Ahad, 31 Oktober 2021

32 Individu Sertai 'Private Party' Dikompaun RM2,000 Seorang


Seramai 32 individu dikenakan kompaun sebanyak RM64,000 selepas menyertai 'private party' atau sambutan hari jadi di sebuah banglo di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima aduan berhubung aktiviti 'private party' diadakan di kediaman berkenaan dan serbuan dilakukan pada pukul 10 malam.


"Serbuan telah dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat polis Daerah Brickfields.


"Hasil serbuan, seramai 32 individu warga tempatan dan seorang lelaki warga asing dipercayai penjaga rumah sedang mengadakan sambutan majlis hari jadi," katanya, hari ini.


Mengulas lanjut, kesemua 32 individu yang hadir berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an telah menyewa banglo berkenaan selama dua hari dengan harga RM1,600 sehari.


"Semakan mendapati, kesemua mereka tiada rekod jenayah namun hasil ujian awal air kencing mendapati seorang lelaki dan wanita yang menyertai parti berkenaan didapati positif dadah.


"Kesemua individu yang ditahan telah diberikan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara dan SOP Majlis Keselamatan Negara sebanyak RM2,000 seorang menjadikan keseluruhan nilai kompaun sebanyak RM64,000," jelasnya.


Amihizam turut memberitahu, pihaknya berterima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berhubung aktiviti berkenaan dan segala kerjasama diberikan amat dihargai.


Anggota polis menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Bukit Damansara selepas menerima aduan pelanggaran SOP.


EmoticonEmoticon