Ahad, 29 Ogos 2021

Suspek Pecah Rumah, Rogol, Liwat Seorang Wanita Hingga Maut Sebelum Mayat Disorok Bawah Katil


Seorang wanita berusia 40 tahun dirogol dan diliwat sehingga maut dan mayatnya disorok di bawah katil. Begitu kejadian tragis yang menimpa wanita itu apabila dia diperlakukan oleh lelaki tidak dikenali yang masuk ke rumah teres dua tingkatnya di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, semalam.


Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang suspek berusia 29 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah ketika bersembunyi di Changkat Sungai Jawi tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 9 malam tadi.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata, polis menerima laporan pada 7.20 malam Sabtu berhubung penemuan mayat wanita yang diletakkan di bawah katil di dalam bilik sebelum bergegas ke lokasi bagi melakukan siasatan.


"Melalui siasatan, kejadian disedari seorang wanita berusia 41 tahun yang datang ke rumah mangsa kerana mempunyai temujanji dengan mangsa kira-kira jam 3 petang, namun dia ternampak seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal telah keluar dari rumah mangsa.


"Berikutan tidak sedap hati, dia kemudian menghubungi kakak mangsa sebelum kakak mangsa menghubungi kenalannya untuk membuat pemeriksaan ke atas kediaman adiknya. Kenalan kakaknya pergi ke rumah mangsa dan mendapati pintu rumah sedikit terbuka lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya.


Chong Chern dalam satu kenyataan hari ini turut menjelaskan, ketika pemeriksaan dibuat keadaan rumah mangsa berselerak dan polis menjumpai mangsa di bilik bahagian tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan dalam keadaan terbaring di bawah katil.


Katanya, terdapat saksi iaitu jiran sebelah rumah mangsa mengatakan juga telah nampak pergerakan seorang lelaki keluar dengan menaiki motosikal jenis SYM. Berpandukan kepada maklumat itu, polis berjaya mengesan keberadaan suspek dan membuat tangkapan ke atas lelaki tersebut.


"Soal siasat ke atas suspek mendapati sehari sebelum kejadian dia pergi menghisap syabu di rumah rakannya di Kampung Wellesley, Sungai Bakap kira-kira 6 petang dan selepas itu meminjam motosikal rakannya untuk bersiar-siar.


"Bagaimanapun, suspek dikatakan memberhentikan motosikal di kawasan perumahan dan dia masuk ke rumah mangsa kira-kira jam 3 pagi melalui tingkap. Suspek kemudian pergi ke bilik tidur di bahagian bawah dan telah nampak mangsa sedang tidur di atas katil.


"Suspek bertindak merogol serta meliwat mangsa hingga mangsa melawan dan menjerit kerana terkejut dengan perbuatan suspek. Dia yang mendapati mangsa tidak lagi bergerak dan dipercayai meninggal dunia kemudian menarik mangsa ke bawah katil dan menyembunyikan mayat mangsa," katanya.


Dalam pada itu, Chong Chern berkata, suspek menggeledah rumah mangsa dan mengambil telefon bimbit, wang tunai dan loket mangsa sebelum keluar dari rumah itu kira-kira 2 petang dan pergi menghantar motosikal yang dipinjamkan dari rakannya, kemudian pulang ke kediamannya dengan berjalan kaki.


"Suspek yang mengetahui polis membuat pemeriksaan ke atas rumah mangsa kemudian menyembunyikan diri dan membuang barangan milik mangsa ke dalam sungai. Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan mayat mangsa akan dibedah siasat selepas keputusan saringan Covid-19 diperoleh," katanya.


Anggota polis membawa suspek ke lokasi kejadian. - Foto Danial Saad.


EmoticonEmoticon