BUTTERWORTH - Seorang lelaki penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang pemandu teksi berusia 73 tahun yang mayatnya ditemukan terapung di kawasan tali air berhampiran Kampung Permatang Pak Elong, Kepala Batas, bulan lalu.
Tertuduh, S Ganesan, 41, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Mohamad Faizal.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Ganesan didakwa membunuh Haron Chua Abdullah, 73, antara jam 2 pagi hingga 4 pagi di laluan dari Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir hingga Jalan Permatang Pak Elong, Kepala Batas, pada 8 Oktober lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, dia juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula bagi mendapatkan laporan kimia serta patologi.
Terdahulu, pada 11 Oktober lalu, seorang pemancing menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan terapung di kawasan tali air berhampiran Kampung Permatang Pak Elong.
Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada pihak polis sebelum mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

EmoticonEmoticon