TELUK INTAN - Seorang pesara guru berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 17 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 15 tahun.
Tertuduh, Zaidi Abbas, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rafidah Che Aziz.
Mengikut pertuduhan, Zaidi yang ketika kejadian mempunyai hubungan amanah sebagai guru didakwa melakukan perbuatan berunsur seksual terhadap tujuh mangsa antara Mei 2024 hingga 7 Julai 2025.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah bilik khas dan kantin sekolah menengah di Langkap, selain di dalam sebuah kenderaan di sekitar kawasan berkenaan serta ketika dalam perjalanan pulang dari Teluk Intan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, selain hukuman penjara tambahan sehingga lima tahun serta tidak kurang dua sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan, menawarkan jaminan RM70,000 bagi kesemua pertuduhan, berserta syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam Koh Shean Wai memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri, ibu serta empat anak yang masih bersekolah. Tertuduh juga dikatakan memperoleh pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan, merupakan orang kurang upaya (OKU) dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Disember ini.

EmoticonEmoticon