dan membuat tangkapan ke atas lelaki tersebut.


"Soal siasat ke atas suspek mendapati sehari sebelum kejadian dia pergi menghisap syabu di rumah rakannya di Kampung Wellesley, Sungai Bakap kira-kira 6 petang dan selepas itu meminjam motosikal rakannya untuk bersiar-siar.


"Bagaimanapun, suspek dikatakan memberhentikan motosikal di kawasan perumahan dan dia masuk ke rumah mangsa kira-kira jam 3 pagi melalui tingkap. Suspek kemudian pergi ke bilik tidur di bahagian bawah dan telah nampak mangsa sedang tidur di atas katil.


"Suspek bertindak merogol serta meliwat mangsa hingga mangsa melawan dan menjerit kerana terkejut dengan perbuatan suspek. Dia yang mendapati mangsa tidak lagi bergerak dan dipercayai meninggal dunia kemudian menarik mangsa ke bawah katil dan menyembunyikan mayat mangsa," katanya.


Dalam pada itu, Chong Chern berkata, suspek menggeledah rumah mangsa dan mengambil telefon bimbit, wang tunai dan loket mangsa sebelum keluar dari rumah itu kira-kira 2 petang dan pergi menghantar motosikal yang dipinjamkan dari rakannya, kemudian pulang ke kediamannya dengan berjalan kaki.


"Suspek yang mengetahui polis membuat pemeriksaan ke atas rumah mangsa kemudian menyembunyikan diri dan membuang barangan milik mangsa ke dalam sungai. Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan mayat mangsa akan dibedah siasat selepas keputusan saringan Covid-19 diperoleh," katanya.


Anggota polis membawa suspek ke lokasi kejadian. - Foto Danial Saad.

Ahad, 8 Ogos 2021

Penagih Dadah Bakar Rumah Kerana Berang Ibunya Lambat Bagi Pemetik Api

Penagih Dadah Bakar Rumah Kerana Berang Ibunya Lambat Bagi Pemetik Api


Gara-gara lambat diberikan pemetik api, seorang penagih dadah naik angin lalu bertindak membakar rumahnya sendiri dalam kejadian di Kampung Selengkoh Tengah, Yan, pada Jumaat lalu (6 Ogos 2021).


Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata polis menerima panggilan pada jam 9.24 malam dari pengadu di kampung berkenaan, dan menahan suspek berusia 51 tahun sejurus selepas kebakaran.


Menurut ibu lelaki itu, Che Som Hashim, 71, berkata, anak kedua daripada lima beradik berusia 51 tahun itu tinggal berasingan di sebuah rumah di depan rumahnya yang dibina pada tahun 2004 lalu.



Katanya, anak lelakinya itu mengalami kemurungan serta dikatakan mengambil dadah dan telah bercerai dengan isterinya pada Mac lalu mempunyai empat orang anak. Selepas bercerai dia tinggal seorang diri di rumahnya itu.


"Sebelum kejadian, anak saya berada dalam rumah saya telah menjerit meminta pemetik api, namun saya tidak peduli kerana sedang membaca al-Quran bersama suami, Ibrahim Derani, 77.


"Anak saya itu kemudian keluar dari rumah saya dan balik ke rumahnya dan sekali lagi dia menjerit meminta pemetik api menyebabkan saya bergegas ke rumahnya untuk menyerahkan bahan bakar itu.



"Sebaik mendapat pemetik api itu, dia mengunci pintu rumah dua tingkat tersebut dan naik ke tingkat atas sebelum membakar sehelai kain buruk dan memasukkannya ke dalam almari yang berisi pakaian," katanya.


Che Som memberitahu, dia kemudiaan melihat api merebak membakar almari dan dinding rumah sebelum memanggil suaminya. Ketika itu, anaknya masih berada di tingkat atas dan selepas dirayu berulang kali, lelaki itu membuka pintu dan meluru keluar.


"Anak saya meluru keluar serta melarikan diri ke kawasan semak di belakang rumah. Beberapa minit kemudian api semakin marak membakar rumah tersebut sebelum anak saya dapat ditahan oleh penduduk," katanya.


Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba, Pegawai Bomba Kanan Md. Radzi Abd.Talib berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran pada pukul 9.18 malam dan berjaya mengawal kebakaran dalam masa 45 minit. Rumah separuh batu dan kayu itu musnah 70 peratus.


Ketua polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.


Che Som Hashim menunjukkan rumah yang dibakar oleh anaknya di Kampung Selengkoh Tengah, Yan pada 6 Ogos 2021. - Foto Othman Yahaya.

Khamis, 5 Ogos 2021

9 Wanita Dan 6 Lelaki Ditahan Ketika Leka Berparti Di Sebuah Kondominium

9 Wanita Dan 6 Lelaki Ditahan Ketika Leka Berparti Di Sebuah Kondominium


Keseronokan 15 orang termasuk seorang penjawat awam menyertai parti liar dikejutkan dengan kehadiran pihak polis dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Jalan Ceylon, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan pada pukul 1 pagi itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.


"Ketika serbuan dilakukan, pihak polis mendapati seramai 15 individu yang terdiri daripada sembilan wanita dan enam lelaki berusia 17 hingga 45 tahun sedang berkumpul bagi mengadakan parti liar.


"Pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai kesan penggunaan dadah, peralatan audio dan lampu disko, malah ujian air kencing yang dilakukan juga mendapati, seramai 11 daripada mereka iaitu tiga lelaki dan lapan perempuan adalah positif dadah," katanya.


Menurut beliau, kesemua suspek juga didapati melakukan kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana melakukan aktiviti sosial dan akan direman sehingga 7 Ogos bagi membantu siasatan.


"Kesemua tangkapan warga tempatan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana terlibat dengan aktiviti sosial," katanya.


Sebahagian daripada individu yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti parti liar awal pagi tadi. - Foto PDRM.

Selasa, 15 Jun 2021

Jual Kasut Online, Bekas Kekasih Ketua Kartel Dadah Mati Ditembak

Jual Kasut Online, Bekas Kekasih Ketua Kartel Dadah Mati Ditembak


Hanya beberap bulan selepas kematian ketua kartel dadah, Alexis 'El Alexis' Martinez yang dibunuh pada Mac lalu, oleh pembunuh yang menyamar sebagai pekerja penghantaran makanan di bandar Zapopan, wilayah Jalisco, kekasihnya pula menjadi mangsa.


Paulina Arreola Perez, 26, antara trio gengster yang dikenali sebagai Las Novias de La Union (Teman wanita The Union), bersama-sama Valeria Diaz dan Nayibi Mustafa. Ketiga-tiganya mati dibunuh dalam tempoh 12 bulan lalu.


Sejak kematian Martinez, Perez menjalankan perniagaan menjual kasut dalam talian dan polis percaya pembunuhan wanita itu mungkin ada kaitan dengan teman lelakinya. Polis percaya dia mungkin dibunuh seseorang yang menyamar sebagai seorang pelanggan.


Lelaki bersenjata yang menunggang motosikal menembaknya. Ketika kejadian, Perez bersama seorang rakan lelaki dikenali sebagai Eduardo Arturo Trejo di kawasan Benito Juarez di Mexico City, 9 Jun lalu.


Perez ditembak sekurang-kurangnya sembilan kali dan Eduardo, dua kali, semasa mereka duduk di dalam kereta wanita itu. Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian membawa mereka ke hospital, namun kedua-duanya kemudian disahkan meninggal dunia.


Perez dipercayai menjadi sasaran kerana hubungannya dengan kumpulan penjenayah La Union Tepito. Kumpulan itu terbabit dalam pembunuhan, penculikan, pemerasan dan pengedaran dadah di dalam dan sekitar ibu negara Mexico.


Perez sebelum ini telah menikmati kehidupan mewah dengan teman lelakinya. Pasangan itu suka menunjukkan gaya hidup mewah mereka melalui Instagram menerusi foto pelancongan ke Madrid, Paris dan Milan.


Martinez juga dilihat memakai pakaian eksklusif yang direka khas selain barang peribadi dikatakan bernilai 200,000 peso (kira-kira RM41,000). Perez pula menunjukkan kehidupan mewah di media sosial termasuk gambarnya yang sedang bercuti di Dubai, Athens dan Toronto, yang sebahagian besarnya dibayar dengan kad kredit klon.


Selepas kematian teman lelakinya, wanita muda itu menulis di media sosial, 'suatu hari kita akan bertemu lagi.' Sebelum ini, Karina Itzel Morales, teman wanita Martinez sebelum Perez, hilang secara misteri pada 2018. Sumber: Olivia Burke/The Sun (11/6/2021).


Dia mula menjual kasut secara dalam talian setelah teman lelakinya, Alexis 'El Alexis' Martinez, dibunuh pada bulan Mac tahun ini.


Martinez dibunuh pada bulan Mac 2021 oleh seorang pembunuh yang menyamar sebagai pekerja penghantaran makanan di bandar Zapopan.

Jumaat, 4 Jun 2021

Lebih 30 maut minum arak beracun buatan sendiri di Kemboja

Lebih 30 maut minum arak beracun buatan sendiri di Kemboja


Sebelum itu, terdapat 14 dan 10 kematian dalam dua insiden berasingan pada Mei lalu. Kelmarin, 10 lagi kematian dilaporkan berlaku di daerah Pursat dekat barat laut Kemboja selepas meminum arak beras buatan tempatan.


Ketua Polis Daerah Krakor, Kolonel Em Run, berkata arak berkenaan disyaki mengandungi tahap metanol yang tinggi sehingga menyebabkan kematian. Katanya, kandungan metanol dalam wain itu mungkin melebihi jumlah dibenarkan iaitu 0.15 peratus.


Kes berlaku di tiga perkampungan Ansar Chambak di daerah Krakor ketika mangsa didapati meminum arak beras yang tercemar ketika upacara pengebumian salah seorang jiran mereka minggu lalu.


"Semua mangsa termasuk lapan wanita dan dua lelaki disahkan mati manakala beberapa lagi dimasukkan ke hospital selepas minum arak tercemar.


"Mangsa mempunyai gejala yang sama seperti keradangan mata, sakit dada, kesukaran bernafas, pening, sakit kepala dan kelesuan," katanya ketika dihubungi agensi berita Xinhua.


Menurut Em Run, sampel arak toksik itu kemudiannya dibawa ke makmal ujian di ibu kota Phnom Penh dan keputusan belum lagi diterima.


"Pasangan tempatan yang menghasilkan arak itu ditahan Rabu lalu dan peruncit di daerah berkenaan dinasihat menghentikan sementara penjualan arak beras itu," katanya.


Kes berkenaan membabitkan arak buatan tempatan yang mengandungi kadar metanol tahap toksik sehingga boleh menyebabkan kehilangan penglihatan, walaupun diambil dalam dos yang kecil.


Polis memaklumkan, sekurang-kurangnya 15 orang merangkumi pembuat dan penjual arak beras ditahan. Kementerian Kesihatan pula menasihati orang ramai supaya tidak mengambil minuman yang tercemar.


"Seorang pasangan tempatan yang menghasilkan arak itu ditahan Rabu lalu. Buat peruncit di daerah berkenaan dinasihatkan untuk hentikan sementara penjualan arak beras itu," katanya.


Mengesahkan kematian itu berpunca akibat keracunan adalah Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Pursat, Khoy Dy, namun tidak memperincikan secara lanjut perkara itu. Di Kemboja, arak beras popular di kawasan luar bandar kerana harganya yang murah.


Selasa, 6 April 2021

29 Individu ditahan leka berhibur sehingga tidak sedar kehadiran polis

29 Individu ditahan leka berhibur sehingga tidak sedar kehadiran polis

Antara yang ditahan dalam serbuan itu.

Melihat situasi semasa, masih ramai warga yang masih degil dan keras kepala melanggar arahan PKP. Kelmarin, polis menahan 29 individu termasuk 15 warga Vietnam ketika leka berhibur menerusi serbuan di sebuah premis, di Jalan Sagu 18, Taman Daya, Johor Bahru.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kesemua mereka berusia 20 hingga 52 tahun itu ditahan menerusi operasi yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada 7.45 malam.


Katanya, seorang lelaki warga Vietnam berusia 24 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis ditahan, manakala 14 individu tempatan dikenakan kompaun RM10,000 setiap seorang, kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada dalam premis.


"Hasil pemeriksaan mendapati, premis itu sedang beroperasi dan muzik dimainkan dengan kuat, selain terdapat sekumpulan individu sedang leka berhibur sambil minum minuman beralkohol.


"Turut dirampas lapan paket berwarna ungu tertulis Goddess Secret disyaki dadah jenis ekstasi, 87 biji pil berwarna merah jambu disyaki pil ekstasi serta tujuh paket lutsinar disyaki dadah jenis ketamin," katanya.


Beliau berkata, kesemua warga asing akan dibuat semakan rekod pergerakan keluar masuk negara menerusi Jabatan Imigresen Malaysia. Semakan status lesen perniagaan dan status lesen hiburan premis akan dibuat menerusi pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).


Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 16(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar syarat PKPB dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor 4/98.


Mengulas lanjut beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. Sumber: Harian Metro