Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Angkasa. Papar semua catatan

Khamis, 11 Januari 2024

'Komet syaitan' bertanduk lebih besar daripada Gunung Everest sedang hampiri Bumi

'Komet syaitan' bertanduk lebih besar daripada Gunung Everest sedang hampiri Bumi


Sebuah komet yang dikatakan bersaiz lebih besar daripada gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest kini sedang bergerak menghampiri Bumi, lapor laman berita UNILAD pada 9 Januari 2024.


Komet 12P/Pons-Brooks turut dikenali sebagai 'komet syaitan'. Ia diberikan gelaran itu kerana bentuknya kelihatan seperti tanduk. Para saintis percaya 'tanduk' tersebut terdiri daripada gas dan habuk.


Komet itu dijangka berada pada jarak dekat dengan Bumi pada 2 Jun depan, manakala ahli-ahli astronomi berharap ia boleh dilihat menerusi mata kasar.


Bagaimanapun, walaupun ia melintas pada titik terdekat dengan Bumi, ia masih akan berada lebih jauh daripada Matahari.



Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkata: "NASA mengesahkan tiada asteroid atau komet berada dalam laluan perlanggaran dengan Bumi. Oleh itu, kemungkinan akan berlaku perlanggaran besar adalah kecil.


"Secara faktanya, tiada objek besar akan menghentam Bumi dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang."


Para saintis juga membuat pemerhatian menarik tentang komet itu baru-baru ini. Apabila diamati sekali lagi, nampaknya tanduk pada komet itu sudah tidak ada lagi.


Komet selebar 10.5 batu itu sebenarnya adalah cryovolcanic, bermakna ia adalah gunung berapi yang sejuk. Tanduk itu telah hilang selepas letusan terbarunya ketika ia meluncur melalui angkasa.


Live Science melaporkan komet itu telah menjadi bentuk bulat, berwarna hijau dan muncul bayangan panjang ketika ia meluncur di angkasa. - Sumber UNILAD.


Gambar fail menunjukkan Komet Syaitan. - Foto Persatuan Astronomi Britain.

Khamis, 21 Disember 2023

Pakar sahkan fenomena UFO 'berapi' di langit sahih

Pakar sahkan fenomena UFO 'berapi' di langit sahih


Beberapa pakar yang menganlisis rakaman video menunjukkan sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) 'berapi' di langit Quebec, Kanada memutuskan bahawa kejadian itu benar-benar berlaku, lapor portal berita The Sun.


Menurut portal berita itu pada Selasa, minggu lalu, seorang ahli astronomi dan pereka kesan video, Marc D'Antonio percaya terdapat sebuah objek yang terbang di langit tanpa mengira sama ada ia UFO atau sebaliknya.


Rumusan itu dibuat selepas sebuah keluarga melihat UFO berapi itu di Quebec, Kanada pada 2018 ketika waktu siang dan membuat rakaman menggunakan kamera.


Saluran televisyen History bagaimanapun mahukan pendapat kedua. Pihaknya meminta penganalisis penerbangan dan ketenteraan, Tim McMillan yang kemudian menyatakan bahawa objek itu mempunyai permukaan pantulan yang sangat kuat, hampir kelihatan seperti cermin.


Cahaya Matahari memantulkan objek itu dan ia mungkin menyebabkannya kelihatan seperti terbakar dan beliau berkata, UFO tersebut hampir menyerupai belon mylar yang berwarna perak serta berkilat.


Lebih dekat anda melihat video, anda boleh melihat kedutan objek dan warna perak menyerupai belon huruf separuh kempis, seolah-olah kelihatan seperti huruf 'H' atau 'J.'


Walaupun UFO tidak diketepikan secara rasmi, pakar percaya ia hampir menyerupai belon mylar perak.


Belon mylar diperbuat daripada plastik bersalut logam dan mempunyai warna yang terang. - Sumber The Sun.


Sebuah UFO yang 'terbakar' terbang di langit Quebec pada 2018. - Foto History.

Tim McMillan percaya objek itu menyerupai belon mylar perak dan matahari memantulkannya. - Foto History.

Ahad, 3 Disember 2023

AS menyembunyikan 9 'kapal makhluk asing' yang terhempas di bumi

AS menyembunyikan 9 'kapal makhluk asing' yang terhempas di bumi


Kerajaan Amerika Syarikat (AS) didakwa menyembunyikan sembilan kapal angkasa asing yang ditemui oleh sepasukan skuad rahsia yang terhempas di seluruh dunia selama beberapa dekad, lapor akhbar Daily Star pada 29 November lalu.


Beberapa sumber memberitahu portal berita DailyMail bahawa 'kapal angkasa makhluk asing' itu adalah termasuk beberapa kapal angkasa yang terhempas dan tidak musnah.


Objek terbang tidak dikenali (UFO) itu ditemui oleh sayap Agensi Perisikan Pusat (CIA) dikenali sebagai Pejabat Akses Global (OGA).


OGA telah terlibat dalam pengumpulan UFO untuk Direktorat Sains dan Teknologi CIA sejak 2003.


Menurut tiga sumber tersebut, maklumat itu diambil daripada individu-individu yang terlibat dalam misi mengumpulkan kapal-kapal angkasa tersebut.


Menurut sumber, CIA mempunyai sistem untuk 'mengesan UFO semasa ia menjadi halimunan'. Unit khas tentera akan dihantar selepas kapal angkasa itu terhempas.


UFO yang dikumpulkan tidak akan disimpan di bawah kawalan tentera untuk masa yang lama kerana terlalu banyak rekod. Ia biasanya akan dipindahkan ke 'tangan peribadi'.


Pada bulan Julai lalu, Ketua Majoriti Senat Chuck Schumer menaja rang undang-undang yang luar biasa untuk membenarkan pendedahan 'memulihkan teknologi yang tidak diketahui asalnya dan bukti biologi kecerdasan bukan manusia' dan kini telah diluluskan di Senat.


Sumber yang bercakap dengan DailyMail menjelaskan bagaimana CIA menyelaraskan pemulihan dan penyimpanan rahsia UFO yang didakwa terhempas atau mendarat ini. - Sumber Daily Mail.


Video dirakam oleh juruterbang tentera laut AS menunjukkan interaksi dengan 'fenomena udara tidak dikenal pasti'. - Foto DoD/AFP/Getty Images.

Jumaat, 1 Disember 2023

AS dedah dokumen sulit temui beribu-ribu UFO di orbit Bumi

AS dedah dokumen sulit temui beribu-ribu UFO di orbit Bumi


Tentera Angkasa Lepas Amerika Syarikat (USSF) mengesan beribu-ribu objek terbang tidak dikenali (UFO) di orbit Bumi, demikian laporan portal berita DailyMail pada 30 November 2023 yang memetik senaskhah dokumen sulit.


Laporan itu mendedahkan bahawa UFO berulang kali ditemui sejak kebelakangan ini sehingga menjadi sukar untuk mengenal pasti sama ada ia menimbulkan ancaman kepada manusia.


Berdasarkan laporan tersebut, unit pasukan USSF iaitu Komando Latihan dan Kesediaan Angkasa Lepas (STARCOM) menemui banyak penampakan UFO di orbit Bumi pada bulan lalu.


Antara penemuan itu termasuk sampah angkasa lepas buatan manusia dan 'serpihan semula jadi' seperti meteoroid dilancarkan oleh 'musuh Amerika Syarikat (AS) yang terus melancarkan satelit pengintip seperti Malligyong-1 oleh Korea Utara dan sebagainya.


USSF menyuarakan kebimbangan bahawa sampah angkasa lepas buatan manusia itu memenuhi kawasan yang tidak diperhatikan antara Bumi dan Bulan dipanggil orbit 'cislunar', menjadikannya sukar untuk mengenal pasti sebarang potensi ancaman dan mengatasinya.


Dalam laporan baharu mereka, yang diterbitkan bulan November lepas, USSF menekankan kepentingan mencari 'ancaman' serius ini di kalangan 'bahaya' seperti sampah angkasa.


Laporan itu juga menggunakan beberapa istilah bagi merujuk penemuan tersebut seperti 'pemerhatian tidak normal' tetapi tidak menjelaskan maksudnya.


Ia juga tidak menjelaskan apakah 'corak kehidupan' yang telah dikesan daripada orbit yang tidak diketahui. - Sumber Daily Mail.


Kebanyakan kekacauan yang mengorbit Bumi adalah sampah angkasa lepas buatan manusia dan 'serpihan semula jadi' seperti meteoroid. - Foto US Space Force / NASA.

Ahad, 19 November 2023

NASA siasat objek terbang lebih 200,000 kilometer sejam mengeluarkan bunyi dentuman dan gegaran kuat

NASA siasat objek terbang lebih 200,000 kilometer sejam mengeluarkan bunyi dentuman dan gegaran kuat


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menyiasat kejadian aneh berupa penampakan cahaya terang di langit yang mengeluarkan bunyi dentuman kuat, lapor akhbar Metro UK pada 17 November 2023.


Pada malam Isnin lalu, penduduk yang tinggal dalam lingkungan 80 kilometer di Minnesota melihat satu objek terang melintang di langit dan mendengar bunyi dentuman yang menggegarkan tingkap dan rumah mereka.


NASA percaya objek misteri itu menembusi atmosfera pada kelajuan antara 48,280 hingga 209,214 kilometer sejam.


Pengurusan Kecemasan Daerah Beltrami mendedahkan, letupan sonik yang terlalu dekat dengan daratan itu berasal daripada sebutir meteor dan tidak menyebabkan kemusnahan.


Ahli fizik tempatan yang mengkaji kejadian itu, Profesor Jun Cabanela berkata, keadaan semasa insiden berlaku menunjukkan bahawa objek itu bukan meteor biasa.


Tiga video mengenai kejadian itu juga diperoleh oleh pengarah Pengurusan Kecemasan Daerah Beltrami, Chris Muller.


Walaupun beberapa laporan mengenai kilat bersinar terang di langit pada malam Isnin, dia tidak dapat mengesahkan ia adalah objek terbang.


"Saya tidak fikir ia objek terbang tidak dikenali (UFO) dalam erti kata lain, makhluk asing.


"Sekiranya ia adalah apa-apa yang mungkin ada di udara, ia sepatutnya dikesan oleh radar. Kami telah menyemak dengan Perkhidmatan Cuaca dan mereka tidak mempunyai apa-apa dalam radar.


"Mereka juga tidak mengesan sebarang kilat ketika kejadian. Jadi, kami sebenarnya cenderung ke arah bahawa ini adalah sesuatu yang berada di atas atau berhampiran tanah," kata Muller.


Muller telah menyemak rakaman tambahan dari kamera lapangan terbang, dari malam Isnin dan pada waktu siang, dan kini dia percaya penampakan dalam video itu boleh dijelaskan. - Sumber Metro UK.


Pakar menganggarkan objek itu bersaiz sebesar peti sejuk. - Foto Pengurusan Kecemasan Daerah Beltrami.

Isnin, 13 November 2023

NASA siar imej mengerikan gunung berapi seperti tengkorak gergasi mengintai ke langit

NASA siar imej mengerikan gunung berapi seperti tengkorak gergasi mengintai ke langit


Seorang angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) mengesan sebuah lubang gunung berapi yang kelihatan seperti wajah hantu di Gurun Sahara, Afrika apabila dilihat dari angkasa, lapor laman berita Fox News, Sabtu lepas.


Lubang gunung berapi itu sedalam kira-kira 1,000 meter (3,300 kaki) dan kelihatan seperti tengkorak yang mengerikan berdasarkan gambar dikongsikan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).


Ia dirakam selepas seorang angkasawan di ISS melihat formasi ganjil itu di Pergunungan Tibesti, Republik Chad.


Gambar itu pada asalnya dirakamkan pada bulan Februari lalu tetapi kemudian dikongsi semula oleh pihak NASA.


"Lubang gunung berapi sedalam 1,000 meter dan Tasik Trou au Natron di utara Chad kelihatan seperti wajah hantu yang merenung kembali ke arah anda," kata Balai Cerap Bumi NASA dalam catatannya pada minggu lalu.



Gambar itu menunjukkan apa yang kelihatan seperti pembentukan tengkorak besar dengan dua soket mata dan hidung dikelilingi oleh bahan putih.


NASA berkata, soket mata dan hidung itu sebenarnya adalah bukit kon curam yang dibina di sekeliling lubang gunung berapi, manakala bahan putih ialah kerak mineral yang terhasil daripada garam dikenali sebagai natron.


Pergunungan Tibesti dianggap sebagai salah satu kawasan paling terpencil di dunia, yang telah menyukarkan para saintis melakukan penyelidikan di Tasik Trou au Natron pada 2015 lalu.


NASA mengatakan bahawa penyelidikan menunjukkan kawasan itu dipenuhi dengan tasik glasier kira-kira 14,000 tahun yang lalu, dan sampel alga akuatik fosil yang dikumpulkan dianggarkan bermula sejak 120,000 tahun. - Sumber Fox News.

 

Wajah mirip tengkorak di Republik Chad yang dirakam dari ISS, Februari lalu. - Foto NASA

Rabu, 8 November 2023

Perayau paling canggih milik NASA sudah berada di Marikh selama 4,000 hari, sejak 2012

Perayau paling canggih milik NASA sudah berada di Marikh selama 4,000 hari, sejak 2012


Perayau Curiosity milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) berada di Marikh selama 4,000 hari sejak ia mendarat di Kawah Gale pada 5 Ogos 2012, lapor Xinhua, semalam.


Sejak itu, perayau berkenaan terus berfungsi mengumpul data saintifik mengenai Planet Merah itu.


Baru-baru ini, ia menggerudi sampel ke-39nya kemudian menjatuhkan batu yang dihancurkan ke dalam 'perutnya' untuk dianalisis secara terperinci.


Untuk mengkaji sama ada Mars purba mempunyai persekitaran yang menyokong kehidupan mikrob, perayau itu secara beransur-ansur mendaki Gunung Sharp yang setinggi lima kilometer.


Gunung itu yang terbentuk dalam tempoh yang berbeza dalam sejarah planet itu juga boleh menunjukkan rekod tentang iklim planet itu yang berubah dari semasa ke semasa, menurut NASA.


Dilancarkan pada 26 November 2011 dan mendarat di Marikh pada Ogos 2012, Curiosity adalah perayau terbesar dan paling canggih pernah dihantar ke Marikh. - Sumber Xinhua.


Gunung Sharp. - Foto NASA.